Google Ads

Saturday, 12 March 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 240


MENARIK DI DALAM
·        Tugas Pengabdian
·        Tinggalkan di luar
·        Cerdik baik
·        Jom Berzikir
·         Cara Untuk Berdakwah
·        Adab Di Rumah Terbuka


TUGAS PENGABDIAN
Kita berdoa bukan untuk memberitahu Allah apa yang kita pinta, kerana tanpa diberitahu pun Allah sedia mengetahui segala sesuatu. Allah Maha Mengetahui segala apa yang kita zahirkan mahupun apa yang kita sembunyikan. Jadi, perlu apa lagi kita berdoa? Berdoa sebenarnya satu tugas pengabdian. Dengan berdoa kita mengakui kelemahan, kemiskinan, kehinaan, kejahilan dan lain-lain sifat kehambaan kita di sisiNya. Doa ialah untuk membuktikan sifat kehambaan kita di hadapan Allah. Sebagai hamba kita memerlukan Allah untuk lebih daripada segala-galanya dalam kehidupan kita ini. Sebagai hamba, kita wajib memuliakan Allah setiap masa. Inilah hakikat doa. Justeru, orang yang tidak berdoa dikatakan sombong terhadap Allah. Dia secara langsung seperti tidak mengakui sifat-sifat kehambaannya yang rendah, miskin, jahil, dan hina itu. Dia seolah-olah berasa pandai, kaya, gagah dan mulia dan tidak memerlukan Allah dalam kehidupannya. Selagi kita sedar kedudukan kita sebagai hamba, maka selagi itulah kita akan terus berdoa kepadaNya. Inilah prinsip yang dipegang dan diamalkan oleh orang yang hampir dengan Allah swt. Para Rasul, Nabi, dan umumnya salafussoleh pada zaman dahulu ialah orang yang membudayakan doa dalam setiap fasa kehidupan mereka. Mereka sentiasa sedar bahawa mereka ialah hamba Allah dan sebagai hamba, mereka selalu berhubung denganNya. Maka doa ialah ‘medium’ perhubungan itu. Doa ialah cara hidup yang menjadi tradisi orang soleh. Bermula daripada bangun tidur, membersihkan diri, masuk tandas, keluar tandas, memakai baju, melihat cermin, makan,  minum, memakai kasut ,menaiki kenderaan , melihat permandangan, bersin, menguap sehinggalah tidur semula. Semua perlakuan itu ada doanya yang khusus. Malah, untuk melakukan hubungan suami isteri juga ada doanya. 

Sumber : Pesan Hati untuk Hati




TINGGALKAN DI LUAR !
Lelaki : Hari ini kita melihat ramai orang yang membaca al Quran dengan telefonnya. Saya kurang bersetuju. Bayangkan hukum membawa masuk telefon yang ada al Quran ke dalam tandas.
Ustaz:Boleh. Tiada masalah membawa telefon tersebut ke dalam tandas.
Lelaki : tetapi di dalamnya ada al Quran !
Ustaz: tidak mengapa. Al Quran itu tersimpan di dalam memori telefon.
Lelaki : al Quran ustaz! Sepatutnya tidak bolehlah kan!?
Ustaz:Jadi selama ini tuan membaca al fatihah dalam solat dengan tengok mashaf ya?
Lelaki : Isy, saya hafallah al Fatihah. Bahkan saya sudah hafal 30 juzuk.  
Ustaz: Baik, jika begitu jangan lupa sebelum tuan masuk ke tandas, tinggalkan otak tuan di luar dahulu!

Pengajaran
Hari ini ramai orang berani mengulas tentang agama tanpa ilmu.

Sumber : Angguk Geleng



,


CERDIK BAIK
PENGORBANAN
Terlalu banyak pengorbanan pasangan  kita yang tidak terperasan oleh kita. Wahai para suami atau isteri , mari kita kaji pengorbanan pasangan kita untuk kebahagiaan keluarga kita selama ini.

