Google Ads

Saturday, 23 January 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 223

MENARIK DI DALAM
·        Tudung Dedah
·        Mutiara Salaf
·        Sunnah Menguap dan Bersin
·        Tahan Pandangan Daripada…
·        Sengaja
·        Kawal mata Hati Terjaga
·        Longgar
·        Allah Suka Bersih, Allah Benci Menguap
·        Diam

TUDUNG DEDAH
Lihatlah, keadaan sekarang sungguh berbeza, apa yang sering terjadi ialah sudah bertudung, tetapi belum menutup aurat (maaf, dengan T-shirt sendat, jean ketat dan tudung yang pendek, nipis dan jarang). Bagaimana iingin berdakwah jika penampilannya begitu, sebaliknya wanita yang bertudung itulah yang perlu di dakwah. Ada kalanya perilaku mereka lebih buruk daripada wanita yang tidak bertudung. Hati kita tertanya-tanya, jika begitu mengapa mereka bertudung?. Apa niat kita bertudung?. Atau lebih tepat lagi, mengapa kita menutup aurat? Bertudung kerana hendak kelihatan cantik, kelihatan baik, menutup ‘kekurangan’ wajah dan ‘kerana-kerana lain’ yang bukan kerana Allah (kewajipan menutup aurat) sesungguhnya akan mendedahkan si pemakainya kepada perlakuan-perlakuan negatif. Jadi, menutup mestilah atas dasar tauhid dan keimanan kepada Allah dan kerana yakin adanya hari akhirat, syurga serta neraka. Jika niatnya ’kerana-kerana lain’, maka itulah yang akan menjerumuskan wanita yang bertudung ke arah kemungkaran. Fenomena ’kerana-kerana lain’ ini bukan sahaja menimpa syariat menutup aurat, tetapi keadaan yang sama boleh berlaku kepada hokum-hukum Allah yang lainnya. Solat misalnya, jika dilaksanakan bukan kerana Allah (kerana riyak, ujud, dan lain-lain lagi) akan menyebabkan seseorang yang solat itu jauh dari Allah swt. Malah keadaan inilah yang berlaku kepada mereka yang bertudung (sekalipun menutup aurat) tetapi bukan diniatkan atas perintah Allah. Pemakainya bukan bertambah dekat, tetapi semakin jauh daripada Allah.

Sumber : Pesan Hati Untuk Hati


MUTIARA SALAF
Jika kata-kata ibarat perak, maka diam adalah emas.
(Riwayat al Bukhari)



SUNNAH MENGUAP

 SUNNAH MENGUAP 1 :TUTUP MULUT

‘jikalau ada antara kamu Menguap, maka tahanlah tangannya pada mulutnya kerana syaitan akan masuk ke dalamnya  (Jikalau mulut tidak ditutup)’

(Riwayat Muslim)

 

  SUNNAH MENGUAP 2 :TIDAK BUNYI SUARA

‘apabila ada diantara kamu menguap, tahanlah dengan sedaya upaya mungkin kerana apabila seseorang menguap sambil berbunyi ‘hah’, maka syaitan akan mentertawakannya’.

(Riwayat al Bukhari)

 

 

 

SUNNAH BERSIN

 SUNNAH BERSIN 1 :UCAPLAH ALHAMDULILLAH

‘apabila ada di antara kamu yang bersin, maka ucapkanlah alhamdulillah’

(Riwayat al Bukhari).

Ya, kita bersyukur kerana bersin membersihkan hidung kita daripada bakteria dan virus.  Bersin sememangnya proses imun semulajadi badan yang menjamin kesihatan. Ya, kita juga bersyukur kerana dapat melakukan apa yang disukai oleh Allah, iaitu bersin.

 

  SUNNAH BERSIN 2 :TUTUP MULUT DAN PERLAHANKAN SUARA

‘apabila Rasulullah bersin, baginda meletakkan tangannya atau kain bajunya ke mulutnya sambil memperlahankan suaranya’.

(Riwayat Abu Dawud)

 

  SUNNAH BERSIN 3:DOAKANLAH SAUDARA KITA

‘apabila ada diantara kamu yang bersin, lalu dia mengucapkan alhamdulillah, maka doakanlah untuknya Yarhamukallah (semoga Allah merahmatimu). Tetapi jikalau dia tidak menyebut alhamdulillah, usahlah kamu mendoakannya’.

