Google Ads

Monday, 15 February 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 231


MENARIK DI DALAM
·        Solehah Pilihan
·        Usah Bersedih
·        Paksa makan
·        13 Adab Isteri Terhadap Suami
·        Sangkaan


SOLEHAH PILIHAN
Tanpa iman, kecantikan akan dipergunakan ke arah kejahatan dan kemaksiatan yang akhirnya akan memusnahkan pemiliknya dan orang lain, cantik tidak salah, tetapi salah menggunakan kecantikan itulah yang salah. Bagi wanita yang beriman, kecantikan dalaman dan luarannya hanya untuk lelaki bernama suami, bukan untuk dikongsi dengan semua lelaki. Kecantikan itu bermula dari dalam ke luar. Bukan sebaliknya. Oleh sebab itu, jika ingin menjadi cantik, ikutilah langkah ini. Pertama, tanamkan dalam hati kita dengan iman yang benar-benar kuat berdasarkan ilmu yang tepat dan penghayatan yang tinggi. Kemudian, buktikan keimanan itu dengan perbuatan yang baik. insyaAllah, kita akan kelihatan cantik di mata orang yang beriman, lebih-lebih lagi di sisi Allah. Jika ada yang bertanya, bagaimana kedudukannya jika ada orang yang tidak bertudung, tetapi akhlaknya lebih baik daripada orang yang bertudung? Dengan penuh kasih sayang kita menjawab ‘alangkah baiknya jika wanita yang mempunyai akhlak yang baik, memilih pakaian yang baik yakni menutup aurat, untuk menjadi seorang wanita yang benar-benar baik dan dapat memberikan kebaikan kepada orang lain’. Manakala bagi wanita yang telah bertudung pula, marilah tingkatkan diri hingga peringkat menutup aurat dalam erti kata sebenarnya. Bukan sahaja diri dilitupi oleh kain, tetapi yang lebih penting, hati dilitupi oleh rasa malu. Maksudnya, tidak cukup sekadar menegakkan syariat lahiriah, tetapi juga tegakkan ‘syariat batiniah’ yakni membina sifat malu, sabar, pemurah dan lain-lain. itulah yang akan menghalang kita daripada terjebak dengan pergaulan bebas dan perbuatan-perbuatan lain yang boleh menimbulkan fitnah kepada diri kita dan Islam. Tudung hanyalah kain yang menutup diri, tetapi rasa malu itulah penghalang hati daripada melakukan sesuatu yang dimurkai Ilahi.
Sumber : Pesan Hati Untuk Hati


USAH BERSEDIH

 Andaikata kamu dikhianati atau dilukai oleh mereka yang mempunyai talian kekeluargaan dengan kamu, usah bersedih , ingatlah peristiwa Yusuf a.s yang di khianati oleh saudara-saudaranya.

 Andaikata ibubapa kamu atau mereka yang kamu kasihi menentang kamu ketika kamu berjalan di atas jalan kebenaran , usah bersedih. Ingatlah peristiwa Ibrahim a.s yang di humban di dalam api oleh ayahandanya.

 Andaikata kamu buntu dalam permasalahan dan tidak nampak jalan keluar, usah bersedih, ingatilah kisah Yunus as yang terperangkap dalam perut ikan.

 Andaikata kamu di datangi penyakit, dan seluruh badanmu di landa kesakitan, usah bersedih. Ingatilah kisah ayub as yang ditimpa kesakitan yang dahsyat dengan pelbagai penyakit, di samping kehilangan ahli keluarganya.

 Andaikata kamu melihat kekurangan dan kelemahan yang ada dalam diri kamu, usah bersedih. Ingatilah kisah Musa yang tidak dapat bertutur dengan sempurna.

 Andaikata kamu difitnah dan dicaci oleh manusia di sekelilingmu, usah bersedih. Ingatilah kisah Aisyah ra yang sabar setelah difitnah sehingga satu kota mengatanya.

 Andaikata kamu rasa kesunyian dan berkeseorangan serta tiada siapa pun yang membantu. Usah bersedih, ingatilah kisah Nabi Adam as diturunkan ke muka bumi sebelum bertemu semula dengan Hawa.

