Google Ads

Sunday, 27 December 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 199

MENARIK DI DALAM
·        Kecemerlangan Dunia VS Kecemerlangan Akhirat
·        Marah Orang Yang Beriman
·        Melihat Tanpa Bertemu
·        Ruginya amalan kita jika …
·        Beristighfarlah
·        Akhlak-akhlak penting didikan Anak




KECEMERLANGAN DUNIA VS KECEMERLANGAN AKHIRAT
2 kategori kecemerlangan (hasanah Dunia dan Hasanah Akhirat) inilah yang disebut di dalam al Quran dan ia mesti dimiliki oleh umat Islam. Kedua-dua kecemerlangan ini saling berkait rapat dan tidak terpisah. Islam tidak mengajar untuk meminggirkan dunia kerana akhirat dan begitulah sebaliknya. Bagaimanakah kedua-duanya terhubung?
Berdasarkan kata Ulama ‘Dunia adalah tanam-tanaman akhirat’. Sebagai kiasan, ini menunjukkan bahawa tanaman di dunia mestilah subur, lebat dan sihat supaya buah yang lebat dan manis rasanya boleh dipetik di akhirat. Kalau tanaman sudah kering dan bantut, mana mungkin buah yang baik dan sedap boleh dipetik daripadanya? Mana mungkin kita mendapat kecemerlangan di akhirat jika tidak cemerlang di dunia?  Sikap Mengabaikan kecemerlangn di dunia, yang kononnya untuk memberi tumpuan kepada kecemerlangan di akhirat adalah salah. Sebaliknya, umat Islam mesti cemerlang di dunia kerana itulah penyebab untuk mendapat kecemerlangan akhirat. Dunia ini penting bagi orang yang mementingkan akhirat. Percayalah bahawa.. ‘Hidup di dunia ini sangat penting kerana adanya hidup di  akhirat’. Dunia adalah modal dalam perniagaan kita mendapat kebahagiaan di akhirat. Hidup di dunia adalah tempoh yang sangat kritikal bagi meraih kejayaan di akhirat. Kesilapan kita memanfaatkan kehidupan di dunia akan memberi impak yang sangat buruk di akhirat. Jika tempoh masa hidup di dunia ini tidak diisi dengan sebaik-baiknya, maka kekesalan dan kekecewaan akan menimpa kita di akhirat. Ingatlah ‘siapa yang menyemai angin, dia terpaksa menuai badai’. ‘kehinaan di dunia akan menyebabkan kehinaan di akhirat.
Sumber : MUKMIN PROFESIONAL


MARAH ORG YG BERIMAN

Orang yang paling kuat ialah yang mampu mengawal rasa marahnya. Antara sebab perlu mengawal marah:

 

◊ PERINTAH ALLAH DAN SUNNAH RASULULLAH

Orang yang beriman sentiasa akur dan taat kepada perintah Allah. Melampiaskan marah di luar batas syariat adalah sifat terkeji. Banyak ayat al Quran dan dan hadis yang melarang dan mencela sifat marah. Marah berpunca daripada sifat takbur yang merupakan sifat utama syaitan. Daripada marah juga timbul sifat-sifat lain seperti dendam, hasad dan zalim. Kesannya hilanglah kebahagiaan dan ketenangan dalam diri, keluarga, masyarakat dan Negara. Orang yang menurut rasa marah dan melanggar syariat dan diancam dengan neraka.

 

◊  PUNCA PENYAKIT KRONIK 

Marah bukan sahaja memberi kesan batiniah tetapi memberi kesan juga kepada anggota fizikal. Marah akan menghasilkan perubahan kepada psikologi dan biologi. Ketika marah, denyut nadi dan tekanan darah akan menigkat. Begitu juga dengan tahap hormon , adrenalin dan noradrenalin. Oleh itu, marah akan memberi kesan kepada jantung, ginjal, dan paru-paru dan organ dalaman manusia lain-lain. kajian membuktikan pemarah mudah diserang penyakit darah tinggi, lemah jantung, tekanan dan kemurungan.

 

◊ MALAIKAT MENJAUH

Mukmin sentiasa didampingi malaikat. Sebab itulah setiap perlakuan ada doa dan adab. Tanpa doa dan adab, syaitan akan mengambil alih tempat malaikat untuk berdamping dengan kita. Salah satu sebab malaikat meminggir dan syaitan hampir adalah ketika kita marah.

