Google Ads

Wednesday 6 January 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 209

MENARIK DI DALAM
·        Panjangkan Usiaku
·        Bersangka Baik Dengan Musuh
·        Hakikat Sebenar
·        Degil
·        Anak Mulia Dengan Ilmu
·        Fokuslah!




PANJANGKAN USIAKU
Setiap kali menyambut ulangtahun kelahiran, ucapan sewajarnya bukanlah ‘selamat panjang umur’ tetapi ‘selamat pendek umur’. Hal ini demikian kerana tempoh mati seseorang itu telah Allah tetapkan di dalam rahim ibu lagi. Ertinya, semakin hari, semakin dekat langkah kita menuju ketetapan itu. Maknanya, semakin hari semakin pendek umur kita. Ya, hari ini setapak lagi kita menghampiri tarikh kematian kita. Namun, kematian bukan pengakhiran. Mati ialah satu permulaan kepada hidup yang tidak akan mati-mati lagi– iaitu hidup di alam akhirat. Hidup di sini (dunia) ialah mengusahakan tanaman untuk tuaian bagi hidup di sana (akhirat). Itulah tujuan hidup yang fana ini, demi kelangsungan hidup yang baqa itu. Mati untuk hidup? Benar, kerana kematian di dunia ini hakikatnya untuk hidup kekal abadi di akhirat nanti. Jika demikian apa ada pada umur? Umur hanyalah putaran ukuran pada putaran bulan dan matahari yang dilakarkan oleh jarum jam, minit dan saat sebuah arloji. Umur itu relatif sifatnya. Apa yang lebih penting ialah panjang dan pendek umur bukan pada kuantiti tetapi pada kualiti. Juga bukan pada yang ukuran zahir tetapi ada nilai maknawi. Imam al Nawawi, pendek umurnya tetapi ‘panjang’ ilmu dan jasanya abadi. Imam as Syafi’I , Imam al Ghazali, tidak sempat pencen istilah orang sekarang, namun impak perjuangannya melangkaui dekad dan abad. Begitu juga Umar Ibn Aziz memerintah lebih kurang 2 tahun sahaja tetapi keunggulannya mengatasi khalifah Bani Umayyah yang memerintah lebih lama daripadanya, sama ada yang sebelum atau selepasnya. Oleh sebab itu, kaedah memanjangkan umur adalah dengan memanjangkan amal, ilmu dan jasa. Harta misalnya, boleh memanjangkan umur jika disedekahkan atau diwakafkan. Maka jadilah harta itu amal jariah. Pahalanya berterusan. Akhlak juga boleh panjangkan umur yakni dengan menyambung tali silaturahim.
Sumber : ustaz Pahrol


BERSANGKA BAIK DENGAN MUSUH

Suatu hari Umair bin Wahab datang dengan tujuan membunuh Nabi Muhammad, baginda terus bersangka baik dan mengharapkan kebaikan kepada musuhnya itu. Rasulullah tahu akan rencana jahat Umair tetapi sikap baik sangka mendorong Baginda untuk mengislamkan Umair.

 

Rasulullah: Apa tujuan kamu datang ke mari?

Umair      : Aku datang kerana urusan tawanan yang aku harap engkau berbuat baik kepada mereka.

Rasulullah : Kalau tu tujuanmu, mengapa pula engkau membawa pedang?

Umair      : Pedang ini tiada apa-apa peranan.

Rasulullah: Lebih baik kamu bercakap benar apa tujuanmu ke mari.

Umair       : Benar, ini sahajalah tujuanku.

Rasulullah : Bukankah kamu dan Safwan bin Umayyah duduk di Hijr Ismail lalu berbicara tentang mangsa perang badar dan kamu berkata ‘kalaulah tidak kerana tanggungan hutang dan ahli keluarga, nescaya akan pergi membunuh Muhammad’. Lalu Safwan menyatakan kesediaannya untuk menanggung hutang dan keluargamu dan menyuruh kamu datang ke mari untuk membunuhku?

 

Umair sangat terkejut dengan kata-kata Rasulullah kerana perbualannya dengan Safwan tidak diketahui oleh sesiapa. Kini dia mula yakin bahawa Rasulullah menerima perkhabaran daripada Yang Maha Mengetahui. Lantas dia mengucapkan 2 kalimah syahadah sebagai tanda memeluk Islam. Setelah tinggal dan belajar Islam selama beberapa hari di Madinah, beliau pulang ke Mekah dan menyeru orang kepada Islam. Ramai memeluk Islam di tangannya. Allahuakbar!

Sumber : Solusi

 

 

 


HAKIKAT SEBENAR
Hakikat sebenar menyambung silaturahim itu ialah kita bukan sahaja berhubung dengan orang yang memang telah mempunyai hubungan yang baik dengan kita , tetapi paling utama ialah menyambung persaudaraan dengan orang yang telah memutuskan persaudaraan dengan kita. Inilah yang lebih utama  dan berharga di sisi Allah.


