Google Ads

Monday 21 March 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 243

MENARIK DI DALAM
·        Salah Faham tentang Doa
·        Tip Pemakanan Seimbang Kualiti dan Kuantiti
·        Tip anak-anak suka solat
·        Rahsia 40 Tahun
·        Menulis untuk memperbaiki hati
·        Panduan Permainan Buat Anak-anak
·        Tanya Sama Diri


SALAH FAHAM TENTANG DOA
Kebaikan dan manfaat doa sebenarnya bukan untuk Allah tetapi untuk manusia itu sendiri. Jika orang yang sabar, mulia, berilmu seperti para Rasul dan Nabi itu pun sentiasa berdoa, apatah lagi kita yang lemah, jahil dan ‘biasa-biasa’ sahaja berbanding mereka. Ada pihak yang menganggap doa itu hanya satu pemberitahuan kita kepada Allah tentang apa yang kita hajatkan. Lalu apabila tidak ada yang diinginkan, tidak perlulah berdoa. Anggapan ini ternyata salah kerana doa itu bukan permohonan tetapi satu kewajipan. Maka berdoa itu merupakan lambang kehambaan kita kepada Yang Maha Esa. Oleh sebab itu, doa  perlu dilakukan setiap masa dan ketika kerana kita ialah hamba Allah selama-lamanya. Selain itu, doa bukan sesuatu yang pasif. Maka apabila sudah tiada usaha yang boleh dibuat lagi, menyerah dan pasrah sajalah kepada Allah. Anggapan sesetengah orang ini ternyata salah kerana doa itu sesuatu yang proaktif. Malah doa itu perlu dibuat sebelum kita melakukan sesuatu kerja, semasa dan selepasnya. Doa penting pada permulaan, pertenghan dan pengakhiran sesuatu tindakan. Islam tidak mahu umatnya berdoa setelah berasa lemah. Jangan berdoa dan berharap kepada Allah hanya setelah doktor mengakui ketidakupayaannya. Tetapi berdoalah kepada Allah sebelum kita menemui doktor untuk mengubat penyakit itu. Doa sesuatu yang bersifat proaktif, bukan jumud dan pasif. Jagalah integriti dalam berdoa dengan menyejajarkan antara doa dengan usaha. Tidak patut seorang yang berdoa meminta hidayah, tetapi berat hati untuk menghadiri majlis ilmu dan tazkirah. Tidak patut seseorang itu memohon rezeki yang halal, tetapi terus bermalas-malasan bekerja dan berusaha. Tidak patut setiap hari berdoa untuk kesihatan yang baik, sedangkan diri tiada usaha untuk berhenti merokok. Jika demikian, kita seolah-olah ‘mempermainkan’ doa dan kepada Yang kita mohon itu. Renungi ungkapan ini, ‘doa diperkenankan bukan semasa kita meminta, tetapi semasa kita berusaha’.

Sumber : Pesan Hati untuk Hati




TIP PEMAKANAN SEIMBANG KUANTITI DAN KUALITI UNTUK ANAK-ANAK

◊ MENGURANGKAN MAKANAN RINGAN

Makanan ringan kebanyakannya mengandungi perasa tiruan yang berlebihan dan kandungan garam yang tinggi. Ini memberi kesan jangka panjang yang tidak baik kepada kesihatan, antaranya penyakit darah tinggi dan kencing manis. Ramai ibu yang bekerja gemar mengajikan makanan segera seperti nuget dan mee segera untuk anak-anak atas alasan faktor masa. Walhal masih ada makanan sihat yang boleh disediakan dalam masa yang singkat seperti roti bakar , bijiran dan jus buah-buahan.

 

◊ MENJAUHI MAKANAN BERLEMAK

Makanan yang banyak lemak juga perlu dijauhi. Kesihatan anak-anak pada zaman 60an berbeza dengan anak-anak masa kini. Sukar untuk melihat anak-anak dahulu yang gemuk atau menghidap penyakit kencing manis, berbeza dengan zaman sekarang. Mengapa? Hal ini demikian kerana zaman sekarang banyak restoran menyediakan makanan segera.

 

◊ AMALKAN CARA PEMAKANAN RASULULLAH

 Amalkan apa yang telah Rasulullah terapkan berkaitan konsep makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang.

 Baginda suka mengambil makanan yang sihat, misalnya minum susu kambing kerana susu kambing membantu membentuk tulang yang kuat . Begitu juga madu dan kismis yang boleh menguatkan minda dan sebagainya. Namun jika  tidak diamalkan terhadap anak-anak kita sejak kecil, mereka tidak akan menyukai atau memandang pelik menu sedemikian. Sekali sekala anak-anak perlu dididik supaya makan dengan satu jenis lauk sahaja, supaya mereka dapat merasai kesusahan orang miskin yang tiada makanan atau tidak berlauk. Ini juga secara tidak langsung boleh mendatangkan keinsafan supaya mereka tidak membazir dan sentiasa rasa bersyukur atas nikmat Allah swt. 

