Google Ads

Saturday 5 March 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 237


MENARIK DI DALAM
·        Ibarat Sebuah Kapal
·        6 Dosa Penghalang Doa
·        Siapa Salma?
·        Ragu-Ragu
·        Petua Rezeki Melimpah
·        Adab Ketika Makan 




IBARAT SEBUAH KAPAL
Daripada al Nu’man bin Basyir, bahawa Baginda saw bersabda yang bermaksud ’perumpamaan orang yang melaksanakan ajaran-ajaran Allah dan orang yang melanggarnya adalah seperti kaum yang menaiki kapal dan belayar di lautan.  Sebahagian daripada mereka berada di atas dan sebahagian yang lain berada di bahagian bawah. Orang yang berada di bawah naik ke atas untuk mengambil air, mereka menganggu orang yang berada di atas. Kemudian orang yang berada di atas berkata ‘kami tidak akan benarkan kamu naik dan menyakiti kami’. Lalu orang yang berada di bawah berkata ‘sesungguhnya kami akan menebuk lubang di bahagian bawah kapal untuk mengambil air’. Jika mereka menahan ‘tangan’ mereka dan mencegah perbuatan mereka yang berada di bawah itu, maka selamatlah semuanya, tetapi sekiranya mereka membiarkan sahaja, maka mereka akan tenggelam semuanya. (Riwayat al Tirmizi). Dalam analogi mudah ini, orang duduk di bahagian bawah kapal ibarat ahli maksiat yang suka melakukan kerosakan. Di bahagian atas pula golongan yang melihat kemungkaran tetapi berdiam diri daripada mencegahnya. Jika orang yang berada di bahagian bawah kapal membuat lubang untuk mengambil air pastinya berisiko menenggelamkan kapal. Jika kita berada di atas, adakah wajar kita hanya membiarkan perbuatan yang berisiko besar itu? Adakah kita hanya selesa menikmati sinaran matahari dan bayu laut dengan tidak mempedulikan keperluan dan perbuatan mereka di bahagian bawah? Jika maksiat berleluasa, impak buruknya akan turut terkena tempias kepada orang soleh. Jika bencana melanda dek Allah murka, orang soleh juga  tidak akan terkecuali.  Jadi pilihan yang ada adalah sama ada diam ataupun bertindak. Pilihlah...

Sumber : Pesan Hati Untuk Hati





6 DOSA PENGHALANG DOA
2 DOSA DIRI
>Dosa mungkin berpunca daripada kewajipan yang tidak kita tunaikan, contohnya selalu solat subuh pada hujung waktu.
>Perkara haram  yang kita biasa lakukan. Contohnya suka bercakap kasar dengan orang lain. ‘Dan apa juga yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan maka itu disebabkan apa yang kamu lakukan, dan Allah memaafkan sebahagian besar dosa-dosa kamu’. (Al Syura 42:30)

2 MEMAKAN MAKANAN YANG HARAM
>Makan minum yang haram boleh berpunca daripada dua jenis: zatnya sendiri yang haram, contohnya daging babi dan arak 
>cara mendapatkannya dengan cara yang haram, contohnya Rasuah dan curi tulang semasa bekerja. ‘seorang lelaki dalam musafir yang jauh, bajunya kusut, berdebu lalu dia mengangkat tangan ke langit dan berdoa ‘Wahai Tuhan, wahai Tuhan’. Sedang makannya haram, minumannya haram, diliputi dengan yang haram! Bagaimanakah doanya akan diperkenankan!’. (Riwayat Muslim)

2 TIDAK IKHLAS BERDOA KEPADA ALLAH
Ikhlas dalam berdoa bermaksud hanya menagih pertolongan dan bergantung sepenuh harapan kepadaNya tanpa sebarang unsur syirik. Contohnya, memohon hajat atau bernazar di kubur wali dan meminta tolong bomoh.

2 BEDOA DENGAN HATI YANG LALAI
Termasuk dalam hal ini ialah berdoa tanpa memahami maksud doa, berdoa cepat-cepat dan sudah menjadi rutin selepas solat dan sebagainya.

2 TIDAK MELAKUKAN AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR
Amar makruf maksudnya mengajak, menggalakkan orang melakukan perkara yang baik. Nahi mungkar adalah seruan pada yang makruf dan mencegah pada yang  mungkar.