3 SOALAN
Sebelum melakukan sesuatu perkara, Tanya 3 soalan ini kepada diri.
 Adakah niat aku baik?
 Adakah cara yang aku lakukan betul dan Allah reda?
 Adakah hasil tindakan aku ini baik?
Jika jawapan ketiga-tiga soalan itu positif, bertindaklah dengan ikhlas dan lakukan sehabis baik.

KRITIKAN
Ada kritikan yang bertujuan memberi semangat  agar kita terus bangkit dan ada yang bertujuan untuk menjatuhkan. Persamaan kedua-duanya ialah kritikan menjadikan kita lebih maju ke hadapan. Bagi orang hebat, tidak pernah ada kritikan yang mampu mengecilkan hatinya. Sebaliknya menjadi api semangat yang menjadikan dia berusaha untuk menjadi yang lebih baik.




JOM BERZIKIR
 PERINTAH UNTUK BANYAK BERZIKIR DALAM SEMUA SITUASI
‘Wahai orang yang beriman, sebutlah nama Allah dengan sebutan yang banyak’. (Al Ahzab 33:41)

 LARANGAN DARIPADA LUPA DAN LALAI
‘Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu
Dengan merendahkan diri dan perasaan takut dan dengan tidak mengeraskan suara pada waktu pagi dan petang, janganlah kamu termasuk dalam golongan yang lalai’. (Al A’raf 7:205)

 DIKAITKAN KEJAYAAN DENGAN SENTIADA DAN BANYAK BERZIKIR
‘setelah ditunaikan solat, bertebaranlah kamu semua di muka bumi, carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah Allah sebanyak-banyaknya supaya kamu berjaya’. (Al Jumu’ah 62:10)

 PUJIAN TERHADAP AHLI ZKIR DAN JANJI KEAMPUNAN DAN SYURGA KEPADA MEREKA
‘sesungguhnya orang Islam, orang yang beriman, taat, jujur, sabar, khusyuk, bersedekah, berpuasa, dan menjaga kehormatan mereka daripada perbuatan haram dan berzikir kepada Allah dengan banyaknya, Allah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar’. (Al Ahzab 33:35)

 KHABAR TENTANG KERUGIAN ORANG YANG LALAI DARIPADA BERZIKIR
‘Wahai orang yang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh harta benda dan anak pinak kamu daripada mengingati Allah’. (Al Munafiqun 63:9)

 ALLAH ‘BERZIKIR’ KEPADA ORANG YANG BERZIKIR SEBAGAI BALASAN DI ATAS AMALAN ZIKIR MEREKA
‘Oleh itu, ingatlah kamu kepadaKu, supaya Aku membalasmu dengan kebaikan. Bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur’.
 (Al Baqarah 2:152)

 PEMBERITAHUAN BAHAWA ZIKIR ATAU MENGINGATI ALLAH LEBIH BESAR DARIPADA IBADAT-IBADAT YANG LAIN.
‘Bacalah apa yang diwahyukan kepadamu daripada al Quran dan dirikanlah solat. Sungguh solat itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Mengingati Allah itu lebih besar faedah dan kesannya’. (Al ‘Ankabut 29:45)






           


CARA UNTUK BERDAKWAH
 STEP 1: BINA JAMBATAN
Buat baik dengan orang yang kita nak dakwah. Buat baik dengannya. Bagi hadiah, belanja makan dan lain-lain.

 STEP 2 : MENCABUT AKAR ROSAK
Selepas kita dah baik dengannya, barulah dia selesa bercakap dengan kita. Ketika itulah kita menegur dan menasihatinya.