 

Sumber : DIDIKLAH DARI HATI

 


TIP ANAK-ANAK  SUKA SOLAT
à Jadikan teladan kepada anak-anak, kitalah orang yang pertama yang mendirikan solat
à Yakini anak-anak bahawa solat adalah solusi untuk pelbagai masalah


RAHSIA 40 TAHUN
Ada seorang tuan guru yang terkenal dalam kalangan penduduk setempat.  Beliau sangat rapat dengan masyarakat. Kuliah pengajiannya setiap hari siang malam,di sana sini. Kenduri dan majlis awam yang lain dia selalu hadir. Buku-buku karangannya juga banyak. Dalam suatu kesempatan seorang anak muridnya bertanya ‘apa yang tuan guru amalkan sehingga tuan guru begitu proaktif?’. Maka tuan guru itupun meluahkan rahsia yang tidak pernah dikongsi sebelum ini. ‘sudah 40 tahun aku berkahwin. Sehingga ke hari ini tidak ada satu hari pun aku rasa seronok hidup bersama isteriku. Bahkan sejak hari pertama lagi aku sudah sedar bahawa dia tidak sepadan denganku. Aku berkahwin atas aturan keluarga. Isteriku sepupuku. Aku yakin dengan perangainya tidak ada orang yang mampu bertahan hidup dengannya. Aku memikirkan hal ini, aku kasihan padanya. Aku memilih untuk bersabar. Semoga Allah berikan yang terbaik. Dan Allah sudah berikan yang terbaik. Daripada dirinya, aku dikurniakan anak-anak yang soleh. Semua menjadi. Keadaan aku yang tawar hati dengannya, menyebabkan aku lebih sibuk dengan ilmu. Aku boleh curahkan masa mengajar dan menulis. Kerana renggang dengannya, aku rapat dengan masyarakat. Aku sangat bersyukur. Bayangkan, kalau aku berkahwin dengan perempuan lain yang lebih baik, boleh jadi aku tidak merasai keberkatan umur ini’.

Pengajaran
Pada setiap kekurangan, tersembunyi kebaikan.

Sumber : Angguk Geleng




 MENULIS UNTUK MEMBAIKI HATI

Tulislah selalu dengan perkataan yang baik-baik, itu juga cara untuk membaiki hati . Jangan terperangkap dengan tipu daya syaitan dengan beranggapan , tunggu hati baik terlebih dahulu barulah bertindak untuk menulis yang baik-baik. usaha untuk membaiki hati perlu diusahakan oleh penulis dengan menulis ungkapan atau ayat-ayat yang baik maknanya. Ungkapan yang ditulis mestilah menggabungkan unsur kebenaran dan keindahan agar dapat difahami , diingati dan diamalkan. Percayalah, ungkapan atau mudah yang pendek sekalipun mampu menghasilkan impak yang besar kepada sesiapa yang membacanya, jika ditulis penuh kejujuran dan kesederhanaan. Tulisan sebegitu mempunyai kekuatan tersendiri untuk mengubah persepsi, tanggapan , sistem nilai bahkan prinsip hidup seseorang dengan lebih cepat dan tepat. Hal ini kerana tulisan tersebut mempunyai dua unsur istimewa dalam dalam tulisan yang baik, yakni padat dan mudah.

 

Sumber : Tinta jiwa

 


PANDUAN PERMAINAN BUAT ANAK-ANAK
* Permainan tidak membahayakan dan sesuai bagi peringkat umur kanak-kanak tersebut.
* Galakkan kanak-kanak bermain permainan yang sesuai dengan fitrah semula jadi mereka, sesuai dengan fizikal dan sifat kelembutan yang Allah kurniakan untuk mereka.
* Kanak-kanak perempuan hendaklah dilarang bermain seperti budak lelaki kerana akan mencenderungkan sikap dan jiwa mereka menjadi kasar seperti lelaki.
* Kanak-kanak lelaki hendaklah dinasihatkan supaya tidak membiasakan diri bersama kanak-kanak perempuan, supaya mereka tidak terbiasa dengan pergaulan bebas.
* Melarang permainan yang melibatkan pertaruhan dan unsur-unsur  judi. Antaranya permainan dadu, catur , bola sepak, laying-layang  yang disertai dengan pertaruhan.
* Melarang permainan yang menganiayai binatang seperti menyabung ayam dan melastik burung.
* Sentiasa menegur dan menasihati mereka agar menjaga akhlak dan kesopanan terhadap kawan-kawan, semasa bermain. 

Sumber : Ustaz Pahrol


            TANYA SAMA DIRI
SOALAN
Soalan-soalan  berikut sesungguhnya telah menimbulkan lebih banyak persoalan. Bukan akal yang menjawabnya, tetapi rasa hati yang amat dalam. Kita tidak akan mampu mendustai Allah. Kerana jika kita berbuat demikian, bererti kita mendustai diri sendiri.
Tanya kepada diri:

¨ Bagaimana sikap aku terhadap hukum hakam Allah?
¨ Sudahkah aku melawan hawa nafsu untuk patuh dan melakukan segala yang wajib sekalipun segala yang wajib sekalipun perit dan sakit ketika melaksanakannya.?
¨ Sudahkah aku meninggalkan segala yang haram walauun kelihatan indah dan seronok ketika ingin melakukannya?










           





No comments:

Post a Comment