Google Ads

Friday, 12 February 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 230

MENARIK DI DALAM
·        Salahkah Kelihatan Cantik?
·        10 Sebab Mengapa Anda Tidak Mencapai Kebebasan Kewangan dan Masa
·        Ku ingin
·        Dedah rambut
·        Doa cinta
·        Tip tip cinta muda ketika tua
·        Petua senang hati
·        Mutiara Salaf


SALAHKAH KELIHATAN CANTIK?
Salahkah bertudung kerana ingin kelihatan cantik? Apa salahnya, bukankah keindahan dan kecantikan itu dituntut oleh Islam? Mungkin ada yang berhujah begitu. Memang, itu tidak salah, tetapi itu bukan utama menutup aurat. Tujuan utama menutup aurat adalah disebabkan hendak mengikut perintah Allah. Menutup aurat dipatuhi atas dasar iman. Kemudian pelaksaannya wajib menepati kaedah syariat. Mana yang patut ditutup, hendaklah ditutup. Labuh dan singkatnya semua mengikut piawaian syariat. Dengan menutup aurat, barulah terserlah akhlak pada wanita yang menutup aurat. Akhlak itulah kecantikan yang lebih diutamakan daripada kecantikan luaran. Malah kecantikan akhlak itulah juga yang selamat dan menyelamatkan. Dia tidak akan diganggu atau mengganggu orang lain. Inilah tujuan utama penutupan aurat. Sebaliknya, kecantikan yang tidak berasaskan iman, syariat dan akhlak islamiah akan merosakkan diri sendiri dan orang lain. Bayangkan betapa banyak hati para lelaki dicemari oleh seorang wanita yang mendedahkan auratnya di khalayak ramai. Ada ungkapan yang berbunyi, kemusnahan akan menimpa jika wanita mula merasakan dirinya cantik. Ketika itu potensi untuknya menyalahgunakan kecantikan itu mula berbunga. Kebenarannya memang ada. Lihatlah, kebanyakan wanita yang mendedahkan aurat di dada media ialah wanita-wanita yang cantik. Hakikatnya, merekalah yang menjadi sumber ’gangguan seksual’ kepada hati dan perasaan orang lelaki. Ya, untuk kelihatan cantik tidak salah, namun ukuran kecantikan itu mestilah berpandukan syariat, bukan hawa nafsu. Kecantikan yang menjadi nilaian Islam tentulah lebih sejati, hakiki dan abadi.

Sumber : Pesan Hati Untuk Hati


10 SEBAB MENGAPA ANDA TIDAK MENCAPAI KEBEBASAN KEWANGAN DAN MASA

 Anda Fikir Ianya mustahil Untuk Dicapai

Apabila kita sudah meletakkan di dalam fikiran bahawa ianya mustahil, maka kita akan cuba mencari pelbagai alasan karut kerana kita percaya bahawa kebebasan kewangan adalah MUSTAHIL.

 

 Anda tidak Mempunyai Perancangan

Keinginan kuat sahaja tidak mencukupi jika ianya tidak digandingkan dengan pelan pelaksanaan dan strategi untuknya. Tiada gandingan ini akan membawa kita kepada angan-angan mat jenin. Apakah perancangan anda dalam masa setahun?  tigatahun? lima tahun?.

 

 Tidak nampak apa yang diimpikan

Salah satu rahsia kenapa orang berjaya terus berjaya dan berjaya lagi ialah mereka nampak apa yang mereka inginkan.  Papan visi (vision board) merupakan antara formula rahsia yang dapat membantu anda merealisasikan impian bebas masalah kewangan dan masa.  

 

 Tidak bayar diri sendiri dahulu

Setiap kali dapat gaji tetap asingkan 10% dari wang ke tempat lain. Wang tersebut digunakan untuk upgrade diri sendiri melalui carian ilmu. Beli buku-buku berkaitan dengan kebebasan kewangan dan masa.