Sumber : SOLUSI



MELIHAT TANPA BERTEMU
            Seorang pengembala tua sedang mencari-cari kerbaunya yang hilang. Puas dicarinya di merata-rata tempat, namun kerbaunya masih belum ditemui. Dia bertembung dengan seorang budak yang sedang memancing. Pengembala itu pun bertanya ‘ada kamu nampak kerbau pak cik yang hilang?’  ’oh, kerbau pakcik yang buta matanya sebelah kiri ya?’ tanya budak itu.   ‘ya..ya..’ jawab pakcik itu dengan cepat. ‘rasanya kerbau pakcik tu dah tua’. Tambah budak itu.  ‘betul, betul kerbau pakcik memang sudah tua. Kamu ada jumpa?’  ‘kerbau pakcik itu tempang kaki hadapan sebelah kanan bukan?’ ‘betul..betul..tunjukkan kerbau pakcik di mana’.  ‘maaf pakcik, saya tak jumpa kerbau pakcik’. Kata budak itu. ‘kamu jangan main-main. memang itulah kerbau pakcik. Kerbau pakcik dah tua, tempang kakinya dan buta matanya sebelah kanan. Jangan bergurau, pakcik nak cepat ni’. ‘betul saya tak nampak, pakcik ‘. Balas budak itu. ‘kalau kau tak nampak, bagaimana kau tahu sifat kerbau pakcik?’ budak itu tersenyum. ‘macam ini..’ kata budak itu lalu membawa pengembala itu ke tepi belukar.  ‘tengok rumput-rumput ini. Rumput-rumput ini telah diragut oleh kerbau. Ini kesan ragutannya. Cuba pakcik lihat baik-baik. semua rumput yang diragutnya adalah yang di sebelah kiri. Ini menunjukkan kerbau itu buta mata kanannya. Kesan ragutannya pula tidak sekata. Menunjukkan gignya sudah jarang atau ada yang patah. Ertinya kerbau ini sudah tua. Tengok pula kesan tapak kakinya. Kesan tapak kaki hadapan sebelah kanan berbeza dengan tapak-tapak kakinya yang lain. Kesannya kelihatan seperti diseret. Ini menunjukkan kerbau ini tempang..’

Pengajaran
Tidak semestinya kita perlu nampak sesuatu untuk kita menerima kewujudannya. Ada waktunya keyakinan dapat dicapai hanya dengan melihat tanda-tandanya. Begitulah Allah, kita tidak perlu melihatNya dengan mata untuk mengakui keagunganNya. Cukup dengan melihat ciptaanNya.
Sumber : Angguk Geleng



,

RUGINYA AMALAN KITA JIKA…
Antara penentu amal kebaikan kita diterima Allah bergantung kepada sebaik mana hubungan kita sesama manusia. Akhlak dan amalan, ibarat  kuku dengan isi. Andai terkopeknya kuku di atas, meranalah isi dibawahnya. Andai buruknya akhlak, sia-sialah segala amalan yang dilakukan selama ini. Ruginya amalan kita jika...

¤ HASAD
Rasulullah mengingatkan ‘berwaspadalah kamu tentang hasad! Sesungguhnya hasad memakan semua kebaikan, sebagaimana api yang memakan kayu’. (riwayat Abu Dawud)

¤ MENGHINA SAUDARA MUSLIM 
Pesan Nabi ‘cukuplah seseorang dikira melakukan kekejian dengan menghina saudara Muslimnya!’ (Riwayat Muslim)

Perbuatan lahir daripada sikap. Orang yang menghina orang lain ialah orang yang ada sikap mudah memandang hina orang lain. Awas! Bahaya sekali sikap memandang rendah orang lain! Rasulullah mengingatkan hal ini dengan mengisahkan ‘Ada seorang lelaki berkata ’demi Allah, Allah tidak akan mengampunkan si polan!’  (Dia memandang hina saudaranya memandangkan tabiat saudaranya yang sering bermaksiat).
Lalu Allah berkata ‘Siapakah yang berhak menetapkan padaKu untuk tidak mengampunkan si polan? Sesungguhnya Aku telah ampunkan si polan, dan Aku gugurkan segala amalanmu!’
(Riwayat Muslim).



BERISTIGHFARLAH
Seseorang datang dan mengadu kepada Hasan al Basri bahawa hujan tidak pernah turun, jawab Hasan al Basri, ‘Beristighfarlah kepada Allah’. Lalu datang pula orang mengadukan kefakirannya. Jawab Hasan al Basri , ‘Beristighfarlah kepada Allah’. Kemudian datang lagi yang lain, kali ini wanita yang mandul mengadukan kepada Hasan al Basri. Jawab Hasan al Basri , ‘Beristighfarlah kepada Allah’ para Jemaah bertanya ’Apakah setiap orang yang mengadu, engkau hanya mengatakan beristighfarlah kepada Allah? Beliau menjawab ’Tidakkah engkau membaca firman Allah ’Mohonlah ampunan kepada Tuhanmu, sungguh, Dia Maha Pengampun, Nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat dari langit kepadamu, dan dia memperbanyak harta dan anak-anakmu.’