(Riwayat Muslim)

Sumber : solusi

 


TAHAN PANDANGAN DARIPADA...
# Melihat Aurat Orang Lain—’janganlah seseorang lelaki melihat aurat lelaki dan perempuan melihat aurat peremuan’. (Riwayat Muslim)
# Melihat Perkara Syahwat—ada juga keadaan, sesuatu yang bukan aurat tetapi kita tahu perkara itu boleh menggetarkan syahwat, maka perkara itu juga haram dilihat. Contohnya gambar seorang wanita berhijab penuh yang menjadi penghias muka depan majalah.
# Melihat Dalaman Rumah Orang Lain
Jangan melihat dalaman rumah orang lain . Abdullah bin Bisyr berkata ‘Rasulullah apabila datang ke rumah seseorang baginda tidak menghadap depan-depan dengan pintu, sebaliknya duduk di sebelah kanan atau kiri pintu’. (Riwayat Abu Dawud).
# Melihat Milikan Orang
Mari kita sempurnakan akhlak menjaga pandangan dengan tidak beria-ia melihat harta benda milik orang lain.



SENGAJA 
Haji Hamid bilal sukarela di surau kampungnya sejak 20 tahun yang lalu. Umurnya hampir mencecah 70an namun gagah melaungkan azan. Sebenarnya tiada pengganti yang sudi menggantikan bilal. malah, beberapa tahun kebelakangan ini, jemaah surau semakin surut. Bukan sekali dua sahaja dia dan Imam sahaja yang bersolat jemaah. Pada suatu hari Haji Hamid melaungkan azan asar awal. Seawal jam 3.30ptg sedangkan masuk waktu asar adalah 4.30 ptg. Tidak disangka-sangka ramai orang kampung berbondong-bondong datang ke surau. Yang datang ke surau setahun sekali pada hari raya pun turut hadir. ‘Pak Hamid, kenapa azan awal? Waktu asar belum masuk lagi!’. Agak sinis nada seseorang bersuara. ‘Pak Hamid mengigau ke di siang hari?’ kata yang lain. ‘Itulah kamu’. Jawab pak Hamid tenang. ‘kalau aku azan tepat waktunya tiadapun nak bawa diri ke surau. Tapi bila aku azan di luar waktu, ramai pula yang datang!’ hadirin terdiam. Masing-masing sedar bahwa ini adalah tazkirah percuma yang mereka dapat. ‘Baliklah. Ingat, sejam lagi masuk waktu. Jangan lupa datang semula’. Haji Hamid menambah. Hadirinpun bersurai. ‘haji, bagus juga cara kamu ini!’ Kata Haji Ali, Imam sukarela di surau itu memuji teman setianya. ‘sebenarnya, memang aku tersalah tengok jam!’. 

Pengajaran
Ramai orang beralasan untuk tidak solat berjemaah di masjid kerana kesibukan walhal tidak sibuk manapun.
Sumber : Angguk Geleng






KAWAL MATA HATI TERJAGA
Pandangan akan menentukan perasaan dan keadaan hati. Daripada mata jatuh ke hati. Daripada hati lahirnya lisan dan tindakan. ‘kesihatan’ mata perlu sentiasa dijaga agar tidak dirosakkan oleh virus-virus  dosa.  Mata dan hati saling berkaitan. Hati ialah raja dalam kerajaan diri. Manakala mata umpama utusan yang bertugas sebagai ‘penyampai maklumat’ yang sangat dipercayai oleh raja. Jika maklumat yang disampaikan baik, maka baiklah hati. Apabila hati baik, seluruh anggota dan pancaindera akan menjadi baik. Begitulah sebaliknya. 



LONGGAR
Skru yang longgar mudah tertanggal. Akal yang terlalu ‘longgar’ mudah terpedaya. Pakaian yang longgar selesa di badan. Wajah yang longgar dengan senyuman sentiasa membahagiakan. Longgar bukan sebarang longgar. Dalam kelonggaran ada pembatas. Allah beri kelonggaran pada masa-masa yang tertentu, kepada golongan-golongan tertentu demi kebaikan. Kelonggaran yang membuktikan Islam bukan agama yang sempit dan hanya sendat dengan peraturan. Semuanya demi kebaikan insan. Jangan memperlonggarkan kelonggaran yang diberikan Allah. Kelak hanya membawa keburukan, menjerumus diri ke jurang kebinasaan. Setiap kelonggaran bukan bererti sesuka hati boleh melanggarnya, harus mengikut dasar-dasar yang sudah digariskan. Natijahnya kebaikan pada penghujung kehidupan lantaran mematuhi peraturan tuhan.
Sumber : viceversa



ALLAH SUKA BERSIN, ALLAH BENCI MENGUAP
Bersin dan menguap. Siapa yang tidak pernah tetapi pernahkah kita kisah tentangnya? Ada orang menganggap bersin dan menguap itu sama sahaja.kedua-dua reaksi badan yang semulajadi.jadi semua orang bebas melakukannya dengan aksi-aksi yang tersendiri. Maka bermacam-macamlah ragam manusia ketika bersin dan menguap. Bagaimanpun seorang muslim sebenar akan memastikan bersin atau menguapnya patuh syariat. Kedua-duanya bukan sekadar reaksi badan . Ada pahala dan dosa. Lagipun sama sekali tidak sama taraf antara bersin dan menguap.  