 

 Ego terima nasihat orang lain

Buangkan ego anda jauh-jauh. anda kena akui bahawa anda masih kekurangan ilmu untuk bebas dari masalah kewangan dan masa. Sudah tiba masanya anda untuk anda bertanya dan menerima nasihat dari orang lain.

 

 Tidak mencipta Pemikiran orang Berjaya

Tiru gaya pemikiran mentor ini dengan lebih dekat. Beli buku penulisan mereka, hadir seminar atau kursus-kursus anjuran mereka.

 

 Diselubungi Aura Negatif sepanjang Masa

Anda tidak akan berjaya jika diri anda asyik diselubungi aura negatif. Hanya dalam keadaan  positif sahaja anda mampu berfikir secara kreatif yang boleh membawa kepada kejayaan hidup.

 

 Tidak kekalkan Momentum Tindakan

Jangan berhenti di separuh jalan, kekal momentum tindakan, kuatkan semangat dan cekalkan hati bagi menghadapi segala rupa cabaran yang bakal menjelma.

 

 Takut Untuk Berkorban

Jangan bazirkan masa dengan aktiviti yang tidak membawa apa-apa manfaat diri.

 

 Tidak Bersyukur.

Sumber : AzizanOsman.com


KU INGIN…..
Ketika dilanda kemiskinan, manusia inginkan kekayaan.
Ketika dipinggirkan, manusia inginkan kasih sayang.
Ketika dizalimi, manusia inginkan keadilan.
Ketika dilanda kejahilan, manusia inginkan ilmu pengetahuan.
Sahabatku..
Itulah tanda manusia ini makhluk tak sempurna..
Kembalilah kepada Allah Yang Maha Sempurna....

                  

DEDAH RAMBUT
Seorang lelaki berjalan melewati dua orang ustaz yang sedang berbual. Dia sempat terdengar sedikit perbualan mereka yg berikut:
Ustaz 1:             semua rakan sekelas ana di sekolah menengah dahulu sudah free hair sekarang.
Ustaz 2: Isy, betulkah syeikh? Teruknya kalau begitu. Eh,    anta sekolah mana dulu?
Sampai di rumah dia menceritakan kepada isterinya. Hal itu makin menguatkan alasannya untuk tidak menghantar anaknya ke sekolah agama. Bagaimana sekolah seorang ustaz sendiri pelajar perempuannya free hair (dedah rambut)?

Sebenarnya dia tidak mendengar lanjutan perbualan itu:
Ustaz 1:             Ana sekolah di Maahad Muhammadi. (Semua pelajarnya lelaki.)

Pengajaran
Prasangka sering membuatkan kita salah menghukum sesuatu. Bersangka baiklah sentiasa. 
Sumber : Angguk Geleng


DOA CINTA
Ya Allah,
Berikanlah cintaMu kepadaku,
Jadikanlah orang yang mencintaiMu menyintaiku,
Dan
Jadikanlah aku mencintai segala sesuatu yang membawa kepada kecintaanMu..   


TIP –TIP CINTA MUDA KETIKA TUA
¤ Beristiqamah ketika solat berjemaah dengan pasangan. Carilah kaedah bersama untuk menguatkan hubungan dengan Allah.
¤ Jangan abaikan makan bersama di rumah. Jika boleh, sekali sekala makanlah dalam satu bekas yang sama.
¤ Berkebun dan memasak bersama.
¤ Berkongsi hobi atau minat bersama. Luangkan masa berjalan-jalan, memandu bersama pasangan.
¤ Bercerita sambil mengimbau kenangan-kenangan manis bersama.
¤ Lawati semula tempat-tempat yang menjadi nostalgia bersama seperti masjid di mana anda diijabkabulkan, lokasi tempat anda berbulan madu dan sebagainya.
¤ Menziarahi orang yang pernah berjasa dan berbudi dalam kehidupan anda berdua sama ada pada awal usia perkahwinan atau masa kini.
¤ Baca, lihat, tonton semula majalah, album gambar atau filem-filem yang boleh mengembalikan nostalgia kenangan manis bersama
¤ Menziarahi pusara ahli keluarga atau sahabat-sahabat rapat anda berdua.
¤ Sekali sekala buat kejutan dengan memberikan hadiah, kad ucapan, sekuntum bunga atau jemputan makan di luar. 


