Google Ads

Tuesday 12 January 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 215

MENARIK DI DALAM
·        ‘Dewan Peperiksaan’
·        Beretika Di Laman Sosial
·        Padah Lidah
·        Match maker
·        Hadiahkan Pahala
·        Sahabat
·        Hadis Qudsi
·        3 Pintu Kawalan



‘DEWAN PEPERIKSAAN’
Umur sesingkat satu setengah jam (Ukuran akhirat) ketika hidup di dunia ini samalah dengan tempoh masa yang diberikan untuk menjawab satu kertas soalan peperiksaan di sekolah. Oleh yang demikian, hidup di dunia bolehlah diumpamakan seperti menduduki satu ujian di dalam dewan peperiksaan. Justeru, Allah juga telah menjelaskan bahawa hidup ini adalah untuk menghadapi ujian. Firman Allah ‘Yang menjadikan mati dan hidup bagi menguji kamu, siapakah antara kamu yang terbaik amalannya’. (Surah al Mulk 67:2) sebagai contoh seorang peniaga. Mari kita bertanya kepada diri masing-masing bagaimanakah sikap seorang yang sedang berniaga? Ya, peniaga yang baik mestilah seorang yang sangat berhemat dan berjimat dengan modalnya. Dia akan berusaha supaya modal yang sedikit itu digunakan secara tepat dan bijaksana untuk menjana keuntungan yang berganda. Dia tidak akan menggunakan modal bagi aktiviti yang tidak menguntungkan. Setiap sen dicatat dan dikira dalam akaun perniagannya. Bukan itu sahaja, pada setiap hari, minggu, bulan dan tahun dia akan melakukan proses timbang duga untuk mengetahui keseimbangan antara kedudukan kredit dan debitnya. Adakah dia untung akan rugi?. Kita semua tahu apakah jawapannya. Maka begitulah sewajarnya sikap hamba Allah ketika hidup di dunia. Dia hakikatnya sedang berniaga dan sedang menduduki peperiksaan. Jika manusia menyedari hakikat ini masakan mereka tergamak mensia-siakan waktu. Walaupun kita tidak tahu bilakah tempoh usia akan tamat, tetapi kita sepatutnya menyedari bahawa semakin lama kita hidup maka semakin pendeklah baki usia yang masih tinggal. Bukankah hari demi hari kita gunakan jumlah masa dalam tempoh usia yang telah ditetapkan di alam rahim itu?
Sumber : Pesan hati Untuk Hati


BERETIKA DI LAMAN SOSIAL
¤ UTAMAKAN AGAMA, ELAKKAN DOSA.
Asas yang paling utama ialah pertimbangan iman dan syarak untuk menentukan apa yang patut dan tidak patut dilakukan. Jangan terlalu, terpengaruh dengan gaya hidup terkini dalam menggunakan laman sosial. Harus diingat apa yang dimuatkan di laman sosial boleh menjadi ‘dosa jariah’ jika termasuk perkara keji yang dipanjang-panjangkan oleh orang lain di alam siber.

¤ FIKIRKAN FAEDAH, KESAN DAN AKIBAT.
Seterusnya, fikirkan pelbagai perspektif kesan tindakan kita. Apakah faedah memuat naik, berkongsi atau menyatakan sesuatu di laman sosial? Adakah sesiapa yang akan terkesan dengan tindakan kita? Adakah melibatkan rahsia, maruah diri, keluarga atau harta seseorang? Jika mudarat mengatasi manfaat, lebih baik berhenti. Pastikan apa yang kita lakukan baik dan positif menurut timbangan syarak. Apa yang harus diambil kesempatan ialah menggunakan laman sosial untuk menjadikan kebaikan sebagai sesuatu yang ‘viral’.

¤ JAGALAH DIRI KITA YANG ‘KEDUA’.
Jangan lupa, apa yang dipaparkan di laman sosial menggambarkan peribadi dan sikap kita. Bahkan boleh menjadi cerminan diri fizikal kita jika kita memuat naik gambar diri. Secara tidak langsung, apa yang kita anggap sebagai satu bentuk komunikasi itu sebenarnya adalah ’diri kita yang kedua’ di alam maya . Lantaran kewujudan diri di alam maya, kita harus sentiasa sedar yang tindakan kita sentiada diperhatikan dan dinilai oleh orang lain. Jika ada yang menegur, jangan melenting sebaliknya bersyukurlah kerana menyedarkan kita untuk membetulkan kesilapan yang mungkin tidak disedari. 

¤ UTAMAKAN PENILAIAN ALLAH SEBELUM MANUSIA.
Seharusnya kita sedar tentang pemerhatian Allah ke atas diri kita serta catatan yang dibuat malaikat tentang  perbuatan kita. Sering kali manusia terlupa tentangnya kerana terlalu memberi tumpuan kepada penilaian manusia lain.
Sumber : TEKNO DA’I


PADAH LIDAH!!!
Rasulullah bersabda
‘Boleh jadi seseorang menuturkan satu kata-kata yang menurutnya tiada apa-apa  namun dengan itu dia masuk neraka selama 70 tahun’.
(Riwayat al Tirmizi)

Sahabatku..
Berhati-hati apabila ingin berkata-kata. jangan biarkan segala amal kita rosak binasa hanya kerana kata-kata yang keluar dari mulut yang mungkin hanya beberapa   saat… nauzubillah hi min zalik!!




