Google Ads

Saturday 12 March 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 240


MENARIK DI DALAM
·        Tugas Pengabdian
·        Tinggalkan di luar
·        Cerdik baik
·        Jom Berzikir
·         Cara Untuk Berdakwah
·        Adab Di Rumah Terbuka


TUGAS PENGABDIAN
Kita berdoa bukan untuk memberitahu Allah apa yang kita pinta, kerana tanpa diberitahu pun Allah sedia mengetahui segala sesuatu. Allah Maha Mengetahui segala apa yang kita zahirkan mahupun apa yang kita sembunyikan. Jadi, perlu apa lagi kita berdoa? Berdoa sebenarnya satu tugas pengabdian. Dengan berdoa kita mengakui kelemahan, kemiskinan, kehinaan, kejahilan dan lain-lain sifat kehambaan kita di sisiNya. Doa ialah untuk membuktikan sifat kehambaan kita di hadapan Allah. Sebagai hamba kita memerlukan Allah untuk lebih daripada segala-galanya dalam kehidupan kita ini. Sebagai hamba, kita wajib memuliakan Allah setiap masa. Inilah hakikat doa. Justeru, orang yang tidak berdoa dikatakan sombong terhadap Allah. Dia secara langsung seperti tidak mengakui sifat-sifat kehambaannya yang rendah, miskin, jahil, dan hina itu. Dia seolah-olah berasa pandai, kaya, gagah dan mulia dan tidak memerlukan Allah dalam kehidupannya. Selagi kita sedar kedudukan kita sebagai hamba, maka selagi itulah kita akan terus berdoa kepadaNya. Inilah prinsip yang dipegang dan diamalkan oleh orang yang hampir dengan Allah swt. Para Rasul, Nabi, dan umumnya salafussoleh pada zaman dahulu ialah orang yang membudayakan doa dalam setiap fasa kehidupan mereka. Mereka sentiasa sedar bahawa mereka ialah hamba Allah dan sebagai hamba, mereka selalu berhubung denganNya. Maka doa ialah ‘medium’ perhubungan itu. Doa ialah cara hidup yang menjadi tradisi orang soleh. Bermula daripada bangun tidur, membersihkan diri, masuk tandas, keluar tandas, memakai baju, melihat cermin, makan,  minum, memakai kasut ,menaiki kenderaan , melihat permandangan, bersin, menguap sehinggalah tidur semula. Semua perlakuan itu ada doanya yang khusus. Malah, untuk melakukan hubungan suami isteri juga ada doanya. 

Sumber : Pesan Hati untuk Hati




TINGGALKAN DI LUAR !
Lelaki : Hari ini kita melihat ramai orang yang membaca al Quran dengan telefonnya. Saya kurang bersetuju. Bayangkan hukum membawa masuk telefon yang ada al Quran ke dalam tandas.
Ustaz:Boleh. Tiada masalah membawa telefon tersebut ke dalam tandas.
Lelaki : tetapi di dalamnya ada al Quran !
Ustaz: tidak mengapa. Al Quran itu tersimpan di dalam memori telefon.
Lelaki : al Quran ustaz! Sepatutnya tidak bolehlah kan!?
Ustaz:Jadi selama ini tuan membaca al fatihah dalam solat dengan tengok mashaf ya?
Lelaki : Isy, saya hafallah al Fatihah. Bahkan saya sudah hafal 30 juzuk.  
Ustaz: Baik, jika begitu jangan lupa sebelum tuan masuk ke tandas, tinggalkan otak tuan di luar dahulu!

Pengajaran
Hari ini ramai orang berani mengulas tentang agama tanpa ilmu.

Sumber : Angguk Geleng



,


CERDIK BAIK
PENGORBANAN
Terlalu banyak pengorbanan pasangan  kita yang tidak terperasan oleh kita. Wahai para suami atau isteri , mari kita kaji pengorbanan pasangan kita untuk kebahagiaan keluarga kita selama ini.

3 SOALAN
Sebelum melakukan sesuatu perkara, Tanya 3 soalan ini kepada diri.
 Adakah niat aku baik?
 Adakah cara yang aku lakukan betul dan Allah reda?
 Adakah hasil tindakan aku ini baik?
Jika jawapan ketiga-tiga soalan itu positif, bertindaklah dengan ikhlas dan lakukan sehabis baik.

KRITIKAN
Ada kritikan yang bertujuan memberi semangat  agar kita terus bangkit dan ada yang bertujuan untuk menjatuhkan. Persamaan kedua-duanya ialah kritikan menjadikan kita lebih maju ke hadapan. Bagi orang hebat, tidak pernah ada kritikan yang mampu mengecilkan hatinya. Sebaliknya menjadi api semangat yang menjadikan dia berusaha untuk menjadi yang lebih baik.