           


PETUA SENANG HATI

1. Latih hati sentiasa bersangka baik dengan Allah
2. Latih hati sentiasa ingat, Allah memberi pahala kepada kita setiap kali kita diumpat dan di kata atau di keji
3. Latih hati sentiasa bergantung dengan Allah dan tidak terlalu mengharapkan manusia
4. Latih hati sentiasa bersyukur dengan nikmat dari Allah
5. Latih hati semtiasa memaafkan kesilapan orang lain dan sentiasa memohon ampun dari Allah.



MUTIARA SALAF
’jangan kamu duduk kecuali dengan orang yang akan membantu masalah akhiratmu’.
(Bisyir al Hafi)



Thursday, 4 February 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 229

MENARIK DI DALAM
·        Aurat dan Akhlak
·        Kehidupan dan kematian
·        Usah Begini, ketika menghadapi orang tersayang
·        Apabila Orang Jahil Bercakap
·        Tanda-tanda Lidah yang kotor menurut Imam al Ghazali



AURAT DAN AKHLAK
Jangan sekali-kali mengatakan bahawa menutup aurat tiada kaitan dengan akhlak seseorang, seperti pernyataan sebegini ‘walaupun saya tidak menutup aurat tetapi hati saya baik’. Hal ini demikian kerana akhlak mulia sesebuah masyarakat mampu dinilai menerusi pakaian dan penampilan warga masyarakat tersebut. Pelik. Ramai Muslimah kini bergaya mengikut telunjuk barat. Pakaian mereka tidak terselit sedikit pun nilai akhlak mulia. Kesannya, kita menjadi pengguna kepada produk busana yang dicedok bulat-bulat daripada Barat yang telah memisahkan agama daripada kehidupan seharian. Penyair Arab, Ahmad Syauqi ada mengatakan ‘Tegaknya suatu bangsa bergantung pada akhlak mereka. Jika akhlak hancur, maka runtuhlah negara’. Benarlah, jika diteliti dengan mata hati, pakaian yang mendedahkan aurat sama seperti pakaian orang kuno dan primitif.

Sumber : Pesan Hati Untuk Hati


KEHIDUPAN DAN KEMATIAN
 ’hidup ini seperti minum kopi, semakin pahit semakin mengasyikkan’.

’bukanlah orang bahagia orang yang tiada masalah langsung. Orang bahagia sebenar ialah ialah orang yang boleh hidup dengan masalah’.

’jika semalam sudah terlepas, kita masih ada hari ini. Jika hari ini akan berlalu kita masih ada hari esok. Akhirat itulah esok sebenarnya’.

’Seindah manapun hari-hari semalam, ia tidak akan kembali. Seindah manapun hari ini, ia akan berlalu jua. Seindah manapun hari esok , belum lagi tiba. Bahkan, secantik-cantik apapun dunia, ingat di sana ada kematian.’

                   

USAH BEGINI…

Ketika Menghadapi Pemergian Orang Tersayang...

 Memendam Kesedihan

Menangislah. Kita tidak perlu malu untuk bersedih, bahkan kongsi kesedihan tersebut kalau boleh. Kerana Rasulullah juga berbuat begitu. Tatkala Ibrahim menghembuskan nafas yang terakhir di hadapan Nabi , baginda menangis kemudian bersabda ‘Sesungguhnya air mata mengalir dan hati bersedih, namun kami tidak akan mengucapkan melainkan apa yang diredhai Allah sahaja. Sesungguhnya perpisahan denganmu amat menyedihkan kami’ (Riwayat al Bukhari)

 

 Meratap

Meskipun boleh menangis meluahkan perasaan namun tidak sekali-kali dengan cara meratap. Meratap bukan sahaja meraung-raung, sebaliknya meluahkan rasa tidak puas hati dan kesal seolah-olah tidak meredai ketentuan Ilahi.