 Andaikata kamu rasakan tiada kewajaran apa yang kamu lakukan, serta detikan hati tertanya mengapa ianya terjadi. Usah bersedih. Ingatilah kisah Nabi Nuh as yang tanpa keluh dan tanpa tahu sebabnya, terus membina bahtera yang besar tanpa banyak soal.

 Andaikata kamu di herdik dan dicerca oleh saudara mara kamu lantaran kamu memilih agama dan kehidupan akhirat berbanding kehidupan dunia, usah besedih. Ingatilah kisah Nabi Muhammad yang dipulaukan dan diperangi oleh keluarga yang terdekat.

 

Sahabatku..Subhanallah…

Allah SWT mewujudkan personaliti yang hebat-hebat ini sebelum kita, dan mendatangi mereka dengan pelbagai ujian dan cabaran dangan tujuan agar satu hari nanti, manusia seperti saya dan kamu, bila mana berhadapan dengan sebarang musibah dan tribulasi tidak perlu berkata ’Kenapa Aku?’   

Sumber : semanisKurma



PAKSA MAKAN
Alkisah, ada seorang anak muda yang mula terpengaruh dengan fahaman ateis. Dia tidak percaya bahawa Allah Maha Berkuasa menentukan segalanya. Katanya, Allah tidak boleh membuatkannya makan jika dia tidak mahu makan. Keyakinannya disuarakannya kepada ibunya. Setiap hujah logiknya tidak dibalas oleh si ibu. Malah dia ingin membuktikan ‘saya cabar dengan tidak akan makan atau minum hari ini. Ibu tengok nanti, bolehkah Allah membuat saya makan!’ si ibu hanya mampu menangis sambil merayu agar dia kembali ke pangkal jalan. Rimas dengan rayuan ibunya, dia memanjat sebatang pokok di luar rumahnya dan bersendirian di atasnya. Malam kian hampir. Melihat si anak yang masih berdegil, si ibu meletakkan sedulang hidangan sedap-sedap di bawah pokok tersebut. Doanya agar anaknya sedar dan bertaubat. Malam pun berlabuh. Sekumpulan perompak melewati pokok tersebut. Terkejut mereka mendapati hidangan lazat yang tersedia. Mungkinkah ada orang hendak memerangkap mereka. Barangkali hidangan itu beracun. Tetapi sayang jika makanan yang menggiurkan itu dibiarkan sahaja. Lalu mereka perasan akan anak muda di atas pokok. Jadi dia terpaksa turun selepas perompak mengugut bunuh. Kemudian dia dipaksa pula mengecap makanan tersebut. Kali ini anak muda itu lebih berkeras.  Lalu dia dipukul teruk. Kerana tidak ingin nyawa melayang, akhirnya dia mengalah dan mula makan. Setelah itu para perompak melahap makanan itu sehingga licin. Anak muda itu mula menangis. ’pelik, semasa kami bantai kamu tadi, bukan main keras semangat kamu. Sekarang baru menangis? ’Asyhaduallahialahaillallah (Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah). Kini saya yakin Allah Maha Berkuasa atas segalanya-galanya’.   

Pengajaran
Setiap kejadian buruk yang menimpa diri akan ada isyarat agar kembali kepada Tuhan.
Angguk Geleng