 STEP 3 : MEMBAJA HASIL SEMAIAN
Memberinya ilmu untuk memperbaiki dan menjadi lebih baik.
 Sumber : ikim
         

ADAB DI RUMAH TERBUKA

 Anak-anak perlu menghormati setiap tetamu yang datang dan memberi keutamaan kepada orang yang lebih tua untuk duduk dan mengambil makanan.
 Ketika mengambil makanan, ambillah sedikit dahulu untuk dicuba. Jika sudah habis, bolehla menambah lagi. Jika mengambil terlalu banyak kerana nampak sedap di mata sedangkan perut tidak mampu menghabiskan makanan , kelak makanan akan terbuang dan melakukan pembaziran.
 Pesan kepada anak-anak supaya berhati-hati agar makanan tidak tumpah dan mengotori meja atau lantai.
 Setelah makan, didik anak-anak supaya kumpulkan sisa-sisa makanan dan buangkan di tempat yang disediakan. Walaupun itu merupakan tugas tuan rumah atau pembantu-pembantunya untuk memungut pinggan mangkuk yang kotor, namun ringankanlah kerja mereka.
 Sementara ibubapa berbual-bual dan beramah mesra dengan orang lain, anak-anak boleh bermain di tempat yang disedikan.
 Sebelum beredar, ucapkanlah terima kasih kepada tuan rumah. Semoga adab bertamu terus dijaga dan tidak tercemar. Ingatkan anak-anak bahawa mereka bukan sahaja membawa imej dirinya, tetapi juga imej ibu dan ayahnya. Jika baik akhlak mereka, sudah tentu ibu dan ayahnya akan dihormati.
Sumber : DIDIKLAH DARI HATI





Thursday, 10 March 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 239

MENARIK DI DALAM
·        Doa, Mustajab atau Terhijab
·        Mukmin Profesional
·        Bercakap Baik
·        Jom Musafir Bersama Rasulullah
·         Bukti Suami Mencintai Isteri Kerana Allah
·        Hidup Dengan al Quran

DOA : MUSTAJAB @ TERHIJAB
Salah satu nama Allah yang baik dan indah ialah al Sami’. Allah maha mendengar rintihan, aduan, kebimbangandan luahan rasa daripada hamba-hambaNya pada setiap masa, tempat dan ketika. Antara suara yang paling Allah cintai selain daripada tangisan hamba-hambaNya yang bertaubat ialah doa daripada hambanNya yang meminta. Allah sentiasa mendengar rintihan hamba-hambaNya ibarat ’kekasih’ yang saling mencintai. Jika kekasih dalam kalangan manusia mungkin akan jemu jika masalah yang sama diperdengarkan berulang-ulang kali, sebaliknya Allah tidak sebegitu. Berdoalah, nescaya Aku akan perkenankan. Demikian yang Allah tegaskan dalam al Quran.  Jika ada jutaan manusia mengadu dan merintih dalam doa mereka kepada Allah, Allah tetap mendengar semua rintihan itu. Sedangkan seorang kaunselor; ulama, kadi atau hakim yang terbaik sekalipun tidak akan mampu mendengar dua, tiga masalah pada masa serentak. Itulah kehebatan Allah sebagai Al Sami’. Allah sudi dan mampu mendengar doa daripada hambaNya dalam satu masa. Dia Mulia dan Agung kerana kesudian dan kesediaanNya mendengar rintihan dan doa tanpa jemu, tanpa mengira pangkat, darjat, harta dan rupa. Allah mendengar rintihan seorang raja dan juga mendengar rintihan seorang hamba. Allah Maha Adil. Bayangkan, bagaimana Allah mampu melayan pelbagai doa daripada berbilion-bilion manusia. Daripada doa seorang pengemis yang merayu untuk mendapatkan sesuap nasi sehinggalah doa orang yang soleh yang memohon dipermudahkan urusan pengabdian kepadaNya, namun Allah tetap sudi mendengar. Oleh sebab itu Allah bukan sahaja mendengar tetapi Dia Maha Mendengar. Malas berdoa itu ialah tanda kekerasan hati dan kesan daripada keras hati itu akan menyebabkan kita ditimpa kesusahan di dunia dan azab di akhirat. Sebaliknya dengan berdoa hati akan menjadi lembut.  
Pesan Hati untuk Hati




MUKMIN PROFESIONAL

Umat Islam yang sedang mengalami kemunduran dan kelemahan dari sudut rohani dan material perlukan satu proses ‘rebranding’ dari segi imej dalaman dan luarannya. Usaha penjenamaan semula ini perlu bermula daripada pengupayaan modal insan. Manusia Muslim itulah faktor pemula yang akan mencorakkan imej Islam. Jika Islam digelapkan oleh umat Islam sendiri, maka untuk menyerlahkan kembali cahaya Islam itu,umat Islamlah yang perlu diproses dan dibangunkan terlebih dahulu.

