Google Ads

Saturday 9 January 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 212

MENARIK DI DALAM
·        Tetap Berhati-hati Dalam Bersangka Baik
·        Umur Itu Modal
·        Sifat Calon Penghuni Syurga
·        Tak Nampak? Tiada!
·        Anak Oh Anak !
·        Apa Yang Hendak Dihairankan.
·        Kunci Perubahan Sikap


TETAP BERHATI-HATI DALAM BERSANGKA BAIK

Allah mengingatkan ’Aku bertindak sebagaimana sangkaan hambaKu. Dan Aku akan selalu bersama hambaKu jika dia mengingatiKu. Kalau dia  mengingatiKu dalam dirinya, Aku mengingatinya dalam diriKu’. (Riwayat al Bukhari dan Muslim)

Namun perlu diingat bahawa sangka baik perlu diimbangi oleh sikap berhati-hati. Sepertimana perlunya bersangka baik, begitulah juga kita perlu berhati-hati. jangan lurus bendul. Kita mesti bijak agar sifat sangka baik itu tidak dieksplotasi dan dimanipulasi oleh musuh atau orang berkepentingan. Apa itu sikap berhati-hati? Itulah usaha kita mencari fakta, dalil, ilmu dan bukti yang berkaitan dengan seseorang, sesuatu perkara atau  peristiwa. Sikap berhati-hati dibina oleh pengalaman. Apabila ilmu, fakta, dalil dan pengalaman bergabung maka terbinalah sikap matang dalam bersangka baik.

Kita bersangka baik, tetapi tidak mudah ditipu dan dikhianati. Sikap berhati-hati dan belajar daripada pengalaman sangat penting agar sikap bersangka baik kita tidak diputar-belitkan, dikhianati dan diperalatkan oleh orang yang berniat jahat. Jika kita berdepan dengan seseorang yang sudah punya rekod buruk, reputasi negatif serta pernah mengalami pengalaman-pengalaman yang pahit angkaranya, jangan bersangka buruk, tetapi berhati-hati. Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Berilah peluang untuk dia dipercayai dan pada diri kita sendiri untuk mempercayainya. Namun jangan jatuh dalam ‘lubang’ yang sama dua kali atau berkali-kali. ingatlah pesanan Nabi : ‘seorang Mukmin tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali!’ (Riwayat al Bukhari)

Sumber : Solusi

 

 

 


UMUR ITU MODAL
Umur ialah modal untuk kita menyediakan bekalan menuju kehidupan akhirat yang kekal abadi. Umur ialah kurnia daripada Allah yang dengannya kita membuat sebanyak-banyak ketaatan demi mencapai kebahagiaan di syurga. Justeru, umur mesti digunakan secara optimum. Dalam apa jua keadaan, umur ialah kesempatan yang tidak boleh dipersiakan. Bagi hamba Allah yang taat, umur ialah peluang untuk terus menambah sebanyak-banyaknya kebaikan dan kebaktian. Bagi yang derhaka, umur ialah kesempatan untuk bertaubat dan membetulkan diri. Rasulullah saw bersabda ‘janganlah salah seorang antara kamu mengharapkan kematian, jika dia orang yang berbuat baik maka mungkin sahaja kebaikannya akan bertambah dan jika dia orang yang berbuat buruk, mungkin sahaja dia akan memohon keampunan’ (Riwayat al Bukhari). Panjang dan pendek umur manusia adalah tidak sama. Kita datang ke dunia seperti menaiki sebuah bas dengan destinasi yang berbeza. Tidak semestinya yang naik dahulu akan turun terlebih dahulu. Ada masanya yang naik dahulu akan turun kemudian dan ada pula yang naik kemudian, tetapi turun terlebih dahulu. Maksudnya, ada manusia yang baru dilahirkan tetapi usianya tidak panjang dan sampai ajal dan pendek umurnya. Ada pula yang lahir lebih awal, tetapi masih hidup berbanding yang lahir kemudian. Penetapan ajal ini sangat rahsia dan hak mutlak Allah menentukannya. Oleh sebab umur tidak diketahui panjang atau pendeknya, kita harus bersedia bila-bila masa untuk dipanggil bertemu Ilahi.  Setiap individu mempunyai ketetapan masing-masing. Penetapan usia itu telah ditentukan semasa manusia dalam rahim lagi. Di alam rahim ada beberapa perkara telah ditentukan. Antaranya rezeki, tempoh kematian, celaka dan bahagianya kita.
Sumber : Pesan hati Untuk Hati


 


SIFAT-SIFAT CALON PENGHUNI SYURGA (3)
 Memiliki Akhlak Yang Mulia
Akhlak yang mulia adalah kesempurnaan iman. Nabi saw menyebutkan bahawa seorang mukmin yang paling semourna imannya adalah yang paling mulia akhlaknya. Orang mukmin itu sentiasa menamkkan wajah yang cerah, sentiasa tersenyum walaubagaimanapun keadaannya.

