Google Ads

Sunday 3 January 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 206

MENARIK DI DALAM
·        ‘Hanzalah Telah Munafik’
·        Sangka Buruk Akar Fitnah
·        Inilah Dai Sebenar
·        Taklid Buta
·        Berikan Air Kepadanya Dahulu
·        Bermulanya Fasa Baharu



‘HANZALAH TELAH MUNAFIK’

Hati ialah raja diri. Maka untuk memperbaiki diri, usaha memperbaiki hati perlu dijalankan. Hati sangat mudah terkesan dengan suasana. Suasana yang tidak baik mempengaruhi hati ke jalan sebaliknya. Hanzalah al Usayyidi jurutulis Rasulullah saw. Pada suatu hari, beliau bertembung dengan Sayidina Abu Bakar. Ketika disapa oleh Abu Bakar , Hanzalah dengan penuh risau dan ketakutan menjawab ‘Hanzalah telah munafik!’. Terkejut dengan jawapan sedemikian, Abu Bakar berkata ‘Maha Suci Allah! Apa yang kamu cakapkan ini?’’Apabila kita bersama Rasulullah saw, ketika Baginda mengingatkan kita tentang syurga dan neraka, seolah-olah kita dapat melihat kedua-duanya di depan mata. Namun sebaik kita keluar dan kita mula sibuk dengan isteri, anak-anak dan urusan kerja, maka kita mula melupakannya’. Mendengar penjelasan Hanzalah, Abu Bakar membalas ‘Demi Allah, ini juga berlaku kepada kami’. Lalu mereka menemui Rasulullah. Hanzalah lantas mengadu ‘Hanzalah telah jadi munafik, Ya Rasulullah!’ Lalu Rasulullah bertanya ‘Mengapa kamu berkata begitu?’ ‘Ya Rasulullah, ketika kami bersama tuan, ketika tuan mengingatkan kami tentang syurga dan neraka, seolah-olah kami dapat melihat kedua-duanya depan mata kami. Namun, sebaik kami keluar dan mula sibuk dengan isteri, anak-anak dan urusan kerja, maka kami mula melupakannya’. Dengan sedih Hanzalah memberikan penjelasan. Maka sahut Rasulullah ‘Demi zat yang diriku ditanganNya! Jika kamu mampu mengekalkan keadaan kamu sebagaimana kamu berada di sisiku, pasti para malaikat akan berjabat tangan dengan kamu hingga walaupun di atas hamparan tidur dan sewaktu dalam perjalanan kamu, tetapi Hanzalah kadang-kadang kamu begitu, dan kadang-kadang kamu begini!’ (Riwayat Muslim). Kisah ini memberikan gambaran jelas betapa suasana mampu mempengaruhi hati. Bukan sahaja hati kita, bahkan hati tokoh-tokoh seperti para sahabat Rasulullah.

Sumber : ISLAH

 


SANGKA BURUK AKAR FITNAH

Islam sangat melarang umatnya bersangka buruk. Allah menegaskan ‘wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu ialah dosa’ (Al Hujurat 49:12). Allah melarang sikap bersangka buruk yang akan menggugat persaudaraan. Mustahil hidup bermasyarakat akan aman sekiranya sifat bersangka buruk menjadi budaya. Rasulullah bersabda ‘Jauhilah bersangka-sangka kerana bersangka-sangka bicara yang paling dusta’ (Riwayat al Bukhari dan Muslim). Buruk sangka itulah punca yang akan menimbulkan fitnah dan umpat. Maksudnya buruk sangka perbuatan dalam hati yang terzahir melalui umpatan dan fitnah. Oleh itu apabila melintas sahaja sangkaan buruk, maka tepislah agar tidak singgah apalagi menetap dalam hati. Bermujahadahlah untuk membuang sangka buruk dengan memberi pelbagai alasan untuk terus bersangka baik.

Sumber : Solusi

 

 

 


INILAH DAI SEBENAR
A)BERPERSONALITI MENARIK
Cara tutur kata dan penampilan pendakwah akan menarik perhatian pendengar dan penonton kerana pada dasarnya jiwa manusia itu cenderung dan tertarik dengan penampilan yg indah dan baik.

B) BERUSAHA MENJADIKAN DIRI LEBIH BAIK
Sifat asas seorang pendakwah ialah berusaha untuk memperbaiki dirinya agar mentaati Allah dan menjauhi segala laranganNya. Rasulullah bersabda ‘orang yang berjuang ialah orang yang berjuang ialah orang yang berjuang terhadap nafsunya dalam mentaati Allah’. (Riwayat Ibn Hibban).

C) MENGOTAKAN KATA-KATA
Seorang pendakwah hendaklah mendahulukan contoh perbuatan daripada ucapannya kerana dakwah melalui akhlak yang baik merupakan media yang paling berkesan kepada masyarakat.