AKHLAK-AKHLAK PENTING DIDIKAN ANAK

◊ BENAR
Anak-anak pertamanya perlu dilatih untuk bersifat jujur dan benar. Mereka perlu memahami bahawa berbohong, tidak memberitahu perkara yang sebenar dan menyembunyikan kesalahan adalah kesalahan-kesalahan besar. Mereka perlu diyakinkan bahawa kesalahan berbohong itu lebih besar daripada kesalahan kecuaian seperti memecahkan pinggan secara tidak sengaja atau seumpamanya. Mereka juga perlu diyakinkan bahawa orang yang berbohong adalah orang yang jahat dan tidak akan selamat.

◊ RINGAN TULANG
Anak-anak perlu dilatih supaya menjadi seorang yang rajin, bersungguh-sungguh dan cekap melakukan sesuatu. Sejak kecil anak-anak perlu di ajar menjadi seorang yang ringan tulang. Kerja-kerja asasi untuk keperluan sendiri seperti mengemas bilik tidur, menyusun buku sekolah, menyapu rumah dan lain-lain. Kaedah jadual juga boleh dibuat bagi mendisiplinkan anak-anak.

◊ MENJAGA LIDAH
 Anak-anak juga perlu dididik agar menjaga tutur kata kerana ia merupakan satu manifestasi penting kepada kesempurnaan akhlak. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Cara perbicaraan serta perkataan serta topiknya amat penting diperhatikan oleh ibubapa. Ibubapa berperanan untuk membuat peraturan dan disiplin agar perkataan-perkataan tertentu yang kasar tidak boleh disebut di dalam komunikasi.
Sumber : Anakku Penyejuk mataku










Saturday, 26 December 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 198

MENARIK DI DALAM
·        Pesanan Pendek Nabi
·        What You Get Is What You See
·        Cemerlang Di Dunia dan Di Akhirat
·        Personaliti  Orang Berjaya
·        Siapa Yang Kaya?
·        Umpama Telingat Yang Tersumbat
·        3 Jenis Manusia Terhadap Mati
·        Kelebihan orang Yang Bersyukur



PESANAN PENDEK NABI
Antara pesan Rasulullah yang penting ialah ‘jangan marah’. Sangat besar implikasi di sebalik pesanan pendek itu. Sebenarnya kemampuan mengawal marah ialah kemuncak sifat mahmudah. Maksudnya sikap ini terhasil daripada sifat pemurah, sabar, pemaaf, reda dan lain-lain. justeru pesanan Baginda agar jangan marah samalah seperti menyuruh kita membina sifat-sifat mahmudah yang ‘menghasilkannya’ terlebih dahulu. Pesanan itu juga bermaksud, orang yang mampu mengawal marah sahaja mampu mengawal diri. Jika marah dapat dikawal, semuanya dalam kawalan. Kejayaan seseorang dalam hidup ditentukan oleh sejauh mana dia mampu mengawal dirinya untuk melakukan perkara-perkara yang baik dan meninggalkan perkara yang buruk. Kemampuan inilah yang tidak ada pada seorang yang pemarah. Oleh  itu pemarah akan selalu kalah! Apabila rasa marah telah meguasai hati yang merupakan raja di dalam kerajaan diri, maka amarah itu yang memerintah dan yang melarang.  Dia sedang dikuasai syaitan. Ketika itulah lidah mengeluarkan kata-kata yang kesat  dan kasar, tangan dan kaki akan bertindak agresif dan destruktif, begitu juga dengan lain-lain anggota. Dengan sifat marah itulah syaitan memutuskan tali persaudaraan, persahabatan dan perpaduan. Pernah Sayidatina Aisyah menjadi marah kerana tindakan pembantunya. Tapi beliau dapat mengusai dirinya, kerana sifat taqwa yang ada dalam diri. Beliau berkata ‘Alangkah baiknya sifat taqwa itu. Menjadi ubat bagi segala kemarahan.
Sumber : SOLUSI



WHAT YOU GET IS WHAT YOU SEE
Penting sekali untuk melihat hidup ini dengan pandangan yang tepat dan jelas, barulah apa yang akan kita dapat dalam hidup ini juga tepat  dan jelas juga. Dan itulah nanti yang akan membawa kepada kejayaan. Tidak ada pandangan yang paling tepat tentang hidup kecuali melihatnya mengikut pandangan Allah. Inilah yang dikatakan celik mata hati.