‘Sesungguhnya Allah menyukai bersin dan benci akan menguap’.
(Riwayat al Bukhari)

Apabila Allah menyatakan bahawa Dia suka dan benci seuatu, maka hal ini bukan lagi biasa-biasa. kita pun cukup prihatin dengan apa yang disukai atau tidak disukai  oleh kedua ibu bapa atau majikan. Untuk apa? Untuk memenangi hatinya dan mengelakkan masalah. Itu sesama hamba. Maka sepatutnya untuk Allah kita lebih prihatin.


MUTIARA SALAF
Diam adalah suatu kebijaksanaan, tetapi sedikit orang sahaja yang melakukannya.
(Luqman al Hakim)



Thursday, 21 January 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 222

MENARIK DI DALAM
·        Benih Zina
·        8 Tip Mudah Demi Aurat Sempurna
·        Hanya Seringgit
·        Mengapa Menguap  Dibenci Allah ?
·        Ketat
·        Hitam putih
·        Wuduk atau Anjing?


BENIH ZINA
Masih ada wanita yang belum menutup aurat. Mengapa dia terus mendedahkan aurat? Belum tiba masanya lagikah untuk mereka merasakan kasih sayang Allah dengan perintah menutup aurat? Jika ada yang masih belum tahu, kita ketengahkan nas dan dalil kewajipannya. Bagi mereka yang belum mampu, maka kita ketengahkan dorongan, peringatan dan panduan untuk mereka mendidik diri agar dapat melawan kedegilan nafsu bagi mematuhi perintah Allah. Manakala bagi mereka yang belum mahu (walaupun telah tahu) sekaligus membantah secara terang-terangan atau diam-diam, kita doakan hidayah Allah akan dikurniakan buat mereka dan tidak terus menyanggah. Sesiapa yang menyemai angin, dia akan menuai badai. Begitulah keadaan masyarakat hari ini. Benih-benih zina telah disemai sama ada secara sedar atau tidak, dan akibatnya berlakulah zina sehingga ke tahap yang membimbangkan. Apakah benih-benih yang membuahkan zina ini? Benih-benih tersebut semestinya perbuatan yang menghampiri zina. Salah satu benih zina yang sedang berleluasa ditengah-tengah masyarakat sekarang ialah pendedahan aurat.! Bagaimana tidak, dek mata tergoda, akan membuahkan salam. Kemudian berbalas senyuman, berjanji dan seterusnya bertemu. Pendedahan aurat sangat berleluasa sekarang dan mungkin kenyataan ini kurang dipersetujui oleh sesetengah pihak memandangkan bilangan wanita yang memakai tudung semakin ramai. Namun perlu diingat, wanita bertudung tidak lagi boleh disamakan dengan wanita yang menutup aurat. Maksudnya, bertudung tidak semestinya menutup aurat. Ramai wanita yang bertudung tetapi tidak menutup aurat. Alhasil, ramai wanita yang bertudung tidak selamat. Janji Allah untuk menyelamatkan wanita yang memelihara aurat dengan baik agar tidak diganggu oleh lelaki yang jahat (dalam hatinya ada penyakit), hanya untuk wanita yang benar-benar menutup dan menjaga auratnya.
Sumber : Pesan Hati Untuk Hati


8 TIP MUDAH DEMI AURAT SEMPURNA

 Berazam

Niatkan dalam hati ‘Ya Allah, aku hambaMu yang lemah. Aku ingin menuruti segala perintahMu. Bantulah aku dalam proses untuk menuruti, taat dan patuh kepada perintahMu’

 

 Baiki Tudung

Lihat tudung yang dipakai. Pastikan tudung tidak jarang atau singkat sehingga menampakkan leher dan dada. Sekiranya tudung nampak bayangan leher, pakai inner di dalam. Lebih praktikal dan selamat, bertudung yang tidak jarang.

 

 Pakai Stoking

Kaki sebahagian aurat wanita. Jadi pakai stoking ketika berada di luar rumah. Jika tidak mahu berstoking, pakai kasut bertutup. Paling penting menutup kaki.

 

 Pakai Handsock

Kita biasa menyebutnya sebagai handsock/sarung lengan. Untuk lebih menyempurnakan penutupan aurat, kita tutup pergelangan tangan. Pergelangan tangan sebahagian aurat wanita.

 

 Hadir Ke Majlis Ilmu

Mencintai ilmu termasuk usaha mengubah diri menjadi lebih baik. Hadiri majlis ilmu yang dianjurkan di kawasan berhampiran. Hasilnya, jika lama tidak menghadiri majlis ilmu, kita kan rindu . Terasa kosong.

