Google Ads

Wednesday 16 March 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 241

MENARIK DI DALAM
·        Mengapa Doa Itu Penting
·        Yang Di sisi Allah Lebih Baik
·        Itu Hanya Patung, Bukan Berhala?
·        Cintai kerja Hati Bahagia
·        Khabat Angin
·        Siapa Ciptakan Allah?
·        Di mana Silapnya

MENGAPA DOA PENTING? (1)
 Mengekalkan Hubungan Dengan Allah Setiap Masa
Manusia memerlukan Allah lebih daripada segala keperluan lain. Tanpa Allah dalam hatinya, manusia umpama ikan yang ketiadaan air. Jiwanya akan mati. Manusia akan hilang ketenangan, kebahagiaan dan keharmonian walaupun dia memiliki segala-galanya. Tanpa hubungan dengan Allah yang berkekalan, manusia umpama laying-layang yang terputus tali. Doa juga sebenarnya ialah zikir, yakni interaksi dan komunikasi kita kepada Ilahi dengan cara yang paling harmoni. Allah memerintahkan kita agar berdoa untuk mengingatiNya kerana hanya dengan mengingati Allah, hati akan tenang. Melalui ketenangan itulah hakikatnya sebuah kebahagiaan.

 Keupayaan Melakukan Perubahan Ke Arah Kebaikan Secara Berterusan
Manusia perlu sentiasa berubah, daripada kurang baik kepada baik. Daripada baik kepada yang lebih baik (cemerlang). Hidup orang yang berjaya sentiasa lebih baik daripada sebelumnya. Sama ada kebaikan itu berkait dengan Allah mahupun yang berkait dengan manusia. Doa itu harapan. Doa ialah kunci mengait pertolongan Allah untuk melaksanakan perubahan diri yang dimaksudkan. Manakala usaha ialah langkah  untuk merealisasikan harapan itu. Dengan berdoa kita mengharapkan sebaik takdir. Dengan berusaha kita melaksanakan sebaik tadbir. Apabila bergabung takbir dan tadbir , insyaAllah kita akan berubah ke arah yang lebih baik.

 Membentangkan Masalah Dengan Jelas dan Tuntas
Doa ialah langkah pertama untuk menyelesaikan sebarang masalah. Doa secara tidak langsung ialah cara kita membentangkan masalah kita untuk diselesaikan. Malangnya, ramai orang yang hanya gelisah tidak tentu arah apabila ditimpa masalah. Meeka hilang arah, atau tidak tahu pun apa masalah mereka yang sebenarnya.
Sumber : Pesan Hati untuk Hati




YANG DI SISI ALLAH LEBIH BAIK
Hafsah bin Sirin memiliki seorang anak yang sangat berbakti. Suatu hari, anak tersebut meninggal dunia.  Hafsah berkata ‘Aku menjadi sangat sedih . Setiap hari aku merasakan kesedihan atas kematiannya’.  ‘suatu malam, aku membaca surah al Nahl, aku membaca firman Allah : ‘Apa yang berada di sisi Allah lebih baik bagimu jika engkau mengetahui. Apa yang berada di sisimu akan berakhir, sedang apa yang berada di sisi Allah akan terus kekal. Dan kami akan memberi balasan bagi orang yang bersabar lebih baik daripada apa yang mereka lakukan. (Al Nahl 16 : 95-96)
Berkata Hafsah ‘Aku terus mengulang-ngulang ayat ini. Allah lalu menghapus kesedihan daripada hatiku’.
Sumber : Ustaz  Umar


ITU HANYA PATUNG BUKAN BERHALA?

Perbualan berikut merupakan petikan dialog dalam filem PK yang menjadi kontroversi kerana dikatakan mencabar asas teologi dalam hidup beragama.

 

Pemuda : Berikan saya satu Tuhan

Penjual Berhala : Tuhan yang mana satu? Yang ni berharga 20 satu. Yang ini 50 dan yang ini 100. yang itu pula 500.

Pemuda : Apa beza Tuhan yang 20 dengan yang 50?

Penjual Berhala : Saiz sahaja berbeza, selain daripada itu semuanya sama.

 

Tidak lama selepas membeli salah satu patung berhala, pemuda itu kembali kepada penjual tersebut.

 

Pemuda : Adakah Tuhan ini kehabisan bateri? Sekejap berfungsi, sekejap tidak.

Penjual Berhala : Apa maksud awak?

Pemuda : maksud saya, letakkan bateri baru di dalamnya.

Penjual Berhala : Hei, patung ini tidak menggunakan bateri.

Pemuda : Jadi, kenapa tidak berfungsi? Adakah sebarang kerosakan semasa penghasilan Tuhan ini?

Penjual Berhala : Kami tidak membuat barang yang rosak.

Pemuda: Eh! Awak yang mencipta tuhan ini?

Penjual Bahala : oh kawan,Tuhanlah yang mencipta kita semua. Kami hanya membuatnya  dalam bentuk arca.

Pemuda : Mengapa anda perlu membuat arca Tuhan?

Penjual Berhala : supaya kita boleh menyembah Tuhan! Memberitahu Tuhan tentang kegembiraan dan kesedihan yang kita alami.

Pemuda : Bagaimana komunikasi kita boleh sampai kepada Tuhan?

Penjual Berhala : Tuhan tidak perlukan sebarang radio pemancar, Dia boleh mendengar terus!