 

 Memadam Kenangan

Kerana tidak ingin bersedih, kita cuba untuk tidak ingin mengingati. Salah begitu! Rasulullah sendiri sering menyebut-nyebut tentang arwah isteri Baginda. Dengan itu ringanlah sedikit bebanan rasa rindu. Kenangan ialah peninggalan si dia yang paling bermakna. Maka manfaatkannya. Kenangkan kebaikannya semoga kita dapat meneruskan kebaikannya.

 

 Melemahkan Orang Lain

Kerana bukan kita seorang yang bersedih, ibubapa dan anak-anaknya juga jangan lupa. Maka bantulah mereka melalui saat itu. Mereka lebih lemah dan rapuh, maka kita jadi tunjangnya. Tidak mengapa untuk sama-sama bersedih, namun tunjukkan juga semangat untuk bangkit.

 

 Menyendiri

Rasa menyendiri itu biasa. Maka biarkan namun bukan selama-lamanya. Hidup mesti diteruskan dan kita sangat lemah untuk hidup bersendirian. Maka jika perlukan bantuan, minta. Jangan buruk sangka kepada orang lain keberatan utuk menolong kita. Mereka tidak tahu apa yang kita perlukan.

 

 Menyalahkan Diri

Kita redha dengan pemergiannya bukan bermakna suka, tetapi menerima ketentuan Allah. Allah sudah menentukan saat ini, jauh sebelum kita mengenalinya lagi. Maka jangan diperdayakan oleh peraasan ralat dan kesal tidak berkhidmat untuknya itu dan ini sewaktu hidupnya. Jangan pula tertipu dengan mainan perasaan seperti rasa melupakan pasangan, khianat dan tidak setia kononnya.

Sumber : Solusi Isu 80

 

       

 


APABILA ORANG JAHIL BERCAKAP
SEJAK DULU
Seorang anak muda mendapati seorang pakcik tua berzikir selepas solat; suba, suba, suba, suba sambil mengira dengan tasbih. Anak muda bertanya ‘zikir apa yg pakcik baca?’ ‘isy, anak muda, banyak benda yang kamu kena belajar lagi. Semua orang amalkan begini!’

LEMAH
Seorang lelaki tua bersembang lalu berhujahkan satu hadis lemah yang tidak boleh dijadikan sandaran hukum. Kemudian pelajar berkata ‘Maaf pak cik, itu hadis lemah’. Lantas pak cik itu berkata ‘Astagfirullahal’azim. Bagaimana kamu yang bersekolah agama boleh kata hadis Nabi lemah? Kalau kata-kata nabi Lemah, kata-kata siapa lagi yang kuat?

TUTUP KEPALA
Pada hari kursus haji. Seorang bertanya ‘kalau perempuan hendak tutup kepala juga semasa haji berdosakah? Adakah dia perlu bayar fidyah seperti orang lelaki juga?

Catatan 
Hukum haram menutup kepala hanya bagi lelaki. Perempuan dalam keadaan mana sekalipun wajib menutup kepalanya kerana aurat.

YANG LEBIH MUDAH
‘Ayah, cikgu kata tidak boleh minum dengan tangan kiri’. ‘Betul, tak baik. Tapi dalam keadaan tertentu jadi sunnah. Sebab kita beramal dengan hadis ‘Rasulullah tidak diberi pilihan antara dua perkara melainkan baginda akan memilih yang paling mudah’. Bukankah semasa makan, tangan kanan kotor. Nak pegang gelas akan kotor pula. Nak pergi basuh tangan, menyusahkan. Jadi yang paling mudah, minum dengan tangan kiri’.