           


MATCH MAKER
Ustaz Ahmad masuk ke kelas dan berkata: ‘Saya Yakin kamu semua boleh jadi suami mithali. Tinggal lagi kamu kena lengkapkan diri dengan iman dan ilmu. Kamu kena belajar bersungguh-sungguh dan mendapat kerjaya yg baik. ’nanti sesiapa yang hendak kahwin, bagitahu saya. Saya boleh padankan kamu dengan calon yang sesuai ikut citarasa yang kamu idamkan’.
Kelas yang semua pelajarnya lelaki menjadi gegak. Semua berebut-rebut ’mendaftarkan’ diri. ’isteri yang bagaimana yang kamu hendak?’
 ’saya hendak orangnya lawa. Kalau boleh orang putih, kulit cerah, hidung mancung, mata bulat dan rambut blonde’.
’ada’.
’saya nak bakal isteri saya nanti seorang suri rumah sepenuh masa. Yang pandai masak sedap-sedap untuk saya. Kemas rumah dan siapkan pakaian saya. Apabila saya pulang ke rumah saya disambut dengan romantik sekali. Kemana saja saya pergi, dia boleh ikut’. ’bisa diatur’.
’saya pula hendak orang kaya. Walaupun saya miskin, dia boleh terima saya seadanya. Dia tidak merungut, mengeluh, dan memandang rendah saya. Pada dia, saya suami idaman hatinya. Maka dia sayang saya sungguh-sungguh pada saya’.
’Ini sangat senang nak dapat!’
’yakah Ustaz?, jangan mempermainkan kami’.
’pernahkah saya menipu kamu?’
’Tidak. Mesti tinggi mas kahwinnya!’.
’tak sabar sungguh kamu ya? Baguslah kamu bersemangat begini. Sebabnya maskahwin yang mereka syaratkan adalah hanya untuk orang yang bersemangat dan bersungguh-sungguh sahaja yang boleh penuhi’.
’orang mana ustaz?, kalau orang Kelantan, saya sanggup!’.
’orangnya bidadari-bidadari syurga. Jadi beramallah dari sekarang untuk mendapatkan mereka’.  

Pengajaran
Jadikanlah syurga dan kenikmatannya sebagai motivasi untuk beramal. Tiada salahnya. Bahkan al Quran dan hadis sendiri penuh dengan tawaran-tawaran sebegini.
Sumber : Angguk Geleng






HADIAHKAN PAHALA
Seseorang melaporkan kepada Hassan al Basri bahawa seseorang mengumpat beliau. Lantas beliau pergi menemui lelaki itu dengan membawa sebakul kurma. Beliau berkata saya mendapat tahu bahawa saudara menghadiahkan pahala-pahala tuan untuk saya. Jadi saya hendak membalas dengan ini.
(Syarh sahih Muslim, Ibn al Battal)





SAHABAT

 

MEMAHAMI

Dia memahami sikap, tindakan dan perangai buruk baik kita. Sahabat seperti ini sukar untuk dicari, namun biasanya kita tidak sedar kehadirannya di sisi. Dia memahami setiap situasi kita. Menerima kita seadanya dalam apa-apa jua keadaan. Tidak menyakiti malah mengubati kita. Jika mahu menjadi seorang sahabat yang memahami, berusahalah untuk memahami sahabat lain di samping mengenali diri sendiri.

 

MENOLONG

Menolong boleh diertikan dengan 2 keadaan, menolong jika kita menghadapi kesulitan atau ‘menolong’ memberi masalah kepada kita. Kedua-dua sahabat ini baik untuk mendewasakan kita. Ertinya, jadikan masalah yang ‘diberikan’ sebagai suatu cabaran untuk kita menyelesaikannya. Tiada yang mustahil untuk kita capai jika perbuatan dan tindakan kita demi mencari keredhaan Allah.

 

MENDORONG

Dia suka memberi dorongan dan nasihat kepada kita. Biasanya sahabat ini bermotivasi tinggi dan rapat dengan kita. Andai kata kita dapat mengenal pasti sahabat begini, satu bonus kerana orang sekeliling kita positif!

Sumber : genQ




HADIS QUDSI
Kami menunaikan solat Maghrib bersama-sama Rasulullah saw. Seusai solat, sebahagian kami pulang dan sebahagian daripada kami menetap di masjid. laluRasulullah datang dalam keadaan tergesa-gesa dan bersabda ‘bergembiralah kalian dengan berita ini, Tuhan kalian telah membuka pintu daripada pintu-pintu langit dan membanggakan kalian kepada para malaikat dengan firman ‘lihatlah hamba-hambaKu , mereka telah menunaikan kewajipan dan menanti untuk menunaikan kewajipan yang lain’.
(Riwayat Ibn Majah)


3 PINTU KAWALAN
Sebelum menuturkan apa yang hendak dikata, lalukan dahulu melepasi 3 buah pintu kawalan ini. Jika lepas, maka kita boleh mengucapkannya.
1. Betulkah? Berapa banyak berita dan cerita yang tersebar tidak betul.
2. Perlukah? Ada perkara yang betul tetapi mungkin tidak perlu disampaikan.
3. Elokkah? Ada perkara yang betul dan dirasakan perlu tetapi tidak elok disampaikan.




No comments:

Post a Comment