TAKLID BUTA
            ‘hujan lebat. Malam amat gelap. Saya juga tidak tahu arah jalan ke Bandar. Bagaimana saya mahu memandu untuk pergi ke Bandar?’ Tanya anak kepada ayahnya. ‘kalau begitu, kamu ikut sahaja lampu kereta yang ada di hadapan’. ‘baiklah ayah’. Sebaik memandu keluar dari rumahnya, pemuda itu menunggu sahaja kereta lalu. Kemudian dia mengekori belakang sebuah kereta menuju ke Bandar, berpandukan lampu belakang kereka itu. ‘mudah sangat’. Bisiknya. Apabila kereta itu belok kanan, dia akan belok kanan, jika ke kiri, dia pun akan belok kiri. Apabila berhenti, dia juga berhenti. 100% ikut kereta di hadapan. Hujan masih lebat dan cuaca masih gelap, namun dia yakin akan sampai ke Bandar jika dia mngikut kereta itu. Tidak lama kemudian kereta itu bergerak perlahan dan akhirnya berhenti. Dia menunggu, tetapi kereta itu tidak bergerak-gerak lagi dan lampu belakangnya dipadamkan. ‘mengapa kamu berhenti? Kita belum sampai ke Bandar.’ katanya kepada pemandu kereta dihadapan setelah keluar dari kereta. ‘la, ini rumah saya! Kenapa saudara mengikut saya sampai ke pintu pagar rumah saya ni?’ pemuda itu menepuk dahinya. Itulah akibatnya mengekori secara membuta tuli.

Pengajaran
Kita hanya boleh memimpin orang yang celik. Jika kita ingin mengikut sesuatu fahaman, kumpulan atau apa-apa sahaja dalam hidup ini, kita mestilah mengikutnya dengan ilmu dan penuh kesedaran. Jangan taklid buta.
Sumber : Angguk Geleng





BERIKAN AIR KEPADANYA DAHULU  
Huzaifah : ‘Aku telah bertolak ke tempat berlakunya Peperangan Yarmouk untuk mencari sepupuku yang kesakitan dan kehausan untuk kuberikan kepadanya air yang ada bersama-samaku. Apabila kau dapat menemuinya, lantas aku memberikannya air. Sedang sahaja sepupuku itu hendak meneguk air, maka dia terdengar suara muslim yang mengadu kehausan, maka sepupuku lantas menyuruhku agar memberi minum kepada orang itu dahulu. Aku pergi kepada orang itu dan aku dapati dia ialah Hisyam bin Al As. Apabila Hisyam hampir sahaja meneguk air tersebut, maka terdengar oleh Hisyam suara sahabat seperjuangan yang lain mengadu kehausan, maka Hisyam pun menyuruhku untuk pergi dan memberikan air kepada orang itu dahulu. Aku pun pergi kepadanya dan belum sempat pun aku memberikannya air, dia telah pun syahid. Aku berpatah balik kepada Hisyam, dan aku dapati dia juga telah syahid. Kemudian aku pergi pula kepada sepupuku tetapi belum sempat pun aku memberikannya air, dia telah pun syahid’.





BERMULANYA FASA BAHARU
Mati ialah keadaan yang mana roh akan berpisah dengan jasad. Roh akan kembali kepada penciptanya. Kematian pasti dialami oleh setiap makhluk yang hidup. Hanya Allah yang akan kekal selama-lamanya. ‘tiap-tiap diri akan merasai mati. Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu akan kembali’. (Al Anbiya’ 21: 35)

Transit
Kematian hanya pengakhiran di dunia yang fana, bukan pengakhiran sebuah kehidupan. Allah menegaskan dalam surah al Mulk bahawa kehidupan dan kematian adalah untuk menguji dan menilai diri kita. Apabila mati, secara automatik akan berakhir semua cubaan dan penilaian sekaligus bermulanya satu kehidupan baharu. Itulah alam barzakh iaitu transit menuju ke alam akhirat. Kita hanya akan berada di alam akhirat setelah dunia kiamat. Selagi belum kiamat, orang yang sudah mati akan berada di alam barzakh. Di alam barzakh, kita akan di uji dan di nilai oleh Allah. Hanya menerima balasan atas segala amal di dunia. Jika baik amal, maka kita akan mengharungi kehidupan yang indah, lebih indah daripada dunia.

Bekalan
Disini, kita akan disoal oleh malaikat Munkar dan Nakir mengenai kehidupan di dunia. Jika berjaya dalam soal siasat ini, insyaAllah kita akan berjaya di akhirat kelak. Allah mengingatkan kita tentang persiapan bekalan amal sebelum mati ‘Hendaklah kamu semua membawa bekal. Sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah takwa’ (Al Baqarah 2:197)
Bekalan amal bukan ibadah semata-mata seperti solat dan puasa, tetapi amalan-amalan lain seperti bersedekah dan sebagainya. Hal ini kerana setiap kebaikan walaupun sebesar zarah akan dinilai kerana Allah amat menyayangi hamba-hambaNya.

Ingat
Manusia zaman ini menganggap kematian perkara yang remeh. Malah ada yang mempermainkan soal mati. Mengelak daripada mengingati mati bermakna menolak kebenaran. Memandangkan kita tidak tahu tarikh ajal akan menjemput, lebih bijak kita mengingati mati agar terpelihara daripada berbuat dosa dan sentiasa berbuat amalan baik. Ingat mati dapat memantapkan keyakinan di samping berbuat amalan baik. Ingat mati dapat memantapkan keyakinan di samping meneguhkan  semangat. Bahkan dapat menghalang nafsu daripada terjebak ke lembah dosa dan godaan syaitan. Ingat mati juga dapat menyemai keazaman untuk menghindari segala perkara yang dimurkai Allah. Kita harus mengingati mati untuk sentiasa menambah bekalan amalan. Jika bekalan penuh dengan kebaikan, maka permulaan kehidupan kita di alam barzakh akan menjadi suatu permulaan kehidupan baharu yang baik.
Sumber : zikra
           






No comments:

Post a Comment