Catatan 
Sambungan  hadis tersebut: ‘selagi mana tidak berdosa. Jika sesuatu perkara itu berdosa, maka bagindalah orang yang paling menjauhinya’. (Riwayat al Bukhari).

NABI LA
‘kisah ini berlaku di negeri di Negara Arab. Seorang lelaki bernama La. Dengan yakin dan berani dia mendakwa dirinya Nabi terakhir. ‘saya ialah Nabi. Kerana Rasulullah pernah berkata ‘La Nabiyya ba’di’. Nama aku La, Bukankah Rasulullah saw sendiri yang memberitahu? Jadi akulah Nabi yang ditunggu itu’.

Catatan 
La dalam bahasa arab bermaksud tiada. Jadi maksud sebenar hadis adalah ‘Tiada Nabi lagi sesudah aku’.
 (Riwayat al Bukhari)

HARI AHAD
Di Barat. Seorang Muslim mencadangkan, ‘apa kata kita tukar solat Jumaat kepada hari Ahad. Bukankah menurut ulama ijtihad mengikut berubah mengikut zaman dan tempat? Hari Jumaat ialah hari bekerja sedangkan ahad pula cuti. Bukankah matlamat disebalik solat Jumaat ialah perhimpunan dan perayaan mingguan umat Islam?’

Catatan 
Dalam syariat ada hukum yang jelas sabit pula dengan kesepakatan ulama (ijmak) seperti solat Jumaat. Hukum ini tidak boleh diubah.

Pengajaran
Bercakap tentang agama tanpa ilmu termasuk dosa besar. Dalam al Quran Allah meletakkannya setaraf dengan dosa syirik. Katakanlah ‘sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi dan mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti serta memperkatakan tentang Allah dengan sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya’. (Al A’raf 7:33). Bagaimanapun ramai orang berani memberi pendapat berkaitan agama secara melulu dan tidak berdasarkan ilmu. Semuanya berdasarkan logik kepala sendiri tanpa memastikan dengan ahli ilmu terlebih dahulu.
Sumber : Angguk Geleng



TANDA-TANDA LIDAH YANG KOTOR MENURUT IMAM AL GHAZALI
1. Berkata-kata yang tidak berfaedah
2. Berlebih-lebihan apabila bercakap
3. Suka bercakap yang batil
4. Banyak memaki hamun
5. Suka bertengkar atau bertikam lidah
6. Mencari-cari kesalahan orang lain
7. Suka mengumpat
8. Bergurau secara berlebihan
9. Suka mengejek dan menghina serta membuka aib orang
10. Bersumpah palsu
11. Memuji bukan pada tempatnya atau mengampu.
         


           




Tuesday, 2 February 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 228

MENARIK DI DALAM
·        Aurat dan Syariat
·        Kehidupan dan kematian
·        Berhenti
·        Doa Ummu Salamah
·        Penceramah Ganti
·        Tip Menghadapi Pemergian Orang Tersayang


AURAT DAN SYARIAT
Bagi mengukur sama ada solat seseorang itu betul-betul mampu mencegah kemungkaran atau tidak, maka ukurlah kehidupan seseorang di luar solatnya. Jika kebersihan diri dan tempat semasa solat dijaga, maka amalan menjaga kebersihan juga akan terpancar dalam kehidupannya di luar solat. Maka begitulah rasionalnya, bagaimana seorang wanita yang tidak menutup aurat di luar solat, tetapi mampu solat dengan menutup aurat? Pasti ada yang tidak sempurna atau tidak kena di mana-mana. Ya, masih ramai lagi yang keliru dalam menilai erti ibadah yang sebenar. Ibadah tidak terhad kepada rukun Islam yang lima sahaja, bahkan setiap saat, setiap perbuatan dan tidak kira di mana-mana sahaja kita boleh beribadah. Semuanya semudah ini: Tutup Aurat melalui niat yang ikhlas kerana Allah, Pelaksanaan yang betul, natijah yang baik, tidak meninggalkan ibadah asas akan menjadi IBADAH.  Sedar atau tidak, setiap wanita muslimah sudah dilatih menutup aurat dengan sempurna lima kali sehari menerusi solat fardhu. Ingat, solat bukan sahaja ‘ditunaikan’ malah perlu ‘didirikan’ dalam setiap aktiviti hidup kita. Dalam konteks ini ‘dirikanlah’ solat bermkana kita mampu menutup aurat dalam dan luar solat.
Sumber : Pesan Hati Untuk Hati


