Google Ads

Saturday 23 January 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 223

MENARIK DI DALAM
·        Tudung Dedah
·        Mutiara Salaf
·        Sunnah Menguap dan Bersin
·        Tahan Pandangan Daripada…
·        Sengaja
·        Kawal mata Hati Terjaga
·        Longgar
·        Allah Suka Bersih, Allah Benci Menguap
·        Diam

TUDUNG DEDAH
Lihatlah, keadaan sekarang sungguh berbeza, apa yang sering terjadi ialah sudah bertudung, tetapi belum menutup aurat (maaf, dengan T-shirt sendat, jean ketat dan tudung yang pendek, nipis dan jarang). Bagaimana iingin berdakwah jika penampilannya begitu, sebaliknya wanita yang bertudung itulah yang perlu di dakwah. Ada kalanya perilaku mereka lebih buruk daripada wanita yang tidak bertudung. Hati kita tertanya-tanya, jika begitu mengapa mereka bertudung?. Apa niat kita bertudung?. Atau lebih tepat lagi, mengapa kita menutup aurat? Bertudung kerana hendak kelihatan cantik, kelihatan baik, menutup ‘kekurangan’ wajah dan ‘kerana-kerana lain’ yang bukan kerana Allah (kewajipan menutup aurat) sesungguhnya akan mendedahkan si pemakainya kepada perlakuan-perlakuan negatif. Jadi, menutup mestilah atas dasar tauhid dan keimanan kepada Allah dan kerana yakin adanya hari akhirat, syurga serta neraka. Jika niatnya ’kerana-kerana lain’, maka itulah yang akan menjerumuskan wanita yang bertudung ke arah kemungkaran. Fenomena ’kerana-kerana lain’ ini bukan sahaja menimpa syariat menutup aurat, tetapi keadaan yang sama boleh berlaku kepada hokum-hukum Allah yang lainnya. Solat misalnya, jika dilaksanakan bukan kerana Allah (kerana riyak, ujud, dan lain-lain lagi) akan menyebabkan seseorang yang solat itu jauh dari Allah swt. Malah keadaan inilah yang berlaku kepada mereka yang bertudung (sekalipun menutup aurat) tetapi bukan diniatkan atas perintah Allah. Pemakainya bukan bertambah dekat, tetapi semakin jauh daripada Allah.

Sumber : Pesan Hati Untuk Hati


MUTIARA SALAF
Jika kata-kata ibarat perak, maka diam adalah emas.
(Riwayat al Bukhari)



SUNNAH MENGUAP

 SUNNAH MENGUAP 1 :TUTUP MULUT

‘jikalau ada antara kamu Menguap, maka tahanlah tangannya pada mulutnya kerana syaitan akan masuk ke dalamnya  (Jikalau mulut tidak ditutup)’

(Riwayat Muslim)

 

  SUNNAH MENGUAP 2 :TIDAK BUNYI SUARA

‘apabila ada diantara kamu menguap, tahanlah dengan sedaya upaya mungkin kerana apabila seseorang menguap sambil berbunyi ‘hah’, maka syaitan akan mentertawakannya’.

(Riwayat al Bukhari)

 

 

 

SUNNAH BERSIN

 SUNNAH BERSIN 1 :UCAPLAH ALHAMDULILLAH

‘apabila ada di antara kamu yang bersin, maka ucapkanlah alhamdulillah’

(Riwayat al Bukhari).

Ya, kita bersyukur kerana bersin membersihkan hidung kita daripada bakteria dan virus.  Bersin sememangnya proses imun semulajadi badan yang menjamin kesihatan. Ya, kita juga bersyukur kerana dapat melakukan apa yang disukai oleh Allah, iaitu bersin.

 

  SUNNAH BERSIN 2 :TUTUP MULUT DAN PERLAHANKAN SUARA

‘apabila Rasulullah bersin, baginda meletakkan tangannya atau kain bajunya ke mulutnya sambil memperlahankan suaranya’.

(Riwayat Abu Dawud)

 

  SUNNAH BERSIN 3:DOAKANLAH SAUDARA KITA

‘apabila ada diantara kamu yang bersin, lalu dia mengucapkan alhamdulillah, maka doakanlah untuknya Yarhamukallah (semoga Allah merahmatimu). Tetapi jikalau dia tidak menyebut alhamdulillah, usahlah kamu mendoakannya’.

(Riwayat Muslim)

Sumber : solusi

 


TAHAN PANDANGAN DARIPADA...
# Melihat Aurat Orang Lain—’janganlah seseorang lelaki melihat aurat lelaki dan perempuan melihat aurat peremuan’. (Riwayat Muslim)
# Melihat Perkara Syahwat—ada juga keadaan, sesuatu yang bukan aurat tetapi kita tahu perkara itu boleh menggetarkan syahwat, maka perkara itu juga haram dilihat. Contohnya gambar seorang wanita berhijab penuh yang menjadi penghias muka depan majalah.
# Melihat Dalaman Rumah Orang Lain
Jangan melihat dalaman rumah orang lain . Abdullah bin Bisyr berkata ‘Rasulullah apabila datang ke rumah seseorang baginda tidak menghadap depan-depan dengan pintu, sebaliknya duduk di sebelah kanan atau kiri pintu’. (Riwayat Abu Dawud).
# Melihat Milikan Orang
Mari kita sempurnakan akhlak menjaga pandangan dengan tidak beria-ia melihat harta benda milik orang lain.



