Google Ads

Tuesday 5 January 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 208

MENARIK DI DALAM
·        Soal Jawab
·        Doa Bangun Tidur
·        Tegurlah Walaupun Bersangka Baik
·        Cerdik Baik
·        Biasa
·        Ingin Berjaya?
·        Bagaimana Sambil Menunggu Dapat Pahala?




SOAL JAWAB
SOALAN
Sesetengah orang sudah ada kaedah, malah ada ilmu tentang pengurusan masa tetapi masih tidak berjaya mengurus masa dengan baik, kenapa hal ini berlaku dan bagaimana kita boleh mengatasinya?.

JAWAPAN
Binalah prinsip hidup yang kuat. Prinsip itu letakkannya di hati. Hati ialah raja dalam kerajaan diri kita. Hatilah yang memerintah tangan, kaki, lidah, mata dan seluruh pancaindera. Apabila hati sudah mahu, barulah kaedah-kaedah yang kita belajar tentang pengurusan masa boleh kita gunakan. Hendak 1000 daya, tidak hendak 1000 dalih. Apabila hati ada kemahuan, barulah pengetahuan berguna. Jika kita hanya tahu kaedah belajar yang baik, tetapi malas belajar, insyaAllah selamanya kita akan terus jahil. Pendek kata, yang pertama binalah kemahuan, barulah pengetahuan dapat diamalkan. Bagaimana hendak mengatasi masalah ini? Sekali lagi, tingkatkan keyakinan diri dengan meningkat keyakinan terhadap Allah. Ingat tujuan hidup  yang telah ditentukan oleh Tuhan-dari mana, untuk apa kita dijadikan dan ke mana kita akan pergi selepas mati? jika ini benar-benar dihayati, barulah kita ada kemahuan untuk mengurus nyawa kita dengan baik. Apabila ada kemahuan mengurus nyawa kita dengan baik, barulah kita akan terdorong untuk mengurus masa kita dengan baik. Pada ketika itu barulah kaedah yang kita pelajari dalam ilmu pengurusan masa dapat dilaksanakan dalam kehidupan sehari-hari. insyaAllah. Pendek kata, untuk mengatasi masalah ini, kita perlu suburkan iman. Dengan adanya iman yang kuat, kita akan mengikut sepenuhnya ajaran Islam dan setelah semua itu ada barulah kita boleh menggunakan ilmu tentang pengurusan masa dengan baik.   



DOA BANGUN TIDUR
‘segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami selepas Dia mematikan kami dan kepadaNyalah kami akan dikembalikan.     (Riwayat al Bukhari)


TEGURLAH WALAUPUN BERSANGKA BAIK

Sikap bersangka baik bukan penghalang untuk memberi teguran, nasihat bahkan amaran sekiranya kesalahan dan kemungkaran berlaku secara terang-terangan dan berulang kali. Ertinya, sangka baik perlu disertai dan diimbangi dengan sikap rasional dan berhati-hati. Misalnya, mana mungkin kita bersangka baik sekiranya kita melihat seseorang sedang mengopak pintu rumah kita ketika dinihari. Atau apabila melihat pihak yang terang-terangan menghina Nabi Muhammad, lalu kita bersangka baik namanya, tetapi dayus dan pengecut!. Namun sekiranya masih ada pilihan dan peluang untuk mendapat kebaikan, sikap bersangka baik adalah wajar. Itulah harapan untuk mendapat kebaikan walaupun individu, situasi atau  keadaan yang sedang dihadapi tidak baik. Sangka baik, dapat baik. Begitulah prinsip perjuangan yang diamalkan oleh pemimpin-pemimpin besar yang menginginkan kebaikan buat bangsa, rakyat atau umatnya. Rasulullah sendiri ketika dibaling batu ketika berdakwah di Taif, terus bersangka baik kepada umatnya dengan mendoakan ’Ya Allah ampunkan kaumku kerana mereka tidak tahu. Aku mengharapkan zuriat mereka kelak akan beriman dengan seruanku’.  

 

Sumber : Solusi

 

 

 


CERDIK BAIK

BERFIKIRAN POSITIF
Apabila paradigma yang ada dalam minda seseorang positif, secara tidak langsung akan melahirkan tindakan positif. Tindakan positif amat penting dalam perjalanan seseorang mendaki mercu kejayaan. Aura positif dalam diri bukan hanya terkesan dalam diri individu sebaliknya insan di sekeliling.

USAHA, USAHA DAN USAHA 
Jika hasil yang diperoleh tidak setimpal usaha, jangan kecewa. Allah pasti menyediakan sesuatu yang lebih baik jika kita terus berusaha. Kegagalan selalu menyediakan jalan lain untuk mencapai kejayaan. Selagi tidak berputus asa, Allah menilai semua usaha.