13 ADAB ISTERI TERHADAP SUAMI

1. Semasa suami bercakap hendaklah isteri diam mendengarnya dan jangan suka menyampuk atau memotong cakapnya.
2. Bila suami marah hendaklah isteri mendiamkan diri, jangn suka menjawab. Sikap suka menjawab, bertekak dan menegakkan kebenaran sendiri akan menambahkan kemarahan suami.
3. Kadang-kadang si suami sengaja suka mengusik isterinya. Bila dia menyakiti hati isteri hendaklah banyak bersabar, jangan cepat merajuk.
4. Bila kuku, misai dan janggutnya panjang hendaklah segera dipotongkan.
5. Jika dia berhajat kepada sesuatu hendaklah isteri cepat bertindak. Bangun segera apabila disuruh. Jangan melengah-lengahkan kemahuannya supaya tidak mencetuskan kemarahan atau terasa tersinggung di hatinya.
6. Hendaklah memasak mengikut kesukaan suami bukan mengikut selera isteri. Suami akan gembira apabila seleranya ditepati.
7. Apabila pakaian suami koyak atau tercabut butangnya hendaklah segera dijahit. Jahitlah secantik yang boleh supaya pakaian itu kelihatan kemas.
8. Sentiasa sediakan barang-barang keperluan di dalam poket baju dan seluar suami.
9. Bila bertembung kehendak suami dan anak-anak, dahulukan kehendak suami, begitu juga kehendak ibu ayah.  Sekiranya suami ingin dilayan hendaklah ditaati meskipun isteri berada dalam keadaan letih. Melayani suami merupakan satu pahala besar ke atas setiap isteri.
10. Apabila menggunakan harta suami ataupun duit yang hendak kita hadiahkan kepada ibu bapa maka mintalah izin darinya terlebih dahulu.
11. Sentiasa berada dalam keadaan bersih dan kemas ketika suami berada di rumah.
12. Air minum suami hendaklah sentiasa disiapkan jangan sampai dia minta biarpun sekadar air masak sejuk. Sebaik-baiknya sediakanlah minuman panas seperti kopi, teh atau susu. Kalau boleh sediakan makanan ringan seperti kuih muih dan biskut. Hal ini dapat mengelak anak-anak dari membeli makanan ringan di kedai yang tidak mengandungi zat di samping tidak terjamin kebersihannya.
13. Hendaklah isteri sentiasa menghormati dan memuliakan keluarga suami. Bersikap ramah tamahlah dengan keluarganya dan bersabarlah di atas segala tindakan mereka walaupun kita kurang menyukainya.
 



Rasulullah SAW bersabda :
Allah berfirman ‘Aku ini berdasarkan prasangka hambaKu. Aku bersamanya apabila dia mengingatiKu’.
(Muttafaqul alaih)

Sahabatku..
Jom bersangka baik dengan Allah. Kerana sangkaan itulah yang kita akan dapat. Sangka baik dapat baik. Sangka buruk, buruklah yang akan kita dapat.




Friday, 12 February 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 230

MENARIK DI DALAM
·        Salahkah Kelihatan Cantik?
·        10 Sebab Mengapa Anda Tidak Mencapai Kebebasan Kewangan dan Masa
·        Ku ingin
·        Dedah rambut
·        Doa cinta
·        Tip tip cinta muda ketika tua
·        Petua senang hati
·        Mutiara Salaf


SALAHKAH KELIHATAN CANTIK?
Salahkah bertudung kerana ingin kelihatan cantik? Apa salahnya, bukankah keindahan dan kecantikan itu dituntut oleh Islam? Mungkin ada yang berhujah begitu. Memang, itu tidak salah, tetapi itu bukan utama menutup aurat. Tujuan utama menutup aurat adalah disebabkan hendak mengikut perintah Allah. Menutup aurat dipatuhi atas dasar iman. Kemudian pelaksaannya wajib menepati kaedah syariat. Mana yang patut ditutup, hendaklah ditutup. Labuh dan singkatnya semua mengikut piawaian syariat. Dengan menutup aurat, barulah terserlah akhlak pada wanita yang menutup aurat. Akhlak itulah kecantikan yang lebih diutamakan daripada kecantikan luaran. Malah kecantikan akhlak itulah juga yang selamat dan menyelamatkan. Dia tidak akan diganggu atau mengganggu orang lain. Inilah tujuan utama penutupan aurat. Sebaliknya, kecantikan yang tidak berasaskan iman, syariat dan akhlak islamiah akan merosakkan diri sendiri dan orang lain. Bayangkan betapa banyak hati para lelaki dicemari oleh seorang wanita yang mendedahkan auratnya di khalayak ramai. Ada ungkapan yang berbunyi, kemusnahan akan menimpa jika wanita mula merasakan dirinya cantik. Ketika itu potensi untuknya menyalahgunakan kecantikan itu mula berbunga. Kebenarannya memang ada. Lihatlah, kebanyakan wanita yang mendedahkan aurat di dada media ialah wanita-wanita yang cantik. Hakikatnya, merekalah yang menjadi sumber ’gangguan seksual’ kepada hati dan perasaan orang lelaki. Ya, untuk kelihatan cantik tidak salah, namun ukuran kecantikan itu mestilah berpandukan syariat, bukan hawa nafsu. Kecantikan yang menjadi nilaian Islam tentulah lebih sejati, hakiki dan abadi.