DEGIL   
            Tersebutlah kisah seorang kenamaan membina vila di sebuah kampung. Vila itu sangat mewah dan gah namun dia sangat tidak berpuas hati. Sakit matanya melihat rumah buruk yang betul-betul bersebelahan dengan vilanya yang ke 10 itu. Seorang nenek tua tinggal di situ. Lalu dia hendak membelinya. 100 ribu, 200 ribu, hatta 300 ribu ditawarkan. Namun si nenek tetap berdegil. Akhirnya orang kenamaan itu meminta bantuan polis dan hakim. ‘kalau degil juga, polis akan menangkap nenek kerana menganggu ketenteraman awam. Tanah nenek akan dirampas!’ ‘kenapa nenek degil sangat ni! Siapa yang hendak membeli rumah buruk yang ditawarkan oleh Dato’ dgn harga yang tinggi? bodoh sangatkah sampai tidak boleh berfikir? Pendekatan memujuk bertukar mengugut. ‘Barangkali nenek itu degil dan bodoh. Tapi nenek itu tidak sedegil dan sebodoh orang yang membazir berates-ratus ribu semata-mata untuk membeli sebuah rumah yang buruk’.

Pengajaran
Orang yang bodoh sebenarnya ialah orang yang berdegil menghabiskan masa dan wang untuk sesuatu yang tidak bermanfaat.
Sumber : Angguk Geleng



,


ANAK MULIA DENGAN ILMU
Bicara Nabi : Diriwayatkan drpd Abu Darda’ r.a, aku mendengar Rasulullah saw bersabda ‘sesiapa yang menuju ke suatu jalan untuk mencari ilmu, nescaya Allah akan membawanya kepada satu jalan menuju Syurga. Sesungguhnya para malaikat akan menaungi sayapnya sebagai tanda keredhaan kepada orang yang menuntut ilmu dan sesungguhnya penghuni langit dan bumi memohon keampunan kepada orang yang berilmu demikian juga ikan yang ada di lautan. Kelebihan orang alim ke atas orang yang beribadat laksana kelebihan bulan malam purnama berbanding bintang-bintang di langit dan sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar , dirham, tetapi mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambilnya maka dia telah beroleh keuntungan yang besar’.
(Riwayat Abu Daud) 

  

INGIN BERJAYA?
FOKUSLAH!!

¤ Peningkatan Tawakal
Orang berfokus biasanya akan melaksanakan misinya dengan segala upaya. Kesungguhnannya akan jelas dan nyata. Bagaimanapun sebagai insan, kemampuan diri amat terbatas. Namun berbekalkan fokus yang mantap, kita tidak akan mudah putus asa dengan rahmat Allah. Sentiasa berbaik snagka dengan Allah lantaran menyedari segalanya akan menjadi mudah dan tidak mustahil dengan bantuan dan anugerah daripada Allah.

¤ Peningkatan Tenaga
Kita berlumba lari 100m , tetapi mengapa tidak berjaya menjadi johan? Tetapi kalau seekor harimau diletakkan dibelakang kita. Tentu stamina kita bertambah dan kita mampu mengalahkan johan atlet dunia sekalipun dalam perlumbaan itu!. Hal ini terjadi apabia kita betul-betul mengoptimumkan potensi diri. Badan kita yang ajaib ini akan merembeskan segala hormon dan enzim ke dalam sistem saraf dan sisitem endoktrin sehingga mampu menjadikan kita manusia yang hebat!. Begitu juga halnya dengan fokus yang jelas. Tenaga keupayaan ditingkatkan lantaran potensi diri dibangunkan secara optimum.

¤ Peningkatan Disiplin Diri
Disiplin diri antara faktor penentu kejayaan. Apabila berfokus, tanpa sedar kita akan cuba mengatur sebaik mungkin agenda-agenda harian. Kita juga akan memastikan jadual itu diikuti. Secara tidak langsung, sebenarnya kita telah meningkatkan disiplin diri.pada masa yang sama, kita akan lebih berhati-hati dengan setiap tindakan. Perkara-perkara remeh yang akan menjadi penghalang kepada pencapaian matlamat akan diketepikan. Begitu juga kita tidak akan membiarkan orang lain mengatur hidup kita.

¤ Bantuan Dari Segenap Penjuru
Pernahkah kita melihat seseorang tercungap-cungap meminta tolong? Apa yang kita buat? Tentu menolongnya, bukan? Begitu juga sekiranya kita fokus tentang sesuatu, orang sekeliling kita akan merasai aura itu. Dan tidak hairanlah, kadang-kadang kita dibantu dengan cara yang tidak diduga! Bantuan akan datang apabila diperlukan, apatah lagi kalau kita berusaha, berdoa dan bertawakal.
Sumber : Mendidik Pendidik









No comments:

Post a Comment