HUBUNGAN DENGAN ALLAH
Kita selalu mendengar, hubungan dengan manusia ditentukan oleh hubungan kita dengan Allah. Benar, orang yang mengasihi akan disayangi. Orang yang selalu mendoakan akan didoakan. Semua yang kita lakukan diperhatikan Allah.  Allah Maha Tahu, tetapi Allah melihat usaha kita untuk mencapai sesuatu.
Sumber : DFMK



BIASA  
Ayah: Bagaimana program motivasi di sekolah hari ini?
Anak: seronok! Ustaz itu kata, kalau hendak berjaya mesti menjadi luar biasa. Semangat dan usaha kita mesti luar biasa daripada orang biasa-biasa.
Ayah: Itu berjaya di dunia. Untuk berjaya di akhirat, jadi orang biasa pun dah cukup… biasa solat berjemaah, biasa solat malam serta biasa bersedekah...

Pengajaran
Untuk berjaya sebenarnya jauh lebih senang daripada gagal.
Sumber : Angguk Geleng



,


INGIN BERJAYA?
FOKUSLAH!!
¤ Pengurusan Masa Lebih Berkesan
Sekiranya fokus untuk mencapai sesuatu matlamat, secara tidak langsung kita akan memasukkannya ke dalam agenda dan perancangan harian, semester dan tahunan. Keadaan ini bermakna masa berkualiti akan diperuntukkan untuk mencapai matlamat tersebut.

¤ Kekal Bermotivasi
fokus juga berkait rapat dengan minat yang seterusnya menyumbang kepada motivasi diri. Orang yang fokus bukan sekadar bermotivasi, tetapi berupaya mengekalkan motivasi lantaran sedar ada sesuatu yang sangat berharga menunggunya di penghujung jalan. Tiap-tiap kali semangat pudar, bayangan impian yang ingin dicapai akan menaikkan semula semangat untuk terus berlari laju ke hadapan dan tidak membiarkan masalah-masalah remeh menghalang perjalanan, atau emosi negatif menguasai.

¤ Kepekaan Meningkat
Perlu anda lalui pengalaman ini-tiba-tiba rasa ingin tahu sangat tinggi tentang sesuatu, contohnya tentang Palestin? Apa tindakan anda? Pastinya anda mula mencari maklumat berkaitan dengan pelbagai sumber media cetak dan elektronik, bertanya dengan individu yang boleh dipercayai dan apa-apa kaedah yang berada dalam jangkaan. Segala usaha anda akan lakukan demi memenuhi naluri ingin tahu tersebut. Hasilnya anda mendapat maklumat yang sangat banyak, kadang-kadang di luar jangkaan dan amat menakjubkan! Keadaan ini berlaku kerana kita mula fokus.
Sumber : Mendidik Pendidik






BAGAIMANA SAMBIL MENUNGGU DAPAT PAHALA?

 MEMBACA

Dimana-mana boleh membaca. Menunggu kapal terbang berlepas, di hospital dalam kenderaan. Caranya mudah, sediakan dalam beg tangan sebuah buku yang senang dibawa. Atau sekarang lebih mudah kerana ada telefon pintar. Terdapat pelbagai bahan bacaan bermanfaat semasa mennunggu. Percayalah, masa anda terlalu pantas berlalu jika dimanfaatkan dengan membaca. Paling baik, baca al Quran sambil memikirkan makna dan tadabbur. Dengan membaca pasti banyak ilmu baharu yang diterokai. Ilmu dan buah fikiran baharu.

 

 MULAKAN PERKENALAN

Setiap muslim itu bersaudara. Dan setiap hari kita akan bertemu dengan wajah-wajah baharu terutama semasa menunggu. Justeru ringankan mulut untuk bertegur sapa dgn insan disebelah. Bukan sahaja menambahkan kenalan, bahkan mampu mengurangkan keresahan tempoh menunggu yang lama. Mulakan dengan senyum dan salam. Daripada 2 tindakan ringkas ini membentuk perkenalan baharu yang berpanjangan.

 

 MEMERHATI

Masyarakat sekeliling sebagai sumber ilmu. Dengan memerhati sahaja kita boleh mendapat pengalaman baharu. Perhati, analisis dan ambil pengajaran. Manfaatkan mata untuk memerhati dan menilai kejadian di sekeliling.

 

 MENDENGAR

Seni mendengar tidak dimiliki ramai orang. berapa ramai yang suka bercakap tetapi tidak suka mendengar. Dengarkan suara-suara yang ada di sekitar. Selepas memulakan perbualan dengan orang di sebelah, perbualan pastinya bersambung dengan hal-hal lain.

 

 BUAT ‘SESUATU’

Apabila kita melakukan ‘sesuatu’ tidak akan terasa masa yang beredar. Contohnya kemaskan dompet @ beg tangan. Tulis rancangan harian. Menyelesaikan hal-hal kecil-kecil yang tertangguh. Percayalah, masa menunggu terasa bermakna apabila dimanfaatkan walau dengan melakukan perkara remeh.

 

 BERZIKIR DAN BERDOA

Zikir dalam diam, mengingat kebesaran Allah. Ingat Allah dalam hati agar diberikan kesabaran. Doa senjata mukmin.

Sumber : BAGAIMANA YA?  -PN.JAMILAH




No comments:

Post a Comment