Sumber : Pesan Hati Untuk Hati


10 SEBAB MENGAPA ANDA TIDAK MENCAPAI KEBEBASAN KEWANGAN DAN MASA

 Anda Fikir Ianya mustahil Untuk Dicapai

Apabila kita sudah meletakkan di dalam fikiran bahawa ianya mustahil, maka kita akan cuba mencari pelbagai alasan karut kerana kita percaya bahawa kebebasan kewangan adalah MUSTAHIL.

 

 Anda tidak Mempunyai Perancangan

Keinginan kuat sahaja tidak mencukupi jika ianya tidak digandingkan dengan pelan pelaksanaan dan strategi untuknya. Tiada gandingan ini akan membawa kita kepada angan-angan mat jenin. Apakah perancangan anda dalam masa setahun?  tigatahun? lima tahun?.

 

 Tidak nampak apa yang diimpikan

Salah satu rahsia kenapa orang berjaya terus berjaya dan berjaya lagi ialah mereka nampak apa yang mereka inginkan.  Papan visi (vision board) merupakan antara formula rahsia yang dapat membantu anda merealisasikan impian bebas masalah kewangan dan masa.  

 

 Tidak bayar diri sendiri dahulu

Setiap kali dapat gaji tetap asingkan 10% dari wang ke tempat lain. Wang tersebut digunakan untuk upgrade diri sendiri melalui carian ilmu. Beli buku-buku berkaitan dengan kebebasan kewangan dan masa.

 

 Ego terima nasihat orang lain

Buangkan ego anda jauh-jauh. anda kena akui bahawa anda masih kekurangan ilmu untuk bebas dari masalah kewangan dan masa. Sudah tiba masanya anda untuk anda bertanya dan menerima nasihat dari orang lain.

 

 Tidak mencipta Pemikiran orang Berjaya

Tiru gaya pemikiran mentor ini dengan lebih dekat. Beli buku penulisan mereka, hadir seminar atau kursus-kursus anjuran mereka.

 

 Diselubungi Aura Negatif sepanjang Masa

Anda tidak akan berjaya jika diri anda asyik diselubungi aura negatif. Hanya dalam keadaan  positif sahaja anda mampu berfikir secara kreatif yang boleh membawa kepada kejayaan hidup.

 

 Tidak kekalkan Momentum Tindakan

Jangan berhenti di separuh jalan, kekal momentum tindakan, kuatkan semangat dan cekalkan hati bagi menghadapi segala rupa cabaran yang bakal menjelma.

 

 Takut Untuk Berkorban

Jangan bazirkan masa dengan aktiviti yang tidak membawa apa-apa manfaat diri.

 

 Tidak Bersyukur.

Sumber : AzizanOsman.com


KU INGIN…..
Ketika dilanda kemiskinan, manusia inginkan kekayaan.
Ketika dipinggirkan, manusia inginkan kasih sayang.
Ketika dizalimi, manusia inginkan keadilan.
Ketika dilanda kejahilan, manusia inginkan ilmu pengetahuan.
Sahabatku..
Itulah tanda manusia ini makhluk tak sempurna..
Kembalilah kepada Allah Yang Maha Sempurna....

                  

DEDAH RAMBUT
Seorang lelaki berjalan melewati dua orang ustaz yang sedang berbual. Dia sempat terdengar sedikit perbualan mereka yg berikut:
Ustaz 1:             semua rakan sekelas ana di sekolah menengah dahulu sudah free hair sekarang.
Ustaz 2: Isy, betulkah syeikh? Teruknya kalau begitu. Eh,    anta sekolah mana dulu?
Sampai di rumah dia menceritakan kepada isterinya. Hal itu makin menguatkan alasannya untuk tidak menghantar anaknya ke sekolah agama. Bagaimana sekolah seorang ustaz sendiri pelajar perempuannya free hair (dedah rambut)?

