Google Ads

Friday 15 January 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 218

MENARIK DI DALAM
·        Hanya Angan-angan, Bukan Harapan
·        Bagaimana Untuk Menghasilkan Matlamat Terbaik?
·        Hendak Beramal, jangan tunggu-tunggu.
·        Bacalah Panjang Manapun
·        Rahsia Mengecap Kematian Terindah
·        Agar Tenang Semasa Diuji



HANYA ANGAN-ANGAN, BUKAN HARAPAN
Andai ku tahu,
Kapan tiba ajalku,
Ku akan memohon,
Tuhan tolong panjangkan umurku,
Andai ku tahu,
Kapan tiba masaku,
Ku akan memohon,
Tuhan jangan Kau ambil nyawaku…

Demikian petikan lirik lagu nyanyian kumpulan Ungu. Satu harapan yang hakikatnya hanya satu angan-angan. justeru, pada adatnya tidak ada manusia yang diberitahu akan detik kematiannya. Kita tidak boleh merayu agar Tuhan tidak mengambil nyawa kita jika masa yang ditetapkan telah tiba. Tetapi, tugas kita hanyalah memanfaatkan usia yang telah dan sedang diberikan ini mengikut perintah dan ajaranNya. Kita dikira tidak beradab kepada Allah untuk meminta tambahan usia jika usia yang telah diberikanNya ini disia-siakan.  Sebenarnya, kita tidak perlu menunggu hingga saat kematian menjelang barulah bergerak hati untuk memohon agar Allah memanjangkan umur. Sebaliknya, mohonlah dan berusahalah memanjangkan umur dari sekarang. Tempuhilah jalan yang telah ditunjukkan oleh al Quran dan sunnah untuk mendapat umur yang panjang itu mulai hari ini. Perkara ini  sangat penting kerana manusia sepertimana yang diterangkan sebelumnya adalah seumpama peniaga yang menjalankan perniagaan yang ditawarkan oleh Allah. Demi menjana keuntungan yang lebih besar, modalnya perlu ditambah. Apakah modal perniagaan ini? Modal itu ialah usia. Modal itu bukan sahaja perlu digunakan dengan sebaik-baiknya, malah demi mendapat keuntungan yang berlipat ganda, jumlah modalnya perlu ditambah.
Sumber : Pesan hati Untuk Hati


BAGAIMANA UNTUK MENGHASILKAN MATLAMAT YANG  MENARIK?
¤ Hasilkan Matlamat Daripada Apa Yang Anda Percaya  Baik Untuk Anda. Keluarga, dan Masyarakat
 Sesuatu yang menjadikan anda lebih seronok sama ada fizikal, mental, spiritual, sosial, kewangan, kerjaya, perniagaan, pelajaran, keagamaan dan sebagainya.
 Jika anda percaya terlalu banyak wang boleh merosakkan akhlak, maka matlamat ‘untuk menjadi seorang jutawan dalam masa lima tahun dari sekarang ‘ sudah pasti tidak akan menjadi sasaran yang menarik, kerana bertentangan dengan sistem kepercayaan yang ada dalam diri.
 Jika anda percaya bahawa menjadi jutawan baik untuk masa diri anda, maka matlamat tersebut menarik untuk dicapai.

¤ Hasilkan Matlamat Yang Ada Kaitan Dengan Minat
 Hasilkan matlamat yang ‘menggairahkan’ diri anda sendiri.
 Apabila mendengarnya, anda akan tersenyum  dan berasa sungguh bertenaga.
 Contohnya jika anda mempunyai pendapatan RM2500 sebulan, adakah anda seronok dan bersemangat untuk memperoleh gaji RM2800 selepas 2 tahun?
 Tetapi jika anda menetapkan sasaran untuk mendapat pendapatan RM15 000 sebulan selama 5 tahun, bukankah dapat mencetuskan tenaga dalam diri anda?
Sumber : FADZLI YUSOF


Hendak beramal, jangan tunggu2…

 Kalau tunggu-tunggu, nanti jatuh miskin atau papa kedana, apa yang boleh disedekahkan lagi?

 Kalau tunggu-tunggu, nanti ditakdirkan kita sakit atau lumpuh , banyak mana ibadah dapat dibuat lagi.

 Kalau tunggu-tunggu, nanti orang lain pula yang solatkan kita. Ketika itu tiada gunanya kita.