 

 Sertai Program

Hadiri program-program yang memberi manfaat. Sertai program-program yang mendekatkan diri kepada Allah. Lama-lama kita akan rasa sayang sangat kalau terlepas menyertainya. Mula-mula, kita sertai program, lama-lama program yang akan membentuk kita.

 

 Istighfar

Banyakkan memohon keampunan daripada Allah. Tidak mengapa andai merasakan diri baik atau tidak baik. Yang penting, tindakan selepasnya. Jangan sampai kebaikan yang dirasai membuatkan kita rasa kebaikan yang kita lakukan sudah cukup. 

 

 Perbaharui Niat

Perbetulkan niat dalam hati. Hanya niat yang benar dan betul akan melahirkan tindakan yang benar dan betul. Terasa sukar? Ikhlaskan diri dan bersyukur dengan nikmat. Dengan harapan hijab hati turut terhijab.

Sumber : GEn Q




HANYA SERINGGIT
Dikisahkan seorang wanita mengadu masalahnya dengan ustaz. ‘seorang abang saya meninggal dunia dan meninggalkan harta sebanyak RM600. tetapi semasa pembahagian harta hanya saya seorang yang dapat RM1 sedangkan adik beradik saya dapat lebih. Saya dizalimi ustaz, minta ustaz bantu.’ ustaz termenung seketika. Kemudian bertanya ‘mungkinkah abang puan meninggalkan seorang isteri dan 2 orang anak perempuan? dalam masa yang sama puan masih lagi ada emak dan 12 orang adik-beradik lelaki. kesemuanya lelaki!’ wanita itu termenung. ‘betullah ustaz, macammana ustaz tahu? ‘ ‘kalau begitu memang hak puan dapat RM1 sahaja.’ kata ustaz. ‘ini kerana isteri arwah mendapat 1/8 bahagian. Maka dia akan dapat RM75. dua orang anaknya pula mendapat 2/3 bahagian, maka mereka akan berkongsi RM400. ‘Manakala emak puan mendapat 1/6,  iaitu RM 100. jadi, selepas ditolak kesemuanya, tinggal lagi RM25 untuk berkongsi dengan sesama adik-beradik.  Syariat menetapkan bahawa seorang lelaki bersamaan dengan 2 orang perempuan. Jika begitu 12 orang adik beradik puan mendapat RM2 masing-masing. keseluruhannya adalah RM24. jadi, seringgit yang berbaki itulah sahaja hak puan’.
 
Pengajaran
Sangat menarik mendalami ilmu faraid. Sistem pembahagian harta pusaka dalam Islam sangat Komprehensif. Mempelajarinya sekurang-kurangnya mengasah potensi dan kemampuan otak kiri. Siapa kata Muslim tidak minat matematik?
Sumber : Angguk Geleng






KENAPA MENGUAP DIBENCI ALLAH?
‘menguap adalah daripada syaitan’.
(Riwayat al Bukhari)
Menguap hanya terjadi apabila kita kekenyangan, malas, bosan, dan sebagainya. Syaitan suka sikap-sikap ini. Sedangkan Allah ingin hambanya sentiasa ringan badan beribadah sama ada umum (seperti bekerja) atau khusus (solat).
Sumber : Ezy-dakwah


KETAT
Skru yang ketat payah untuk tercabut. Akal yang terlalu ‘ketat’ dengan dogma dan pemikiran payah untuk berubah. Pakaian yang ketat tidak cantik. Muka yang ketat?. Dalam Islam ada hal-hal yang diperketat demi menjaga kebajikan Muslim. Setiap perintah yang seakan keras dan tiada tolak ansur terkandung hikmah dan kebaikan yang banyak. Semuanya kerana menjaga fitrah manusia. Hanya manusia sahaja yang rasa terkongkong dengan peraturan yang diatur. Sedangkan semuanya membawa kebaikan. Pengetat segala amalan adalah al Quran dan sunnah. Hari-hari seorang muslim itu ketaatan dengan aktiviti ibadah, walau aktiviti apapun yang dilakukannya. Ikut peraturan yang dirasakan ketat sehingga sebati dalam diri. Hasilnya, kebahagiaan hidup sebagai mukmin dikecapi. Yang asalnya terasa berat, jadi longgar dan boleh melakukannya dengan senang hati. 
Sumber : viceversa

HITAMPUTIH

 Manusia yang kurang disiplin , ada KUDIS di hatinya.
 Manusia yang kurang rapi, ada KURAP di akalnya.
 Manusia yang kurang iman, ada KUMAN dibenaknya.
 Maka jadilah manusia yang tawaduk, TANPA WAS-WAS tunduk taat perintah Allah.