KEHIDUPAN DAN KEMATIAN
’kalaulah hidup ini tidak susah, nescaya kita tidak keluar daripada perut ibu dengan menangis’.

’indahnya hidup in, kita boleh menangis sambil tersenyum di bibir dan boleh ketawa sambil berair mata’.

’sesiapa yang mencintai Allah, dia pasti melihat segala sesuatu adalah cantik’.

                   


BERHENTI
Sekiranya kita menghentikan perjalanan atas alasan untuk mencari yang sempurna, itulah pemusnah sebuah kehidupan. Terus berjalan untuk menyempurnakan yang tidak sempurna. Jangan sesekali berhenti. Berhenti seketika sebelum meneruskan perjalanan itu perlu. Mengecas tenaga sebelum meneruskan perjalanan. Berhenti terus menamatkan perjalanan yang sedang diharungi. Kita tidak boleh berhenti berusaha untuk memperbaiki diri. Sebagaimana Allah tidak pernah jemu mencurahkan rahmatNya kepada kita. Kita hanya boleh berhenti selepas nafas terhenti. Tetapi pahala tetap berjalan jika selama kehidupan dipenuhi oleh persediaan bekalan. Hidup bukan untuk mencari perhentian namun untuk melakukan perjalanan.
Sumber : viceversa


DOA UMMU SALAMAH  

Ketika itu Ummu Salamah bersedih atas kematian suami tercinta yang syahid dalam Perang Badar. Rasulullah mengajarkan Ummu Salamah akan doa ini.

‘sesungguhnya kita milik Allah dan kepadaNya jualah kita akan kembali. Ya Allah ganjarilah aku pada musibahku ini dan gantikan untukku dengan yang lebih baik daripadanya’.
(Riwayat Muslim)

Ummu Salamah membacakan doa ini selalu. Tapi dalam hatinya tertanya-tanya siapakah lagi yang lebih baik berbanding suaminya Abu Salamah yang sangat penyayang dan baik. Tetapi, selepas itu Rasulullah masuk meminangnya. Benar sekali doa itu dan dia dijodohkan dengan lelaki yang terbaik di kalangan lelaki. 