Sebenarnya dia tidak mendengar lanjutan perbualan itu:
Ustaz 1:             Ana sekolah di Maahad Muhammadi. (Semua pelajarnya lelaki.)

Pengajaran
Prasangka sering membuatkan kita salah menghukum sesuatu. Bersangka baiklah sentiasa. 
Sumber : Angguk Geleng


DOA CINTA
Ya Allah,
Berikanlah cintaMu kepadaku,
Jadikanlah orang yang mencintaiMu menyintaiku,
Dan
Jadikanlah aku mencintai segala sesuatu yang membawa kepada kecintaanMu..   


TIP –TIP CINTA MUDA KETIKA TUA
¤ Beristiqamah ketika solat berjemaah dengan pasangan. Carilah kaedah bersama untuk menguatkan hubungan dengan Allah.
¤ Jangan abaikan makan bersama di rumah. Jika boleh, sekali sekala makanlah dalam satu bekas yang sama.
¤ Berkebun dan memasak bersama.
¤ Berkongsi hobi atau minat bersama. Luangkan masa berjalan-jalan, memandu bersama pasangan.
¤ Bercerita sambil mengimbau kenangan-kenangan manis bersama.
¤ Lawati semula tempat-tempat yang menjadi nostalgia bersama seperti masjid di mana anda diijabkabulkan, lokasi tempat anda berbulan madu dan sebagainya.
¤ Menziarahi orang yang pernah berjasa dan berbudi dalam kehidupan anda berdua sama ada pada awal usia perkahwinan atau masa kini.
¤ Baca, lihat, tonton semula majalah, album gambar atau filem-filem yang boleh mengembalikan nostalgia kenangan manis bersama
¤ Menziarahi pusara ahli keluarga atau sahabat-sahabat rapat anda berdua.
¤ Sekali sekala buat kejutan dengan memberikan hadiah, kad ucapan, sekuntum bunga atau jemputan makan di luar. 


           


PETUA SENANG HATI

1. Latih hati sentiasa bersangka baik dengan Allah
2. Latih hati sentiasa ingat, Allah memberi pahala kepada kita setiap kali kita diumpat dan di kata atau di keji
3. Latih hati sentiasa bergantung dengan Allah dan tidak terlalu mengharapkan manusia
4. Latih hati sentiasa bersyukur dengan nikmat dari Allah
5. Latih hati semtiasa memaafkan kesilapan orang lain dan sentiasa memohon ampun dari Allah.



MUTIARA SALAF
’jangan kamu duduk kecuali dengan orang yang akan membantu masalah akhiratmu’.
(Bisyir al Hafi)



Thursday, 4 February 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 229

MENARIK DI DALAM
·        Aurat dan Akhlak
·        Kehidupan dan kematian
·        Usah Begini, ketika menghadapi orang tersayang
·        Apabila Orang Jahil Bercakap
·        Tanda-tanda Lidah yang kotor menurut Imam al Ghazali



AURAT DAN AKHLAK
Jangan sekali-kali mengatakan bahawa menutup aurat tiada kaitan dengan akhlak seseorang, seperti pernyataan sebegini ‘walaupun saya tidak menutup aurat tetapi hati saya baik’. Hal ini demikian kerana akhlak mulia sesebuah masyarakat mampu dinilai menerusi pakaian dan penampilan warga masyarakat tersebut. Pelik. Ramai Muslimah kini bergaya mengikut telunjuk barat. Pakaian mereka tidak terselit sedikit pun nilai akhlak mulia. Kesannya, kita menjadi pengguna kepada produk busana yang dicedok bulat-bulat daripada Barat yang telah memisahkan agama daripada kehidupan seharian. Penyair Arab, Ahmad Syauqi ada mengatakan ‘Tegaknya suatu bangsa bergantung pada akhlak mereka. Jika akhlak hancur, maka runtuhlah negara’. Benarlah, jika diteliti dengan mata hati, pakaian yang mendedahkan aurat sama seperti pakaian orang kuno dan primitif.