WUDUK @ ANJING?

situasi

Seseorang mempunyai air yang hanya cukup untuk bersuci. Kemudian datang seekor anjing yang kehausan. Apa yang patut kita lakukan? Simpan air untuk berwuduk atau memberi minum anjing tersebut?

 

Jawapan

Menurut majoriti ulama fiqah,jika seseorang itu memiliki air yang sedikit untuk berwuduk, dalam pada yang sama ada manusia atau haiwan termasuk anjing yang memerlukan air, wajib dia memberi minum orang atau anjing tersebut. Untuk bersuci, bolehlah dia menggantikannya dengan bertayamum. 

 

Sumber : fiqahfauna






Tuesday, 19 January 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 221

MENARIK DI DALAM
·        Tutup Aurat Supaya Selamat
·        Cerdik Baik
·        Sejak Malam Itu
·        Waktu mustajab doa


TUTUP AURAT SUPAYA SELAMAT   
Tudung hanyalah kain yang menutup diri, tetapi rasa malu itulah penghalang hati daripada melakukan sesuatu yang dimurkai Ilahi. Apabila Allah swt mengharamkan wanita mendedahkan kecantikan zahirnya, bukan kerana Allah SWT hendak menyekat kebebasan wanita, tetapi kerana Allah menyayangi wanita. hukum Allah yang wajib kita taati boleh diumpamakan seperti peraturan jalan raya. Adanya lampu merah, hijau, kuning, papan tanda dan sebagainya. Dengan mematuhi peraturan jalan raya, tidak akan berlaku kemalangan sekali gus selamatlah perjalanan. Begitulah dengan mematuhi hukum menutup aurat, akan membawa keselamatan dalam kehidupan. Tidak ada wanita yang akan teraniaya dan menderita kerana hukum menutup aurat. Sebaliknya dengan mendedahkan aurat, mereka telah menzalimi diri mereka dan merosakkan orang lain. Begitulah rahsia Allah swt yang Maha Penyayang apabila Dia menyuruh atau melarang sesuatu, manfaatnya pasti ada walaupun kadangkala tidak dapat dijangkau oleh fikiran manusia. Percayalah, Allah lebih kasih akan hambaNya melebihi kasih sayang seorang ibu kepada anaknya. Apabila seorang ibu sayangkan anaknya, dia akan mengawal anak-anaknya daripada melakukan sesuatu yang boleh membahayakan. Walaupun sesuatu yang membahayakan itu sangat disukai oleh si anak. Begitu juga dengan larangan mendedahkan aurat, pasti ada kebaikannya. Justeru, jika kita mengaku kita beriman, akurlah kepada setiap perintah Allah swt itu. Dia inginkan keselamatan dan kebahagiaan buat hamba-hambaNya. Namun begitu, mengapa ada wanita terus mendedahkan aurat? Belum tiba masa lagikah untuk mereka merasakan kasih sayng Allah swt dengan perintah menutup aurat?
Sumber : Pesan hati Untuk Hati


CERDIK BAIK 

 BAHAGIA DENGAN MEMBERI

Percaya, hidup lebih bahagia dengan memberi. Kamu berikan senyuman kepada orang lain, kamu yang lebih bahagia. Kamu berikan sesuatu kepada orang lain, bahagia itu spontan akan lahir dalam diri. Pemberian RM1 kepada orang yang sangat memerlukan sangat berharga. RM1 menghadirkan senyuman kepada orang lain sangat bermakna. Bukan harus terlalu melihat besar kecil jumlah pemberian. Penting sekali situasi hati ketika memberi. Ikhlas atau sekadar berlepas diri? keikhlasan yang tidak nampak itu boleh dirasakan oleh hati.

 

 MUDAHKAN, JANGAN SUSAHKAN

Usah terlalu membesarkan hal-hal remeh sampai menyusahkan. Nanti diri yang akan terasa payah. Letakkan sesuatu pada tempatnya, barulah apa yang dilakukan tidak menyusahkan.

 

 KONGSIKAN BUKAN PENDAM

Kongsikan pergelutan yang berlaku dalam diri kepada orang yang dekat denganmu. Terlalu memendam boleh menyakitkan diri sendiri. Paling dekat itu Tuhan. Allah Maha Mendengar setiap aduan dan pengharapan.

 

 UJIAN

Ramai orang yang berubah apabila terhantuk dengan parah. Apabila Allah menguji dengan ujian yang kecil, kita tidak hiraukan dan enggan berubah.kemudian Allah akan timpakan dengan ujian yang lebih berat. Justeru, mari kita sentiasa hisab diri dan segera berubah sebelum Allah turunkan musibah yang berat. 