JOM BERZIKIR
 PERINTAH UNTUK BANYAK BERZIKIR DALAM SEMUA SITUASI
‘Wahai orang yang beriman, sebutlah nama Allah dengan sebutan yang banyak’. (Al Ahzab 33:41)

 LARANGAN DARIPADA LUPA DAN LALAI
‘Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu
Dengan merendahkan diri dan perasaan takut dan dengan tidak mengeraskan suara pada waktu pagi dan petang, janganlah kamu termasuk dalam golongan yang lalai’. (Al A’raf 7:205)

 DIKAITKAN KEJAYAAN DENGAN SENTIADA DAN BANYAK BERZIKIR
‘setelah ditunaikan solat, bertebaranlah kamu semua di muka bumi, carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah Allah sebanyak-banyaknya supaya kamu berjaya’. (Al Jumu’ah 62:10)

 PUJIAN TERHADAP AHLI ZKIR DAN JANJI KEAMPUNAN DAN SYURGA KEPADA MEREKA
‘sesungguhnya orang Islam, orang yang beriman, taat, jujur, sabar, khusyuk, bersedekah, berpuasa, dan menjaga kehormatan mereka daripada perbuatan haram dan berzikir kepada Allah dengan banyaknya, Allah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar’. (Al Ahzab 33:35)

 KHABAR TENTANG KERUGIAN ORANG YANG LALAI DARIPADA BERZIKIR
‘Wahai orang yang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh harta benda dan anak pinak kamu daripada mengingati Allah’. (Al Munafiqun 63:9)

 ALLAH ‘BERZIKIR’ KEPADA ORANG YANG BERZIKIR SEBAGAI BALASAN DI ATAS AMALAN ZIKIR MEREKA
‘Oleh itu, ingatlah kamu kepadaKu, supaya Aku membalasmu dengan kebaikan. Bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur’.
 (Al Baqarah 2:152)

 PEMBERITAHUAN BAHAWA ZIKIR ATAU MENGINGATI ALLAH LEBIH BESAR DARIPADA IBADAT-IBADAT YANG LAIN.
‘Bacalah apa yang diwahyukan kepadamu daripada al Quran dan dirikanlah solat. Sungguh solat itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Mengingati Allah itu lebih besar faedah dan kesannya’. (Al ‘Ankabut 29:45)






           


CARA UNTUK BERDAKWAH
 STEP 1: BINA JAMBATAN
Buat baik dengan orang yang kita nak dakwah. Buat baik dengannya. Bagi hadiah, belanja makan dan lain-lain.

 STEP 2 : MENCABUT AKAR ROSAK
Selepas kita dah baik dengannya, barulah dia selesa bercakap dengan kita. Ketika itulah kita menegur dan menasihatinya.

 STEP 3 : MEMBAJA HASIL SEMAIAN
Memberinya ilmu untuk memperbaiki dan menjadi lebih baik.
 Sumber : ikim
         

ADAB DI RUMAH TERBUKA

 Anak-anak perlu menghormati setiap tetamu yang datang dan memberi keutamaan kepada orang yang lebih tua untuk duduk dan mengambil makanan.
 Ketika mengambil makanan, ambillah sedikit dahulu untuk dicuba. Jika sudah habis, bolehla menambah lagi. Jika mengambil terlalu banyak kerana nampak sedap di mata sedangkan perut tidak mampu menghabiskan makanan , kelak makanan akan terbuang dan melakukan pembaziran.
 Pesan kepada anak-anak supaya berhati-hati agar makanan tidak tumpah dan mengotori meja atau lantai.
 Setelah makan, didik anak-anak supaya kumpulkan sisa-sisa makanan dan buangkan di tempat yang disediakan. Walaupun itu merupakan tugas tuan rumah atau pembantu-pembantunya untuk memungut pinggan mangkuk yang kotor, namun ringankanlah kerja mereka.
 Sementara ibubapa berbual-bual dan beramah mesra dengan orang lain, anak-anak boleh bermain di tempat yang disedikan.
 Sebelum beredar, ucapkanlah terima kasih kepada tuan rumah. Semoga adab bertamu terus dijaga dan tidak tercemar. Ingatkan anak-anak bahawa mereka bukan sahaja membawa imej dirinya, tetapi juga imej ibu dan ayahnya. Jika baik akhlak mereka, sudah tentu ibu dan ayahnya akan dihormati.
Sumber : DIDIKLAH DARI HATI





No comments:

Post a Comment