Sumber : Pesan Hati Untuk Hati


KEHIDUPAN DAN KEMATIAN
 ’hidup ini seperti minum kopi, semakin pahit semakin mengasyikkan’.

’bukanlah orang bahagia orang yang tiada masalah langsung. Orang bahagia sebenar ialah ialah orang yang boleh hidup dengan masalah’.

’jika semalam sudah terlepas, kita masih ada hari ini. Jika hari ini akan berlalu kita masih ada hari esok. Akhirat itulah esok sebenarnya’.

’Seindah manapun hari-hari semalam, ia tidak akan kembali. Seindah manapun hari ini, ia akan berlalu jua. Seindah manapun hari esok , belum lagi tiba. Bahkan, secantik-cantik apapun dunia, ingat di sana ada kematian.’

                   

USAH BEGINI…

Ketika Menghadapi Pemergian Orang Tersayang...

 Memendam Kesedihan

Menangislah. Kita tidak perlu malu untuk bersedih, bahkan kongsi kesedihan tersebut kalau boleh. Kerana Rasulullah juga berbuat begitu. Tatkala Ibrahim menghembuskan nafas yang terakhir di hadapan Nabi , baginda menangis kemudian bersabda ‘Sesungguhnya air mata mengalir dan hati bersedih, namun kami tidak akan mengucapkan melainkan apa yang diredhai Allah sahaja. Sesungguhnya perpisahan denganmu amat menyedihkan kami’ (Riwayat al Bukhari)

 

 Meratap

Meskipun boleh menangis meluahkan perasaan namun tidak sekali-kali dengan cara meratap. Meratap bukan sahaja meraung-raung, sebaliknya meluahkan rasa tidak puas hati dan kesal seolah-olah tidak meredai ketentuan Ilahi.

 

 Memadam Kenangan

Kerana tidak ingin bersedih, kita cuba untuk tidak ingin mengingati. Salah begitu! Rasulullah sendiri sering menyebut-nyebut tentang arwah isteri Baginda. Dengan itu ringanlah sedikit bebanan rasa rindu. Kenangan ialah peninggalan si dia yang paling bermakna. Maka manfaatkannya. Kenangkan kebaikannya semoga kita dapat meneruskan kebaikannya.

 

 Melemahkan Orang Lain

Kerana bukan kita seorang yang bersedih, ibubapa dan anak-anaknya juga jangan lupa. Maka bantulah mereka melalui saat itu. Mereka lebih lemah dan rapuh, maka kita jadi tunjangnya. Tidak mengapa untuk sama-sama bersedih, namun tunjukkan juga semangat untuk bangkit.

 

 Menyendiri

Rasa menyendiri itu biasa. Maka biarkan namun bukan selama-lamanya. Hidup mesti diteruskan dan kita sangat lemah untuk hidup bersendirian. Maka jika perlukan bantuan, minta. Jangan buruk sangka kepada orang lain keberatan utuk menolong kita. Mereka tidak tahu apa yang kita perlukan.

 

 Menyalahkan Diri

Kita redha dengan pemergiannya bukan bermakna suka, tetapi menerima ketentuan Allah. Allah sudah menentukan saat ini, jauh sebelum kita mengenalinya lagi. Maka jangan diperdayakan oleh peraasan ralat dan kesal tidak berkhidmat untuknya itu dan ini sewaktu hidupnya. Jangan pula tertipu dengan mainan perasaan seperti rasa melupakan pasangan, khianat dan tidak setia kononnya.

Sumber : Solusi Isu 80

 

       

 


APABILA ORANG JAHIL BERCAKAP
SEJAK DULU
Seorang anak muda mendapati seorang pakcik tua berzikir selepas solat; suba, suba, suba, suba sambil mengira dengan tasbih. Anak muda bertanya ‘zikir apa yg pakcik baca?’ ‘isy, anak muda, banyak benda yang kamu kena belajar lagi. Semua orang amalkan begini!’