 

 KEBAIKAN

Jika Allah ingin memberi sesuatu kebaikan kepada kita, maka Dia timpakan musibah kepada kita. Jika kita insaf dan perbaiki diri pasti kebaikan demi kebaikan kita terma selepas ini. Bersyukurlah dengan ujian sebab itu tanda kasih Allah untuk kita. Allah tidak pernah membiarkan hambaNya bersendirian melainkan ada kebaikan untuk semuanya.

 

 KESABARAN

Ingatkan diri untuk sentiasa bersabar dengan setiap ujian. Kekuatan tidak akan terlihat selagi belum menghadapi realiti. Mungkin kita merasakan tidak mampu menghadapi, hakikatnya dengan kekuatan yang Allah pinjamkan dan senjata doa yang menjadi perisai diri, semuanya akan dipermudahkan.  

Sumber : DFMK




SEJAK MALAM ITU
Seperti biasa, Khalifah Umar keluar meronda. Kali ini dengan Abdullah bin Mas’ud. Masa sudah larut malam. Di kejauhan mereka melihat api, lalu mereka segera menuju ke situ.  Kilauan api tersebut ternyata datang dari sebuah rumah. Rupa-rupanya nyalaan api pelita dari dalam rumah. Mereka berdua masuk ke dalam rumah tersebut lalu mendapati seorang lelaki yang sudah tua. Dia sedang menjamu mata dengan tarian seorang wanita. Terdapat arak juga di situ. ‘aku tidak pernah menyaksikan suatu pemandangan yang lebih keji  daripada seorang lelaki yang sedang menunggu ajal sebagaimana yang aku saksikan pada malam ini!’ sayidina Umar menempelak. ‘aku akui’ jawab lelaki tua itu. Namun tindakanmu wahai Amirulmukminin lebih keji. Kau masuk ke rumahku tanpa izin, kau mengintip aku pula. Bukankah mengintip saudara seagama itu haram?’ Umar pun segera mengakui kesilapannya. Beliau meninggalkan lelaki tua itu dengan kesal atas ketelanjurannya. Sejak malam itu, lelaki tua itu tidak menghadiri sebarang majlis yang dihadiri oleh Saidina Umar. Masa berlalu. Dalam satu majlis, saidina Umar cam lelaki tua itu di satu sudut. Beliau memberi isyarat kepadanya agar datang dekat kepada beliau. Lelaki itu tiada pilihan. Dia menurut perintah Amirulmukminin. Berdebar-debar. Akhirnya dia duduk di sebelah khalifah. Umar berkata ‘Demi yang mengutuskan Muhammad dengan kebenaran, aku tidak memaklumkan kejadian malam itu kepada sesiapapun. Aku juga tidak bercakap tentangnya dengan Abdullah bin Mas’ud. Lelaki tua itu membalas. ’wahai Amirulmukminin, demi yang mngutuskan Muhammad dengan kebenaran, aku juga tidak pernah mengulangi kejahatan malam itu lagi sejak engkau memasuki rumahku’. ’Allahuakbar!’ Umar menyahut.
< sumber al Lu’lu’ al Manthur>

Pengajaran
Boleh jadi teguran yang berkesan hanya selepas beberapa lama. Maka, jangan mudah putus asa untuk sentiasa menasihati seseorang biarpun dia membentak.
Sumber : Angguk Geleng






WAKTU MUSTAJAB DOA (2)
 Sujud
‘sehampir-hampir  hamba kepada Tuhannya adalah pada waktu sujud , maka perbanyakkanlah berdoa’. (riwayat Muslim)

 Selepas Berselawat Dalam Tahiyat Akhir
Nabi mendengar seorang sahabat membaca tahiyat akhir dalam solatnya, beliau memuji Allah, kemudan berselawat ke atas baginda, kemudian Baginda bersabda. ’mintalah kepada Allah nescaya akan diberikan dan mohonlah nescaya dipenuhi’. 
(Riwayat al Nasa’i)

 Usai Solat Lima Waktu
Ketika Rasulullah ditanya tentang doa yang paling didengari Allah, Baginda menjawab ’Di pertengahan malam dan selesai solat fardhu’.
(Riwayat al Tirmizi)

 Ketika Iman Meningkat Kerana Ketaatan
‘dan hambaKu mendekatkan dirinya kepadaKu dengan ibadat sunat hingga Aku mencintainya. Jika Aku mencintainya , aku akan menjadi pendengarnya yang dengannya dia mendengar, penglihatannya yang dengannya dia melihat, tangannya yang dengannya dia menyentuh dan kakinya yang dengannya dia melangkah. Jika dia meminta akan Aku berikan, jika dia meminta pertolongan nescaya Aku lindungi’.
(Riwayat al Bukhari)

 Ketika Diuji
‘Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila dia berdoa kepadaNya dan yang menghapuskan kesusahan’   .
(surah Al Naml 27:62)

