Google Ads

Wednesday 13 January 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 216

MENARIK DI DALAM
·        Manusia Dungu VS Manusia Baik
·        Kata-kata kita mencemari Syurga Dunia
·        Khusyuk
·        Kata-kata Ke Neraka
·        3 Strategi Kurangkan Dosa Lidah
·        Ucapan Ke Syurga
·        Hadis



MANUSIA DUNGU VS MANUSIA BIJAK
Alangkah dungunya manusia yang mensia-siakan umurnya. Adakah kita tidak berasa pelik jika melihat seorang peniaga yang asyik tidur di premis perniagaannya? Tanpa ragu-ragu lagi kita akan merasakan bahawa yang peniaga itu akan rugi. Maka begitulah keadaan manusia yang membazirkan usianya dalam perkara dosa dan amalan yang sia-sia. dia pasti rugi dan gagal. Allah mengingatkan ‘Demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan yang berpesan-pesan dengan perkara kebenaran dan berpesan-pesan dengan perkara kesabaran’.  (Surah al Asr 103:1-3). Inilah juga hakikat yang diungkapkan oleh Imam al Syafi’e dalam syairnya ‘sangat aneh melihat masa yang terlalu laju tetapi lebih aneh sikap manusia yang melalaikannya’. Sebaliknya, alangkah cerdiknya manusia yang menggunakan usianya secara optimum dengan melakukan sebanyak-banyak kebaikan dan kebajikan. Inilah golongan manusia yang paling bijak seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah saw menerusi sabdanya yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar. ‘Aku bersama Rasulullah. Kemudiannya datang kepada Baginda seorang lelaki daripada kalangan Ansar dan memberi salam ke atas Nabi SAW kemudian berkata ‘wahai Rasulullah, siapakah mukmin yang terbaik?’Nabi menjawab ‘Mereka yang paling baik akhlaknya’. Dia bertanya, ‘maka siapakah Mukmin yang paling bijak?’ Nabi menjawab ‘Mereka yang paling banyak mengingati mati dan yang terbaik ialah yang melakukan persediaan untuk selepas itu. Itulah orang yang paling bijak’. (Riwayat al Baihaqi).Orang yang bijak itu ialah orang yang mengingati mati dan terus membuat persiapan bukan sahaja untuk hidup sebelum mati, tetapi juga untuk hidup setelah mati. Merekalah orang yang sangat prihatin dengan penggunaan masa dan sentiasa memanfaatkan ruang untuk melaksanakan kebaikan sebanyak-banyaknya.
Sumber ; Pesan hati Untuk Hati


KATA-KATA KITA MENCEMARI SYURGA DUNIA 

Ia 1 kisah. Seorang lelaki mendengar keletak kereta sorong di luar rumahnya. Lalu dia meninjau dari tingkap. Didapati seseorang dengan kereta sorong usang di laman rumahnya.  Kelihatan dalam kereta sorong itu tin-tin kosong, plastik sampah, kayu dan beraneka bahan buangan lagi. Orang itu sedang mencari-cari sesuatu. Rosak keindahan laman rumahnya yang dikenali tercantik dalam kawasan kejiranan disitu.  Maka berlakulah perbualan antara nereka berdua:

Tetamu: saya bawakan banyak sampah sarap untuk tuan. Di mana tuan hendak saya letakkannya?

Tuan rumah : apa? Gilakah saya hendakkan sampah sarap itu?

Tetamu : di sana mungkin baik juga, ya dia menunjukkan ke arah ruang kosong antara deretan bunga-bunga yang sedang mekar indah.

Tuan rumah :letaklah kalau hendak tahu apa akan jadi selepas ini!

Tetamu : atau lebih cantik kalau diselerakkan sahaja di celah-celah pokok.

Tuan rumah : engkau ni apa hal? Lebih baik engkau bawa sampah sarap jauh dari sini!

Tetamu : oh. Saya pun rasa sampah sarap ini sepatutnya dibuang di tempatnya. Cuma memandangkan tuan boleh buang sampah ikut suka di mana sahaja, mengapa saya tidak boleh pula ?

Tuan rumah : apa maksud kamu?

Tetamu : biar saya ingatkan. Tuan masih ingat beberapa orang remaja yang tuan bercakap dengan mereka semalam? Bahasa yang tuan gunakan kasar lagi kesat. Remaja-remaja itu anak didik saya. Sekian lama saya mendidik mereka berakhlak mulia. Bercakap baik-baik. saya tumpang bahagia dengan akhlak baik mereka sebagaimana tuan rasa bangga dengan laman yang cantik ini. Sedihnya, tuan kotorkan mereka dengan ’sampah sarap’ tuan. Tambah menyakitkan mata, tuan boleh gelak-gelak sambil berlalu pergi begitu sahaja. Tidak sedarkah tuan yang kata-kata kotor tuan itu boleh mencemarkan fikiran mereka sekaligus mencemarkan akhlak mereka? Sebagaimana tuan tidak mahu pokok-pokok tuan ini rosak dek sampah sarah, saya juga tidak mahu melihat anak-anak didik saya rosak dek kata-kata tuan. Tetapi, mudah untuk tuan bersihkan sampah sarap ini daripada laman tuan, namun saya yang payah hendak bersihkan kata-kata kotor yang sudah masuk ke dalam fikiran mereka.    