2 PUTUS ASA DALAM BERDOA
Suatu hari Rasulullah sawbersabda ‘Doa seseorang hamba akan  sentiasa dimakbulkan selama dia tidak mendoakan untuk perbuatan dosa, tidak memutuskan silaturahim dan tidak tergesa-gesa dalam berdoa’. Lalu sahabat bertanya. Wahai Rasulullah, bagaimanakah tergesa-gesa itu?’ Maka Nabi menjawab ‘seseorang berkata ‘aku sudah telah berdoa namun tidak makbul-makbul  juga! Lalu dia kesal dan tidak berdoa lagi’.



SIAPA SALMA?
Perbualan dalam WhatsApp..
Suami : Kanda di hospital sekarang. Kemalangan. Alhamdulillah, patah dua jari sahaja. Mujur ada Salma, dia yang bawa kanda ke hospital tadi. Minta dinda ambil kanda di sini.
Isteri : Salma tu siapa?
Suami : kanda di Hospital Kuala Lumpur.
Isteri : Kalau tak cakap betul, balik sendiri!

Pengajaran
Usah memburukkan keadaan yang sedia ada dengan sangka buruk.

Sumber : Angguk Geleng



,


RAGU—RAGU
Ragu-ragu menghadirkan keliru. Di sebabkan ragu-ragu, seseorang gagal bertindak. Kerana ragu-ragu peluang yang baik terlepas. Lantaran ragu-ragu lintasan hati yang jujur bersuara juga boleh terbabas. Awasi rasa ragu-ragu dalam diri, takut kelak memakan diri. Perasaan ragu-ragu menghasilkan ketidakyakinan untuk menyelesaikan sesuatu pekerjaan. Tugasan untuk diri sendiri, apatah lagi untuk orang lain. Jangan sampai ragu-ragu dengan segala yang diatur Allah untuk diri, Bahaya nanti. Halau ragu-ragu dengan menanam rasa yakin dalam diri. Buang keraguan dengan menghadirkan kepercayaan.  Akhirnya berbuahlah keyakinan. Perlu ragu-ragu pada perkara yang perlu , jangan sampai meragui yang tidak patut diragui. 
Sumber : viceversa





           


PETUA REZEKI MELIMPAH
 Kawal diri daripada melakukan maksiat.
 Berusaha dengan cara yang betul berpandukan ilmu.
 Banyak berdoa. Rasulullah mendidik kita dengan doa ini
‘Ya Allah, banyakkanlah hartaku dan keturunanku, dan berkatilah aku pada semua pemberianmu’. (Riwayat al Bukhari)







ADAB KETIKA MAKAN
 BERNIAT
Didik anak supaya berniat sebelum makan. Sedarkan mereka, apakah tujuan mereka makan?

 SUMBER YANG HALAL
Pastikan sumber pendapatan rezeki itu halal. Kalau curi duit kawan beli makanan halal, hasilnya tetap tidak halal juga.

 BASUH TANGAN SEBELUM MAKAN
Sekalipun memakai sudu, basuhlah tangan supaya sentiasa bersih dan suci.

 BERDOA
Mulakan dengan membaca doa (dibaca kuat sedikit), atau setidak-tidaknya membaca basmalah.

 MEMPELAWA MAKAN BERSAMA KEPADA SIAPA YANG ADA DI SEKELILINGNYA
Mengapa budaya ‘mempelawa’ ini diamalkan? Budaya ini adalah untuk membiasakan anak-anak mengambil berat akan orang-orang  yang berada di sekelilingnya.

 SYUKUR DENGAN REZEKI
Didik anak supaya reda dengan apa yang dihidangkan. Setiap rezeki adalah daripada Allah.

 KUNYAH MAKANAN SEHINGGA LUMAT, BARULAH TELAN.
Makanan yang lumat mudah dihadamkan. Makanan yang tidak hadam menyebabkan perut sebu, senak  dan mudah  sembelit.

 MENJILAT JARI
Jika terdapat sisa makanan yang melekat di jari-jari, jilatlah sehingga bersih.

 BERSABAR
Bersabarlah jika makanan agak panas dan tunggu sehingga makanan sejuk sedikit.

 MAKAN BERSAMA
Amalkan makan bersama-sama  satu keluarga.

 BERHENTI MAKAN SEBELUM KENYANG
Jika terlampau kenyang, badan akan lesu dan mengantuk.

 BASUH TANGAN SETELAH SELESAI MAKAN
Keringkan dengan tuala pengelap atau tisu.

Sumber : Didiklah Dari Hati




           




No comments:

Post a Comment