Mukmin profesional ialah mereka yang berkemampuan menyejajarkan fardu ain dan fardu kiyafah , tanggungjawab hamba dan khalifah, kesinambungan ilmu aqli dan naqli, kesucian zikir dan kekuatan fikir dalam kehidupan. Faktor ‘fikir’ inilah yang melayakkan manusia menjadi khalifah di muka bumi. Fikir manusia mesti diiringi oleh zikir. Mukmin professional ialah mereka yang mampu meletakkan ‘fikir’nya. Mereka jugalah yang disebut sebagai ululalbab dalam al Quran. Dengan sifat mukmin, mereka mampu memperbaiki keadaan umat yang dilanda pelbagai gejala sosial, jenayah dan keruntuhan akhlak. Manakala dengan kepakaran, mereka mampu menyelesaikan  masalah umat yang ketinggalan dalam bidang ekonomi, akademik, teknologi dan sains. Ilmu fardu ain menjadikan manusia baik, manakala ilmu fardu kifayah menjadikan manusia cerdik. Dengan kebaikan dan kecerdikan yang dibina oleh kedua-dua ilmu ini manusia akan menjadi hamba Allah dan khalifah yang sempurna (Mukmin professional.) Akan terbangunlah tamadun rohani dan pembangunan fizikal yang memartabatkan semula umat Islam sebagai umat terbaik.

 




BERCAKAP BAIK DENGAN…
IBUBAPA
‘Dan janganlah kamu membentak mereka dan berbicaralah dengan mereka dengan kata-kata yang mulia’. (Al Isra’ 17:23)

ORANG YANG MEMINTA
‘Dan terhadap orang yang meminta-minta, janganlah kamu mengherdiknya’. (Al Duha 93:10)

ORANG JAHIL
‘Dan apabila orang jahil menyapa mereka , mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan’. (Al Furqan 25:63)



JOM MUSAFIR BERSAMA RASULULLAH
A.    SEBELUM MEMULAKAN PERJALANAN PERGI
¤ BINCANG DENGAN MANUSIA, ISTIKHARAH DENGAN ALLAH
Minta nasihat dan tip perjalanan daripada orang lain. Beristikharahlah seperti yang diajarkan oleh Rasulullah saw.

¤ PULANGKAN HAK ORANG LAIN DAHULU.
Antaranya barangan atau wang yang dipinjamkan. Jangan lupa juga barangan orang yang diamanahkan untuk kita jaga. Kita tidak tahu, barangkali itu perjalanan terakhir kita di dunia.

¤ CARI PENEMAN atau BERKONVOI.
Nadi bersabda ‘Kalaulah manusia tahu apa yang aku tahu tentang seseorang apabila berseorangan, pasti tiada siapa pun yang akan menunggang pada waktu malam seorang diri’. (Riwayat al Bukhari)

¤ MERANCANG, MELAKUKAN PERSIAPAN, SEDIAKAN BEKALAN.
Periksa kenderaan. Air simpanan jangan dilupakan. Rancang masa memulakan perjalanan.

¤ BERTEMU SEBELUM PERGI, PINTA NASIHAT.
Bertemu ibu, ayah adik beradik, anak isteri. Jiran tetangga juga jangan dilupakan. Maklumkan pemergian kita, bermesra dengan mereka dan saling berpesan. Jangan lupa juga memohon nasihat terutama daripada orang soleh yang kita hormati.

¤ BERDOA DAN MEMOHON DOA.
Orang yang hendak bermusafir mendoakan keselamatan orang yang hendak ditinggalkan. Orang yang ditinggalkan pula jangan lupa berpesan agar didoakan sepanjang perjalanan.