Sumber : HITAMPUTIH




BACALAH PANJANG MANAPUN
Kisah ini terjadi di tanah arab. Dahulu ada seorang menteri bersolat Maghrib berjemaah di sebuah masjid yang akan dirasmikannya. Dia merasakan bahawa Imam membaca sangat panjang. Seusai solat, dalam ucapannya beliau menyelitkan kata-kata ‘bukankah kita diajar agar tidak menyusahkan orang lain? Rasulullah bahkan mempercepat solatnya apabila mendengar tangisan kanak-kanak. Jadi , baca satu ayat sahaja apa salahnya?’ Nada tegurannya agak keras. Walhal si Imam hanya membaca tiga empat ayat sahaja. Maklumla, si menteri itu jarang sekali bersolat jemaah. Dalam solat bersendirian dia terus rukuk selepas al fatihah. Tiba waktu di solat Isyak. Rakaat pertama. Selepas al fatihah imam membaca 1 ayat sahaja ayat 67, surah al Ahzab ‘Dan mereka berkata lagi ’Wahai Tuhan kami,  sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua dan orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar’. Dalam rakaat kedua  si Imam menyambung dengan 1 ayat berikut ‘Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara 2 kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebenar-benarnya’. (al Ahzab 33 : 68). Seusai solat menteri mendekati si Imam lalu membisikkan ‘Wahai Imam, ikutlah kamu hendak baca panjang mana dan ayat mana, asalkan bukan 2 ayat Allah ini’. 

Pengajaran
Al Quran sarat teguran dan nasihat yang menyedarkan. Sayangnya, ramai yang tidak berusaha memahami, sebaliknya lebih seronok melagukannya semata-mata.
Sumber : Angguk Geleng




 RAHSIA MENGECAP KEMATIAN TERINDAH
 IMAN– keimanan tidak mungkin tumbuh  subur dalam hati jika tidak dibajai dengan ilmu agama dan disirami dengan amal kebaikan.
 AMAL SOLEH—Gunakan segala ruang untuk melakukan amal soleh dan kebaikan. Rebut peluang  selagi berkesempatan.
 IKHLAS—lakukan amal soleh dengan penuh keikhlasan.
 SOLAT– solat pemisah antara Mukmin dan kufur.
 KETAATAN KEPADA IBUBAPA– berbaktilah kepada ibubapa kerana mereka akan menjadi jalan kita ke syurga.
 JAGA ANGGOTA—jagalah setiap anggota badan yang dikurniakan kepada kita, amanah Allah yang akan disoal di akhirat kelak.
 PUASA– banyakkan berpuasa kerana akan menjadi benteng daripada api neraka.
 MOHON AMPUN—carilah keampunan Allah dengan taubat nasuha. Jangan menangguhkan taubat takut-takut kita tidak sempat bertaubat.

Sumber :  zikra


AGAR TENANG SEMASA DIUJI

 Ucapkan Innalillah

Walau hanya kesulitan kecil, apatah lagi diuji dengan sesuatu yang terasa berat, Lantunkan ucapan ini (Inna lilla hiwaiina ilaihi rajiunn) berkali-kali agar tenang dan reda meresap di dalam  diri.

 

  Anggap Ujian Sebagai Anugerah

Bergembiralah mereka yang dberi ‘anugerah’ ujian. Setiap manusia ditimpakan ujian yang berbeza-beza mengikut tahap keimanannya’.

 

 Sabar Dan Solat

Allah berfirman ‘dan mintalah pertolongan dengan sabar dan solat’. (Al Baqarah 2 : 45) Dua senjata semasa diuji, bersabar dan bersolat.

 

 Istighfar dan Doa

Ujian yang menimpa bukan hanya kerana kita berdosa, tetapi Allah mahu menghapuskn dosa. Beristighfarlah, semoga dengannya boleh menghapuskan dosa-dosa kecil. Lazimi istighfar dan berdoa agar kebaikan sentiasa mengiringi ujian. 

 

 Jaga Lidah

Lidah boleh jadi anggota terbaik namun kemungkinan menjadi anggota terburuk dan menjerumuskan empunya badan ke neraka. Jangan sampai lidah mengeluarkan kata-kata buruk saat diri terasa tidak mampu mengharungi ujian mendatang. Pimpin lidah agar yang terbit hanya kata-kata yang baik, bukan penyebab hilangnya pahala diuji. 

 

 Positif

Fikiran, kata-kata dan tindakan positif mengecas semangat baru dalam diri. Tidak kiralah diuji dengan kesenangan atau kesusahan, tingkah positif kita kan memberi kesan besar dalam diri. Minda yang ditanam dengan kata-kata positif akan melahirkan tindakan yang baik-baik. Elakkan kata-kata negatif melintas dalam fikiran, sangat buruk kesannya. 

 

 Baca Kisah Mereka Yang Diuji 

Kita selalu terinspirasi dengan mereka yang diuji dan berjaya menghadapinya. Bacalah kisah-kisah mereka untuk mengambil pengajaran daripadanya.

 

 Yakin Ada Jalan Keluar 

Yakin dengan janji Allah. Allah menguji kerana sayangNya kepada hamba. Sebesar mana ujian, ada penyelesaian yang mengiringinya. Allah akan memberikan jalannya berdasarkan sangkaan manusia kepadaNya.






No comments:

Post a Comment