LEMAH
Seorang lelaki tua bersembang lalu berhujahkan satu hadis lemah yang tidak boleh dijadikan sandaran hukum. Kemudian pelajar berkata ‘Maaf pak cik, itu hadis lemah’. Lantas pak cik itu berkata ‘Astagfirullahal’azim. Bagaimana kamu yang bersekolah agama boleh kata hadis Nabi lemah? Kalau kata-kata nabi Lemah, kata-kata siapa lagi yang kuat?

TUTUP KEPALA
Pada hari kursus haji. Seorang bertanya ‘kalau perempuan hendak tutup kepala juga semasa haji berdosakah? Adakah dia perlu bayar fidyah seperti orang lelaki juga?

Catatan 
Hukum haram menutup kepala hanya bagi lelaki. Perempuan dalam keadaan mana sekalipun wajib menutup kepalanya kerana aurat.

YANG LEBIH MUDAH
‘Ayah, cikgu kata tidak boleh minum dengan tangan kiri’. ‘Betul, tak baik. Tapi dalam keadaan tertentu jadi sunnah. Sebab kita beramal dengan hadis ‘Rasulullah tidak diberi pilihan antara dua perkara melainkan baginda akan memilih yang paling mudah’. Bukankah semasa makan, tangan kanan kotor. Nak pegang gelas akan kotor pula. Nak pergi basuh tangan, menyusahkan. Jadi yang paling mudah, minum dengan tangan kiri’.

Catatan 
Sambungan  hadis tersebut: ‘selagi mana tidak berdosa. Jika sesuatu perkara itu berdosa, maka bagindalah orang yang paling menjauhinya’. (Riwayat al Bukhari).

NABI LA
‘kisah ini berlaku di negeri di Negara Arab. Seorang lelaki bernama La. Dengan yakin dan berani dia mendakwa dirinya Nabi terakhir. ‘saya ialah Nabi. Kerana Rasulullah pernah berkata ‘La Nabiyya ba’di’. Nama aku La, Bukankah Rasulullah saw sendiri yang memberitahu? Jadi akulah Nabi yang ditunggu itu’.

Catatan 
La dalam bahasa arab bermaksud tiada. Jadi maksud sebenar hadis adalah ‘Tiada Nabi lagi sesudah aku’.
 (Riwayat al Bukhari)

HARI AHAD
Di Barat. Seorang Muslim mencadangkan, ‘apa kata kita tukar solat Jumaat kepada hari Ahad. Bukankah menurut ulama ijtihad mengikut berubah mengikut zaman dan tempat? Hari Jumaat ialah hari bekerja sedangkan ahad pula cuti. Bukankah matlamat disebalik solat Jumaat ialah perhimpunan dan perayaan mingguan umat Islam?’

Catatan 
Dalam syariat ada hukum yang jelas sabit pula dengan kesepakatan ulama (ijmak) seperti solat Jumaat. Hukum ini tidak boleh diubah.

Pengajaran
Bercakap tentang agama tanpa ilmu termasuk dosa besar. Dalam al Quran Allah meletakkannya setaraf dengan dosa syirik. Katakanlah ‘sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi dan mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti serta memperkatakan tentang Allah dengan sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya’. (Al A’raf 7:33). Bagaimanapun ramai orang berani memberi pendapat berkaitan agama secara melulu dan tidak berdasarkan ilmu. Semuanya berdasarkan logik kepala sendiri tanpa memastikan dengan ahli ilmu terlebih dahulu.
Sumber : Angguk Geleng



TANDA-TANDA LIDAH YANG KOTOR MENURUT IMAM AL GHAZALI
1. Berkata-kata yang tidak berfaedah
2. Berlebih-lebihan apabila bercakap
3. Suka bercakap yang batil
4. Banyak memaki hamun
5. Suka bertengkar atau bertikam lidah
6. Mencari-cari kesalahan orang lain
7. Suka mengumpat
8. Bergurau secara berlebihan
9. Suka mengejek dan menghina serta membuka aib orang
10. Bersumpah palsu
11. Memuji bukan pada tempatnya atau mengampu.