B. DALAM PERJALANAN
¤ JIKA BERKUMPULAN, SESEORANG PERLU MENJADI KETUA.
Rasulullah saw berpesan ‘Apabila tiga orang keluar bermusafir, maka salah seorang mestilah menjadi ketua’. (Riwayat Abu Dawud)

¤ MAKAN MINUM YANG HALAL.
Musafir masa mustajab doa. sayang kalau terhalang disebabkan makan haram. 

¤ AMALKAN AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR
Tegur dan berikan nasihat jika ada kemungkaran di dalam perjalanan

¤ MENGAMALKAN DOA SEPANJANG PERJALANAN.
Ummu Salamah berkata ‘tidak pernah sekalipun Rasulullah keluar dari rumahku melainkan baginda akan memandang ke langit lalu berdoa’.

¤ MEMBANTU ORANG YANG MEMERLUKAN
Bantulah mereka yang memerlukan.  

C.JIKA HENDAK PULANG
¤ TIDAK BERTANGGUH
Jika urusan selesai, usah berlengah-lengah untuk pulang. Namun bukan pulang dengan terburu-buru. mungkin mereka yang ditinggalkan menanti-nanti kepulangan kita.

¤ MAKLUMKAN KETIBAAN, ELAKKAN PULANG LEWAT MALAM.
Anak-anak maklumkan kepada ibubapa dahulu rancangan untuk pulang. Begitu juga suami atau isteri atau sesiapa sahaja. Apa lagi, jika ke rumah orang lain. Jangan bertandang secara mengejut.

¤ BELI HADIAH.
Tidak semestinya hadiah yang mahal-mahal,cukup sebagai tanda kita ingat kepada mereka. Jangan lupa juga bingkisan untuk jiran tetangga.

¤ ZIKIR PULANG KE RUMAH.
Anas pernah bermusafir bersama Nabi. Tatkala kota Madinah kelihatan, baginda mengucapkan doa.

¤ SOLAT DI MASJID YANG BERDEKATAN.
Kaab bin Malik berkata ‘ketika pulang daripada perjalanan, baginda Rasulullah SAW akan singgah di masjid dahulu untuk solat doa rakaat’. (Riwayat al Bukhari)
Sumber : ISU



BUKTI SUAMI MENCINTAI ISTERI KERANA ALLAH
 Isteri selamat daripada kejahatan dan perlakuan buruk suami
 Sangat mencintai Allah
 Taat kepada Allah
 Mengajak Isteri dan Anak-anak mencintaai Allah dan berbuat taat.
 Jauh dan terpelihara daripada kelalaian dan dosa
 Tidak mengharapkan balasan kecuali daripada Allah




           


HIDUP DENGAN AL QURAN
‘Orang sebelum kamu melihat al Quran bak surat-surat utusan daripada Tuhan mereka. Mereka mengkajinya pada waktu malam dan mencari-cari masa dan ketika untuk mengamalkan pada waktu siang’
Al Hasan Bin Ali



Tuesday, 8 March 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 236

MENARIK DI DALAM
·        Dekat
·        Sehingga Mereka Berdua Berdamai
·        Modal
·        Selagi Ada Iman
·        Turun!
·        Memandu Dari Hati
·        Melaksanakan Amar Makruf


DEKAT
Rahmat Allah sangat dekat bagi orang yang mencarinya. hidayah Allah dekat untuk pencari hidayah. Tinggal kita yang mendekatkan diri dengan Allah atau menjauhkan diri daripadaNya? Bagaimana untuk dekat dengan Allah? Jawapannya adalah dengan mendekatkan diri dan mendampingi orang alim. Usaha ini antara inisiatif yang akan menjauhkan kita daripada kegelapan kebodohan. Ilmu-ilmu yang baik hasil mendampingi orang yang berilmu makin mendekatkan kita dengan Allah. Kasihan sekali jika kita dekat tetapi hubungan hati sangat jauh kerana masalah peribadi. Bagaimana akrab umat kembali bersatu jika rasa dekat itu tiada? Sedang hakikatnya kita umat yang saling bersaudara dan mesti saling mendekati antara satu sama lain. Barulah kesatuan kembali tercapai.
Sumber : viceversa




SEHINGGA MEREKA BERDUA BERDAMAI  
‘amalan-amalan akan dibentangkan pada setiap Isnin dan Khamis. Maka pada hari tersebut Allah mengampunkan dosa untuk semua hamba asalkan yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatupun, kecuali dua orang yang bergaduh. Allah mengarahkan malaikat ’biarkan kedua-dua hingga mereka berbaik-baik semula’. (Riwayat Muslim)

#Bergaduh dalam bahasa arab merangkumi sikap dengki, marah dan memusuhi seseorang. 