PENCERAMAH GANTI
Ramadhan tiba lagi. Seperti biasa, surau dan masjid meriah dengan solat berjemaah dan tazkirah. Untuk tahun ini, surau Al Ikhlas menyusun turutan berikut, solat Isyak berjemaah dan disusuli dengan tazkirah Ramadhan. Selepas itu barulah diikuti dengan solat terawih berjemaah. AJK surau tidak ingin ada lagi jemaah yang tidak mendengar tazkirah seperti tahun lepas. Namun suatu malam, pentazkirah yang dijadualkan tidak dapat hadir. Kalutlah AJK. Orang ini tolak orang itu. Melihat kekalutan yang tiada kesudahan, bilal mula bangkit. ‘Malam ini biarlah saya yang memberi tazkirah’. Selepas memberi salam, doa dan mukadimah panjang, dia bertanya ‘saya ingin bawakan 1 isu penting. Tuan-tuan tahu tak isu apa yang hendak saya sampaikan?’
‘Tidak’
‘Kalau begitu tidak bolehlah diteruskan, kerana apa yang hendak saya sampaikan ini memerlukan pengetahuan asas. Lebih baik kita solat terawih terus. Aqimussolah!’ Malam esoknya, ustaz yang dijaduakan juga tidak dapat hadir. Sekali lagi tolak menolak berlaku. Bilal muda itu bangkit. ‘tuan-tuan tahu apa yang saya akan sampaikan pada malam ini?’
‘tahu, tahu’,
‘Baiklah kalu begitu. Tidak perlulah saya sampaikan. Kita terus solat sahaja!’. Entah macam mana, malam berikutnya juga ketiadaan Ustaz, Bilal muda terus bertindak lagi sebelum adegan kalut tolak menolak berulang. ‘Tuan-tuan tahu apa yang saya nak sampaikan malam ini?’ ‘Tahu!’ ‘Tidak tahu!’. Jemaah berpecah kepada dua kumpulan. ‘Alhamdulillah. kalau begitu kita terus solat sahaja,. Nanti masing-masing orang yang tahu sampaikan kepada orang yang tak tahu!’

Pengajaran
Kisah ini rekaan sahaja namun wajar meningatkan kita kepada suatu hakikat. Tazkirah adalah tazkirah. Tazkirah itu adalah peringatan. Tidak perlu lama-lama bagaikan kuliah pengajian. Tidak semestinya ustaz, baru boleh berjalan. Membacakan sepotong dua hadis pun sudah dikira memberi tazkirah.
Sumber : Angguk Geleng



TIP MENGHADAPI PEMERGIAN YG TERSAYANG

Yakin, ada Yang Terbaik Menanti
Tiada sesiapa pun yang suka dengan pemergian orang tersayang. Bagaimanapun Allah sudah mengatakan ‘Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan hal itu lebih baik untuk kamu’. (Al Baqarah 2:216). Maka jangan berhenti mengharapkan kebaikan daripada Allah. Hanya dengan hati yang bergantung pada Allah, kita akan dapat mengharungi saat paling sedih itu. Semoga kita dipertemukan kembali di syurga.

Bandingkan Musibah Orang Lain Lebih Dahsyat
Kita bukannya satu-satunya manusia yang mengalami musibah itu. Rasulullah, manusia paling dikasihi Allah pun mengalaminya bahkan lebih dahsyat.

Jadi Insan Yang Membanggakan
Jika kita ada banyak masa untuk melayan kenangan,maka gunakannya untuk merancang masa depan. Apa kata menjadi insan yang dibanggakan pasangan. Sibukkan diri dengan aktiviti membantu keluarga dan masyarakat. Yakinlah, kita tidak pernah keseorangan.

Istighfar Apabila Terkenang
Akan ada ketikanya, kenangan silam menjelma tiba-tiba, lalu perasaan hiba tidak dapat dihalang. Biasanya pada yang pertama, hari raya ,hari jadi, pada hari ulangtahun, serta hari jadi anak-anak  yang pertama tanpanya. Maka, setiap kali saat sebegitu tiba, perbanyakkan istighfar buatnya. Mohon yang terbaik buatnya.

Jaga Baik-baik Orang Yang Paling Disayanginya
Siapa lagi jika bukan diri kita sendiri? Adalah normal kita berasa letih dan tidak bermaya pada peringkat awal, namun jangan diturutkan perasaan sampai enggan makan, minum dan hidup.  Bayangkan jika dia masih hidup, tentu dia tidak mahu kita dalam keadaan demikian. Maka jangn lupa makan dan minum. Makanlah makanan kegemaran. Tidur biar cukup. Usah berasa bersalah untuk gembira. Pergilah bercuti dan bergembiralah bersama-sama anak-anak dan ahli keluarga yang lain. Sayangi diri sebagaimana dia menyayangi kita.

Sumber : SOLUSI ISU 80