 Bermusafir
‘tiga doa yang tidak akan tertolak, doa orang yang dizalimi, doa orang yang bermusafir, dan doa bapa kepada anak’ .
(Riwayat al Tirmizi)

 Ketika Hujan Turun
‘berdoalah pada waktu mustajab doa iaitu sewaktu pasukan tentera bertempur, waktu mendirikn solat dan ketika hujan turun.’
(Riwayat al Bukhari)

101 Doa Drpd Hadis2 Sahih





           




Sunday, 17 January 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 220

MENARIK DI DALAM
·        Seremeh-remeh salam pun…
·        Tip-tip panjang Umur
·        Dengan tangan
·        Waktu Mustajab Doa
·        Menjadi orang yang disayangi Allah



SEREMEH-REMEH SALAM PUN...
Ada orang secara personalitinya memang berat mulut untuk bersembang. Maka jarang sekali dia menjadi orang pertama yang memberi salam. Ada yang lain pula sengaja menunggu orang lain memulakan salam kepadanya. Dia merasakan dirinya lebih tinggi daripada orang lain. Sebahagian pula entah mengapa memang segan dan malu untuk mengucapkan salam. Tidak kurang juga ramai yang suka menyapa. Peramah orangnya. Sedihnya, ayat pertamanya ‘hai, apa khabar?’ selamat pagi’ bukannya assalamualaikum. Apalah sangat soal salam, bukan wajib! Banyak amalan sunat lain lagi yang boleh dilakukan. Soal remeh sahaja. Nauzubillah ucapan sedemikian.  

 Paling Mulia Pada Allah
Seremeh-remeh salam, orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang dahulu memberi salam. Nabi bersabda ‘sesungguhnya seutama-utama manusia pada Allah ialah orang yang terlebih dahulu memberikan salam dalam kalangan mereka’ (Riwayat Abu Dawud). Demikian ukuran Allah. Berbeza dengan manusia. Seseorang dilihat mulia apabila ramai orang yang berlumba-lumba menyapanya.

 Nabi Buat
Seremeh-remeh salam, Nabi memberi salam kepada kanak-kanak. pada suatu hari, sayidina Anas melewati sekumpulan kanak-kanak . Lantas beliau memberi salam kepada mereka. Beliau berkata ‘dahulu, Rasulullah juga melakukan perkara ini’. (Riwayat al Bukhari dan Muslim). Tinggi mana darjat kita berbanding nabi sehingga enggan memulakan salam?

 Syiar Islam Terbaik
Seremeh-remeh salam , itu syiar Islam terbaik. Rasulullah saw pernah ditanya ‘Mana satu amalan Islam yang terbaik?’lalu jawab baginda ‘Kamu menjamu orang makan dan mengucapkan salam kepada orang yang dikenali atau tidak.

 Berkat Pada Diri
Seremeh-remeh salam , pasti akan membawa keberkatan pada diri dan keluarga . Nabi pernah mendidik Anas ‘Wahai anakku, jika kamu hendak masuk ke tempat keluargamu, maka ucapkanlah salam, nescaya akan berkat atas kamu dan seluruh keluarga rumahmu’. (Riwayat al Tirmizi)


TIP-TIP PANJANG UMUR
AMAL JARIAH                                   
‘Apabila meninggal anak cucu adam (manusia), maka terputuslah amalnya kecuali 3 hal sahaja iaitu sedekah jariah, ilmu yang diambil manfaatnya oleh manusia dan anak (keturunan) yang soleh yang berdoa untuknya’. (Riwayat Ahmad)

JIHAD
‘Dan jangan kamu mengatakan terhadap orang yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup tetapi kamu tidak meyedarinya’. (Surah al Baqarah 2:154) yang dimaksudkan dengan hidup di sini ialah hidup dalam alam yang lain yang bukan alam kita ini, iaitu mereka mendapat kenikmatan-kenikmatan di sisi Allah. Hanya Allah yang mengetahui bagaimana keadaan hidup itu.

LAILATULQADAR
Umur umat Nabi Muhammad tidaklah panjang jika dibandingkan dengan umat-umat sebelum kita. Namun usia yang singkat itu satu rahmat jika berhasil menemui lailatulqadar. Apa tidaknya beribadah pada malam tersebut ibarat beribadah 1000 bulan. Jadi, hidup sekejap tetapi amalan berganda.

ELAK MAKSIAT
Elaklah diri dari melakukan kemungkaran

PERBANYAKKAN KETAATAN
Perbanyakkanlah melakukan amal ketaatan sebagai bekalan menuju Akhirat

SILATURAHIM
Orang yang menyambung silaturahim akan panjang usianya, InsyaAllah.