Sumber : isu




KHUSYUK
Jam menunjukkan jam 3 petang. Talhah belum solat Zohor.  Dengan berat hati dia pergi mengambil wuduk kemudian solat di dalam biliknya. Sekejap sahaja dia telah berada di rakaat ke tiga. Tiba-tiba dia terdengar pintu  bilik hostelnya terbuka. Tidak semena-mena bacaan al fatihah, rukukdan sujudnya dilakukan penuh tumpuan. Dia berasa khusyuk sekali. Selesai solat dia memanggil ‘Li, Amin, Mat’. Tiada seorang pun rakan sebiliknya yang menyahut. Tiba-tiba seekor kucing keluar sepantas kilat. ‘Kucing rupanya!’

Pengajaran
Kadangkala keikhlasan dalam beramal bergantung kepada faktor lain selain Lillahitaala. Sila cakna.
Angguk Geleng






KATA –KATA KE NERAKA
1. Mengutuk orang yang telah mati
2. Menipu
3. Mengejek orang
4. Mendoakan kecelakaan atas diri atau orang lain
5. Menidakkan rahmat Allah buat orang lain
6. Banyak bersembang perkara yang tidak berfaedah
7. Mencela diri sendiri, anak dan isteri
8. Suka bertekak dan berdebat
9. Menyakiti hati ibubapa
10. Mengumpat
11. Bergurau dan melawak lebih-lebih
12. Mengutuk sahabat nabi
13. Melaga-lagakan orang
14. Mengutuk makhluk Allah, samada haiwan, cuaca dan sebagainya.
15. Cakap yang tidak perlu
16. Bercakap tentang agama tanpa ilmu, cepat menghukum halal haram mengikut kepala sendiri
17. Mengebarkan keaiban orang lain
18. Suka megampu
19. Mendedahkan keaiban diri sendiri
20. Menyebarkan hadis palsu

Sumber : Solusi Isu 75


3 STRATEGI KURANGKAN DOSA LIDAH

 Biasakan Diri Cakap Yang Baik-baik
Melatah dengan zikir. MasyaAllah., Subhanallah, Nauzubillah. Luahkan marah dengan doa ‘bertuah sungguh!’. Apabila lidah sudah biasa bercakap yang baik-baik, kuranglah kepetahannya bercakap perkara yang buruk. 

 Jangan Lupa Doa Penutup Majlis
Nabi mengajar  kita ‘sesiapa yang duduk dalam satu majlis, kemudian banyak sembangnya lalu sebelum beredar dia mengucapkan doa penutup majlis (Subhanakallah humma wabihamdika, Asyhadu alla ila hailla anta, astargfiruka waatu builaik) melainkan diampunkan semua silap katanya sepanjang majlis tersebut’. (Riwayat al Tirmizi). Biasakan yang betul. Ucapan ini bukan hanya ucapan ustaz penutup majlis sahaja, ia juga untuk orang awam macam kita.

 Menyebut Kebaikan Orang Yang Diumpat
Yang terbaik mohon maaf kembali daripada orang yang diumpat. Tetapi atas pelbagai sebab, ramai yang tidak sanggup. Maka mengapa setidak-tidaknya kita gantikan kesalahan itu dengan membuat kebaikan untuknya. Caranya, beristighfar dan mendoakan kebaikan untuknya serta menyebut kebaikannya kepada orang yang mendengar umpatan kita tersebut.  
Sumber : tip
 



UCAPAN KE SYURGA
1. Tidak lupa sebut ‘insya-Allah dalam setiap yang dirancang.
2. Berdoa kepada Allah dalam setiap keadaan
3. Rutinkan lidah dengan zikir
4. Mengucapkan salam
5. Baca al Quran
6. Bercakap lembut dengan ibu, bapa, suami, isteri dan anak-anak.
7. Menegur kemungkaran
8. Menasihati orang
9. Mendoakan kebaikan orang lain
10. Mengajarkan ilmu yang bermanfaat
11. Mendamaikan muslim yang berbalah
12. Mengajak orang berbuat baik


HADIS
Rasulullah saw pernah mengingatkan kita ’boleh jadi seseorang hamba menuturkan 1 kata-kata yang diredai Allah yang menurutnya tiada apa-apa, lalu Allah mengangkat darjatnya. Dan boleh jadi seseorang hamba menuturkan kata-kata yang dimurkai Allah yang menurutnya tiada apa-apa namun dengan  itu Allah menghumbankannya ke neraka!’ (Riwayat al Bukhari) 



No comments:

Post a Comment