MODAL
            Ada dua modal yang sangat berharga dalam kehidupan kita. Pertama, umur. Kedua, kesihatan. dua modal ini sangat penting untuk mendapat keredaan Allah di dunia, agar kita dirahmatiNya dan dimasukkan ke dalam syurga kelak.  




SELAGI ADA IMAN
            ‘ahli syurga masuk ke dalam syurga, dan ahli neraka masuk ke neraka. Kemudian Allah berfirman (Kepada Ahli Neraka) ’keluarkan siapa yang dalam hatinya terdapat keimanan sebesar biji sawi’’.
(Riwayat al Bukhari )




TURUN!
Di Eropah. Sorang pemandu kereta menumpangkan seorang pejalan kaki.
Pemandu : Awak berasal dr mana?
Pengembara : Malaysia.
Pemandu : Oh, saya teringin hendak ke sana. Saya pula dari Afrika Selatan. Awak buat apa di sini?
Pengembara : saya sambung belajar.
Pemandu : oh, seronoknya. Saya pula bekerja di sini. Awak peminat kelab bola mana?
Pengembara : Liverpool.
Pemandu : Oh, pasukan yang baik, tetapi saya lebih suka Chelsea. Awak Muslim?
Pengembara : Ya. Nama saya Muhammad.
Pemandu : oh saya juga muslim, saya Abdul Wahab.
Pengembara : Saya Muhammad, awak Abdul Wahab. Jadinya Muhammad bin Abdul Wahab. Beliau seorang reformis Islam. Saya suka beliau. Bahkan kajian saya….

Tiba-tiba kereta diberhentikan tidak semena-mena. ‘awak. Turun!’
‘kenapa?’ ‘Turun!’

Catatan : Muhammad bin Abdul Wahab, tokoh Muslim yang dinisbahkan kepada gerakan Wahabi.

Pengajaran
Ada dalam kalangan umat Islam yang sanggup berseteru disebabkan perbezaan kecenderungan dalam agama dan dalam masa yang sama mereka boleh sahaja terbuka meraikan perbezaan dalam aspek keduniaan lain.
Sumber : Angguk Geleng



,


MEMANDU DARI HATI
          Litar jalan raya sama seperti litar kehidupan. Diri kita yang sebenar, diri yang berada di atas jalan raya. Memandu dengan hati bermakna memandu dengan iman. Apabila ada iman, akan menyelamatkan. Untuk memandu dengan hati, kita perlu menambah iman. 

         


MELAKSANAKAN AMAR MAKRUF
Berdakwah Dan Memberi Kesedaran
Umat perlu disedarkan tentang tujuan hidupnya dengan seruan yang ikhlas dan istiqamah. Dakwah ialah usaha mengubah hati agar kebaikan dilaksanakan dan kemungkaran ditinggalkan dengan rela tanpa paksaan. Manusia perlu dikenalkan kepada Allah dan hari akhirat agar mereka merasai setiap perkara yang dilakukan di dunia ini pasti dilihat oleh Allah dan akan diberi balasan pada hari akhirat nanti. Inilah seruan kepada iman dan Islam yang menjadi sumbu untuk menyalakan cahaya Islam dalam diri, keluarga, masyarakat , negara dan dunia.