SENGAJA 
Haji Hamid bilal sukarela di surau kampungnya sejak 20 tahun yang lalu. Umurnya hampir mencecah 70an namun gagah melaungkan azan. Sebenarnya tiada pengganti yang sudi menggantikan bilal. malah, beberapa tahun kebelakangan ini, jemaah surau semakin surut. Bukan sekali dua sahaja dia dan Imam sahaja yang bersolat jemaah. Pada suatu hari Haji Hamid melaungkan azan asar awal. Seawal jam 3.30ptg sedangkan masuk waktu asar adalah 4.30 ptg. Tidak disangka-sangka ramai orang kampung berbondong-bondong datang ke surau. Yang datang ke surau setahun sekali pada hari raya pun turut hadir. ‘Pak Hamid, kenapa azan awal? Waktu asar belum masuk lagi!’. Agak sinis nada seseorang bersuara. ‘Pak Hamid mengigau ke di siang hari?’ kata yang lain. ‘Itulah kamu’. Jawab pak Hamid tenang. ‘kalau aku azan tepat waktunya tiadapun nak bawa diri ke surau. Tapi bila aku azan di luar waktu, ramai pula yang datang!’ hadirin terdiam. Masing-masing sedar bahwa ini adalah tazkirah percuma yang mereka dapat. ‘Baliklah. Ingat, sejam lagi masuk waktu. Jangan lupa datang semula’. Haji Hamid menambah. Hadirinpun bersurai. ‘haji, bagus juga cara kamu ini!’ Kata Haji Ali, Imam sukarela di surau itu memuji teman setianya. ‘sebenarnya, memang aku tersalah tengok jam!’. 

Pengajaran
Ramai orang beralasan untuk tidak solat berjemaah di masjid kerana kesibukan walhal tidak sibuk manapun.
Sumber : Angguk Geleng






KAWAL MATA HATI TERJAGA
Pandangan akan menentukan perasaan dan keadaan hati. Daripada mata jatuh ke hati. Daripada hati lahirnya lisan dan tindakan. ‘kesihatan’ mata perlu sentiasa dijaga agar tidak dirosakkan oleh virus-virus  dosa.  Mata dan hati saling berkaitan. Hati ialah raja dalam kerajaan diri. Manakala mata umpama utusan yang bertugas sebagai ‘penyampai maklumat’ yang sangat dipercayai oleh raja. Jika maklumat yang disampaikan baik, maka baiklah hati. Apabila hati baik, seluruh anggota dan pancaindera akan menjadi baik. Begitulah sebaliknya. 



LONGGAR
Skru yang longgar mudah tertanggal. Akal yang terlalu ‘longgar’ mudah terpedaya. Pakaian yang longgar selesa di badan. Wajah yang longgar dengan senyuman sentiasa membahagiakan. Longgar bukan sebarang longgar. Dalam kelonggaran ada pembatas. Allah beri kelonggaran pada masa-masa yang tertentu, kepada golongan-golongan tertentu demi kebaikan. Kelonggaran yang membuktikan Islam bukan agama yang sempit dan hanya sendat dengan peraturan. Semuanya demi kebaikan insan. Jangan memperlonggarkan kelonggaran yang diberikan Allah. Kelak hanya membawa keburukan, menjerumus diri ke jurang kebinasaan. Setiap kelonggaran bukan bererti sesuka hati boleh melanggarnya, harus mengikut dasar-dasar yang sudah digariskan. Natijahnya kebaikan pada penghujung kehidupan lantaran mematuhi peraturan tuhan.
Sumber : viceversa



ALLAH SUKA BERSIN, ALLAH BENCI MENGUAP
Bersin dan menguap. Siapa yang tidak pernah tetapi pernahkah kita kisah tentangnya? Ada orang menganggap bersin dan menguap itu sama sahaja.kedua-dua reaksi badan yang semulajadi.jadi semua orang bebas melakukannya dengan aksi-aksi yang tersendiri. Maka bermacam-macamlah ragam manusia ketika bersin dan menguap. Bagaimanpun seorang muslim sebenar akan memastikan bersin atau menguapnya patuh syariat. Kedua-duanya bukan sekadar reaksi badan . Ada pahala dan dosa. Lagipun sama sekali tidak sama taraf antara bersin dan menguap.  

‘Sesungguhnya Allah menyukai bersin dan benci akan menguap’.
(Riwayat al Bukhari)

Apabila Allah menyatakan bahawa Dia suka dan benci seuatu, maka hal ini bukan lagi biasa-biasa. kita pun cukup prihatin dengan apa yang disukai atau tidak disukai  oleh kedua ibu bapa atau majikan. Untuk apa? Untuk memenangi hatinya dan mengelakkan masalah. Itu sesama hamba. Maka sepatutnya untuk Allah kita lebih prihatin.


MUTIARA SALAF
Diam adalah suatu kebijaksanaan, tetapi sedikit orang sahaja yang melakukannya.
(Luqman al Hakim)



No comments:

Post a Comment