Pemuda : Jika Dia boleh mendengar terus, untuk apa perlunya patung berhala ini?

 

Fikir-fikirkan….

Sumber : Solusi

 

 


CINTAI KERJA HATI BAHAGIA  
¤ LAKUKAN PERUBAHAN WALAUPUN KECIL
Kebosanan antara punca rasa tidak puas hati di tempat kerja. Justeru cabar diri untuk melaksanakan tugas dengan dengan cara berbeza. Jika sebelum ini anda menyelesaikan tugas berseorangan, berubahlah kepada berkumpulan. Semakin ramai, semakin banyak idea dan pendapat boleh dikongsi bersama. Secara langsung, anda telah menambah nilai dalam diri dan kumpulan. Kuasa kita adalah mengubah diri sendiri.

¤ BETULKAN NIAT
Niat umpama navigasi yang menjadi tunjang misi pekerjaan seseorang. Yakin kepada ketentuan dan balasan Allah bahawa kerja yang sedang dibuat untuk mendapat keredaan Allah. Kemampuan anda untuk berusaha mencari rezeki merupakan natijah usaha untuk mencapainya. ‘sesungguhnya setiap tindakan didorong oleh niat dan bagi setiap orang adalah apa yang diniatkan’. (Riwayat al Bukhari dan Muslim)

¤ ELAKKAN MENGELUH
Tanpa sedar kita sering mengeluh dalam sindiran atau gurauan yang akhirnya menjadi ‘viral’ dalam pemikiran. Keluh kesah dan tidak berpuas hati dengan apa yang kita peroleh akan merosakkan amalan. Bersyukur dan sedar bahawa ganjaran upah daripada majikan dan ganjaran pahala daripada Allah adalah atas apa yang kita usahakan. Getarkan hati bahawa keredaan Allah lebih utama daripada yang lain. Pahala tersekat kala lidah mengeluh seolah-olah tidak reda dengan Allah.

¤ BERGAUL DENGAN ORANG POSITIF
Berdampinglah dengan mereka yang berkeyakinan dan berusaha menjadi lebih baik setiap hari. Bukan bermaksud memutuskan persahabatan dengan rakan yang sebaliknya, tetapi perlahan-lahan berusaha membantu mereka mengubah sikap dan persepsi supaya lebih positif.  Sangat penting untuk kita menjarakkan diri daripada mereka yang sentiasa merungut tentang kerja dan berpandangan negatif tentang segala-galanya. Dia tidak pernah rasa berpuas hati, walaupun masih bekerja di tempat yang sama. Merekalah ‘pekerja bertoksik’ racun berbahaya merosakkan pemikiran orang lain.

¤ MOTIVASI DIRI
Jika tahap motivasi anda rendah atau anda atau dilanda kebosanan, berpaling kepada perkara lain yang mampu memotivasikan anda. Cabar diri, tetapkan sasaran dan matlamat baharu dan bercita-cita tinggi setiap hari. Kejar dan lestarikan cabaran baru anda dengan tekun, belajar menggunakan masa dengan cara yang paling produktif, dan pastikan setiap hari anda mempunyai sasaran baharu untuk ke tempat kerja’.
Sumber : ULFAH



KHABAR ANGIN
Seorang ustaz muda baru beberapa bulan bertugas di sebuah sekolah. Entah bagaimana, tersebar cerita yang dia menampar isterinya di pasar minggu depan orang ramai. Dengar kata, dia marah kerana isterinya bersembang dengan lelaki lain. Bukan setakat guru-guru, hatta kalangan pelajar juga heboh dengan cerita tersebut. Tetapi ustaz itu hanya mendiamkan diri. Bahkan tiada seorang pun yang berani bertanya kepadanya secara langsung. Bukan sedikit guru dan pelajar yang hilang hormat terhadapnya. Sehinggalah tiba hari jumaat, semasa perhimpunan beliau berucap
‘pertama sekali, saya tidak pernah menampar isteri saya di pasar minggu’.
‘Kedua, isteri saya tidak pernah pun ke pasar minggu itu pada minggu tersebut’.
‘Ketiga, saya pun tidak pernah ke pasar minggu itu pada minggu tersebut’.
‘Yang terakhir, saya belum pun berkahwin’.

Pengajaran
Jika tidak pasti, bertanya kepada empunya diri sebelum  menyebarkannya. Sia-sia mendapat dosa percuma.
Sumber : Angguk Geleng



,


SIAPA CIPTAKAN ALLAH?
Tiada sesiapa. Allah wujud sebelum alam ini wujud lagi. Dia akan wujud selama-lamanya. Allah itu tunggal. Dia tidak berbapa, beribu, beranak mahupun berpasangan. Allah tidak sama dengan kita langsung. Dia tidak tidur, mengantuk, letih atau memiliki apa-apa sifat lemah. Tiada mana-mana makhluk yang menyerupaiNya. Allah itu Maha Sempurna. 





DI MANA SILAPNYA..
Di mana silapnya bila kita,
Solat tapi masih mengumpat..
Umrah tetapi ‘namimah’..
Kuat ibadah tetapi menghancurkan ukhwah..
Tidak merokok tetapi suka mengutuk..
Cerita tidak lain hanya kesalahan orang lain..
Faham kita ahli sunnah waljamaah..
Tetapi akhlak kita penuh mazmumah…
Sumber : Ustaz pahrol





No comments:

Post a Comment