Mendidik dan Membimbing
Kepada yang belum datang dan sedar, kita cari dan hampiri mereka untuk berdakwah. Namun setelah umat sedar dan mula inginkan perubahan, mereka pula yang akan datang untuk ditarbiah. Majlis pengajian yang rasmi dan tidak rasmi perlu diadakan secara berterusan agar umat Islam terdidik secara berterusan agar umat islam terdidik oleh ulama dan murabbi. Dalam majlis pengajian ini, umat Islam dididik dan dilatih untuk menegakkan sistem hidup berlandaskan syariat. Tidak cukup dengan ilmu , umat Islam perlu dibimbing sama ada dalam ibadah khusus dan umum, secara bersistematik. Majlis pengajian perlu dilanjutkan dengan pembentukan usrah, majlis zikir, tamrin (bengkel latihan), kem ibadah, dan program-program lain yang lebih khusus dan eksklusif  mendidik umat secara lebih dekat.

Menutup Pintu-Pintu Kejahatan
Apabila arus kesedaran dan penghayatan Islam semakin meningkat. Langkah amar makruf yang seterusnya adalah menutup pintu-pintu ke arah kemaksiatan dan kemungkaran. Usaha ini perlu digiatkan secara optimum, agar para wanita menutup aurat dengan sempurna, masyarakat menjauhi pergaulan bebas dan hiburan yang melampaui batas sehingga boleh membawa kepada penzinaan dihentikan. Antara perkara yang membuka ruang berlakunya kemungkaran yang besar perlu ditutup rapat-rapat ialah riba dalalm institusi kewangan, satu gejala sosial seperti arak, dadah, kegiatan pelacuran, hiburan yang melalaikan dan sebagainya.
Umat Islam yang telah sedar dan terdidik akan mula menyempitkan ruang dan peluang untuk melakukan semua kemungkaran tersebut dengan kemahuan sendiri walaupun belum ada undang-undang yang memaksa mereka berbuat demikian. Usaha dakwah dan tarbiah yang dilaksanakan sebelumnya akan mendidik umat berubah dari dalam ke luar kerana takut dan cinta kepada Allah dan yakin adanya pembalasan pada hari akhirat nanti. Namun, ini tidak bermakna perlu meminggirkan usaha menutup dan menyekat kesemua kemungkaran itu dengan kuasa yang ada pada pemerintah.

Mewujudkan Jalan Alternatif Keluar Daripada Kemungkaran
Sistem hidup Islam yang merangkumi bidang pendidikan, ekonomi, sosial, hiburan dan lain-lain perlu ditegakkan secara aktif dan progresif. Slogan ’Islam is the way of life’ mesti menjelma dalam realiti sebenar agar masyarakat Islam dan bukan Islam boleh bernaung dan mengambil manfaat daripadanya. Setelah sekian lama usaha amar makruf membina ’orang’, usaha perlu ditingkatkan untuk membina ’sistem’ pula. Sistem ekonomi, zakat dan kewangan Islam yang mantap akan memberi peluang pekerjaan dan membela fakir miskin agar mereka tidak terjebak dengan jenayah rompak dan curi. Sistem perbankan Islam pula akan menyelamatkan orang kaya dan berada daripada cengkaman riba. Anak-anak dididik dengan sistem pendidikan Islam bermula di peringkat prasekolah sehingga ke universiti hinggakan sistem pendidikan sekular boleh dipinggirkan dengan mudah. sistem munakahat yang praktikal dan realistik pula akan memudahkan para remaja bernikah dengan baik, para janda dan ibu tunggal diberi pembelaan yang sewajarnya sehingga terselamat daripada jenayah zina. Begitu juga dengan bidang media massa, iburan, sukan dan lain-lain, semuanya akan memberi jalan keluar kepada umat Islam daripada perangkap sistem hidup yang tidak islamik. Dengan ini, orang yang melakukan kemungkinan nanti hanya orang yang benar-benar jahat, betul-betul tidak menginginkan kebaikan (walaupun jalan kebaikan sudah terbentang luas) dan sangat derhaka kepada Allah. Maka, layaklah dengan kedegilan yang terlampau itu pelaku kemungkaran dihukum dengan keras secara disebat dengan rotan, direjam, dan dipotong tangan. Prinsip Islam jelas, mendidik dahulu, kemudian menghukum!
Sumber : Pesan Hati Untuk Hati