DOA
Panjatkan doa kepada Allah supaya umur dan dipanjangkan. Bukan dengan lama hidup, tetapi dengan kualiti hidup. Apa guna jika hayat panjang tetapi masa terbuang dengan sia-sia. ada yang umurnya pendek namun pencapaian memberangsangkan yang menyamai orang yang telah lama hidup.

BERBUAT KEBAIKAN
Rasulullah bersabda ‘tidak ditolak qada’ kecuali dengan doa, dan tidak ditambah umur kecuali dengan kebaikan’. (Riwayat al Tirmizi)

Sumber : Pesan hati Untuk Hati


DENGAN TANGAN  
Muawiyah pergi ke Scotland kerana mengikuti ayahnya menyambung pengajian di sana. biarpun sudah dua tahun di sana, dia masih selesa menyuap nasi ke mulutnya dengan tangan sendiri berbanding menggunakan sudu dan garpu. ‘saya rasa lebih baik awak gunakan sudu ketika makan di restoran seperti ini’. Seorang rakan melontar kata nasihat. ’awak pun tahu, orang kat sini melihat makan dengan tangan sebagai sesuatu yang menjijikkan’. Muawiyah berdiam sahaja. ’kita kena jaga imej Islam. Sebelum mereka menegur, baik saya tegur awak dulu. Apa awak hendak jawab nanti?’ ’saya makan bersuap dengan tangan kerana yakin dengan kebersihan tangan yang saya jaga. Lagipun saya tidak yakin dengan sudu garpu di sini yang sudah bertukar-tukar mulut!’. Rakannya kelu.    

Pengajaran
Menjaga keharmotan Islam daripada dipandang hina itu wajib. Namun tidak semestinya dengan cara menjaga hati golongan yang memandang hina agama.
Sumber : Angguk Geleng






WAKTU MUSTAJAB DOA (1)
 Sepanjang Malam, Terutamanya sepertiga akhir dan waktu zohor
‘Allah turun ke langit dunia apabila tinggal sepertiga malam yang terakhir dan berkata, Ada sesiapa yang memohon kepadaKu untuk aku kabulkan?  Ada sesiapa yang meminta kepadaKu untuk Aku berikan, ada sesiapa yang beristighfar untuk Aku ampunkan? (riwayat al Bukhari)

 Ketika Bangun Tidur
Khusus untuk orang yang tidur dalam keadaan bersuci dan ingat kepada Allah ‘seorang hamba yang tidur dalam keadaan suci lalu terbangun pada malam hari kemudian memohon sesuatu tentang urusan dunia dan akhirat Allah akan mengabulkannya’. (Riwayat Ibn Majah)

 Ketika Ayam Berkokok
‘apabila kamu mendengar ayam berkokok, mohonlah anugerah Nya, kerana ayam itu melihat malaikat’. (Riwayat al Bukhari)

 Antara Azan Dan Iqamah
‘doa tidak akan ditolak antara azan dengan iqamah’. (Riwayat al Tirmizi)





           


MENJADI ORANG YANG DISAYANGI ALLAH (2)

◊ SETIA

Orang yang setia selalu dipercayai lantas diberi tanggungjawab yang lebih besar. Selalu menepati janji, mempunyai komitmen yang kuat, rela berkorban dan tidak suka mengkhianati.

 

◊ POSITIF

Mereka yang terbiasa bersikap positif selalu berupaya melihat sesuatu daripada kaca mata yang positif, bahkan dalam situasi buruk sekalipun. Dia lebih suka membicarakan kebaikan. Lebih suka mencari penyelesaian daripada menyalahkan keadaan. Selalu berusaha memahami dan mengerti situasi orang lain daripada kecewa sendirian. Lebih suka memuji daripada mengecam.

 

◊ BERTANGGUNGJAWAB

Mereka yang bertanggungjawab akan melaksanakan kewajipan dengan bersungguh-sungguh. seandainya melakukan kesalahan, dia berani mengakui nya.

 

◊ PERCAYA DIRI SENDIRI

Menerima potensi diri seadanya. Dia menghargai dirinya dan pada masa yang sama menghargai diri orang lain.

 

◊ JIWA BESAR

Orang yang berjiwa besar tidak membiarkan dirinya dikuasai oleh rasa benci dan permusuhan.

 

◊ AKHLAK MULIA

Memelihara tutur kata dan tingkah laku dengan sopan akan membuatkan orang lain hormat, tertarik dan sayang terhadap kita. 

 

◊ MENGHARGAI

Kalau boleh cuba buatkan orang lain berasa bahawa diri mereka sangat penting pada anda. Anda sangat menghargai diri mereka. Berlatihlah untuk berbuat demikian hingga mereka berasa dihargai dengan ikhlas.

Sumber : PERSONALITI