 Bersaudara Kerana Allah
Seorang mukmin itu bersaudara kerana Allah, tidak mencintai seseorang kecuali kerana dia memiliki sifat yang diredhai Allah. Dia menghilangkan kepentingan duniawi dan peribadinya demi persahabatan dan cinta kepada saudaranya sehingga dia layak dicintai Allah. 
Sumber : Sifat Calon Penghuni Syurga





TAK NAMPAK? TIADA! 
Sudah lebih setahun Umamah menetap di bumi Scotland kerana mengikuti ayahnya menyambung pelajaran di sana. Biarpun semakin serasi dengan rakan-rakan bukan muslim tetapi di tidak lupa jati dirinya. Suatu hari berlaku perbualan antara Umamah dengan cikgunya.
Mrs. Mitchell : Kamu seorang Muslim. Saya seorang Kristian. Kita berdua mempunyai Tuhan yang sama. Pernahkah kamu melihat Tuhan?
Umamah: Tidak.
Mrs. Mitchell : Jadi, sudah tentu kamu tidak pernah menyentuh Tuhan?
Umamah: Ya
Mrs. Mitchell: Jadi, ada kemungkinan bahawa Tuhan kita sebenarnya tiada.
Umamah tidak menjawab, sebaliknya bertanya: Puan seorang yang pintar, tetapi pernahkah puan melihat akal puan?
Mrs. Mitchell : Tidak, mana mungkin akal kita boleh dilihat
Umamah : Pernahkah puan menyentuh akal puan?
Mrs.Mitchell : Tentu sekali tidak
Umamah : Jadi, bolehlah saya simpulkan bahawa puan sebenarnya seorang yang tidak ada akal.

Pengajaran
Logik yang di balas logik, boleh menghasilkan kesedaran.
Sumber : Angguk Geleng






ANAK OH ANAK
Anak-anak gemar proses penghayatan berasaskan personaliti yang boleh menjadi ikon dalam kehidupan. konsep hero dan heroin amat penting bagi anak-anak. hero perlu punya segala macam kehebatan yang membanggakan dan akhirnya berjaya menumpaskan kebatilan. Oleh itu, pendekatan ketokohan ini perlu diserap melalui penghayatan kisah-kisah perjuangan tokoh-tokoh pejuang Islam seperti para nabi dan rasul serta para sahabat dan ulama. Mereka perlu dipaparkan sebagai hero yang ulung dan disanjung.

         


APA YANG HENDAK DIHAIRANKAN?
Hairan bukan? RM10 untuk didermakan terasa banyak, namun RM100 untuk baju baharu seakan tidak luak.
Hairan bukan?2 minit untuk solat Dhuha terasa mengambil masa, namun 20 minit bersenam seakan tidak cukup masa.
Hairan bukan? 2 mukasurat al  Quran lamanya terasa utk habis, namun 200 mukasurat novel tidak puas-puas.
Hairan bukan? 30 minit mendengar tazkirah sudah memadai, namun 3 jam menonton filem Bollywood dan Hollywood belum cukup lagi.
Hairan bukan?5 minit berada di masjid terasa sudah lama, 50 minit di kafe tidak terasa.
Hairan bukan? Menunggu solat sekejap berasa lama, menunggu pancing di sambar ikan berjam-jam pun masih teruja.
Hairan bukan? Kita sudah tahu bahawa kita perlu berubah tetapi tidak berubah-ubah jua.
Apa yg hendak dihairankan?begitulah keadaannya jika diri semakin di kotori dosa! Sedikit demi sedikit dosa menghilangkan rasa lazat untuk beramal. Seorang pendeta bani Israel berkata ‘Wahai Tuhan,berapa banyak aku bermaksiat (berdosa) terhadapMu, namun Kau tidak menghukumku?’. Lalu dijawab ‘sangat banyak Aku menghukummu sedangkan kamu tidak sedar! Bukankan Aku telah haramkan rasa manis dalam bermunajat kepadaKu’.
Sumber : Kata Dua 



KUNCI PERUBAHAN SIKAP
Hijrah hati ialah kunci utama ke arah perubahan sikap. Hijrah hati secara automatik akan mengubah manusia secara bertahap-tahap. transformasi, reformasi,  evolusi dan revolusi atau apa-apa sahaja istilah yang dikaitkan dengan perubahan, mesti berlandaskan soal hati. Apabila soal hati ditangani dengan iman, akan terhasil kekuatan luar biasa dalam diri manusia biasa. Iman dan Ukhwah ialah 2 kekuatan untuk melakukan hijrah kerana akan merungkai semua  halangan dan godaan luaran yang menganggu proses perubahan. Soal hati sangat penting dalam proses berubah secara berterusan. Hanya dengan hati yang yakin kepada Allah dan hari akhirat serta kasih kepada orang lain, manusia mampu melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Inilah rahsia disebalik pesanan Rasulullah saw ‘sesungguhnya setiapa amalan itu bermula dengan niat’.
(Riwayat Muslim)





No comments:

Post a Comment