CEMERLANG DI DUNIA

◊ Keselesaan dan Kemudahan (Fizikal dan Material)

Bilamana keperluan fizikal dan material dapat dipenuhi. Denga itu kita mendapat makanan yg halal danbaik, rumah yg selesa, kenderaan yg bagus, pakaian yg mencukupi dan kesihatan yg elok. Kita tdk digugat oleh kemiskinan, kejahilan, dan penyakit. Dan semua itu mesti diperoleh secara halal dan tayyib(baik).

 

◊ Ketenangan dan Kebahagiaan (Spiritual)

Mendapat kesejahteraan ati (Qalbun Salim). Dengan itu, terbentuklah rumah tangga yg harmoni (Baiti jannati), masyarakat yg penyayang dan Negara yg aman makmur serta mendapat keampunan Allah. Secara personal, hati kita tdk dikotori oleh sifat2 mazmumah dans ebaliknya dihiasi oleh sifat2 mahmudah. Secara interpersonal pula, hubungan kita dengan org lain lebih akrab, harmoni dan mesra’.

 

CEMERLANG DI AKHIRAT

◊ Keredaan Allah

Diterima sebagai hamba Allah dalam erti kata yang sebenarnya. Diampunkan segala dosa dan kesalahan. Dikurniakan rahmat dan pengampunan di akhirat kelak.

 

◊ Syurga Yang Abadi

Mendapat pembalasan syurga yang kekal abadi daripada Allah.

 

Sumber : MUKMIN PROFESIONAL




PERSONALITI ORANG BERJAYA
1. Kuat Keyakinan Diri
Kuat keyakinan diri bukan bererti terlalu yakin dengan diri sendiri, jika perlu menempuh risiko, tempuhilah risiko yang terancang.

2. Kenal Potensi Diri 
Kenali potensi diri dengan sebaiknya dan kembangkan semaksimum mungkin. Walaupun keinginan untuk berjaya begitu menebal, jangan pula menidakkan batas agama.

3. Bersaing Dengan Cabaran
Jangan takut untuk meninggalkan ‘zon selesa’. Cuba fikirkan bagaimana ikan yang berada di bawah air terjun boleh berenang melepasi air terjun jika bukan melalui cabaran yang sangat kuat?

4. Sesuaikan Diri Dengan Suasana Baharu
Pepatah Melayu mengatakan ‘Masuk kandang kabing mengembek, masuk kandang kerbau menguak’. Orang berjaya cepat mengesuaikan dirinya dengan suasana baharu. Tidak ada rasa diri dihambat oleh persekitaran. Menyesuaikan diri bukan bermakna berkompromi dengan prinsip atau mudah dipengaruhi.

5. Dampingi Tokoh Hebat 
Kelilingi diri dengan individu hebat dan mempunyai visi serta matlamat, maka kita akan menjadi seperti mereka. Beranikan diri untuk meningalkan kelompok yang lama dan binalah kelompok baharu yang akan membawa kita lebih maju ke hadapan seterusnya berjaya seperti mereka.

6. Cuba Idea Baru 
Manusia memiliki tabiat untuk mengulangi perkara yang sama. Mereka takut untuk mencuba sesuatu yang baru. Cuba pecahkan tradisi ini dan jangan bertumpu kepada suatu tabiat. Jika sudah berada di tahap yang selesa, jangan terus  melakukan perkara yang sama.

7. Kekalkan Motivasi Diri 
Motivasi sangat penting untuk setiap individu. Tetapi motivasi diri akan menurun dan kadang-kadang terus hilang. Bagaimanakah cara untuk mengekalkan motivasi dalam diri? Jawapannya adalah dengan mengekalkan momentum. Jika anda sedang berkobar-kobar untuk melakukan sesuatu pekerjaan itu, jangan bertangguh kerana momentum akan berkurangan. Motivasi diri juga akan berkurang dan akhirnya semuanya akan menjadi sia-sia. oleh itu, sentiasalah fikirkan tentang kerja yang dilakukan itu supaya momentum terus kekal.

8. Hindari Perkataan ’Tidak Boleh’
Jangan meletakkan hijab ‘tidak boleh’ di hadapan tugasan. Belum cuba belum tahu. Andai percubaan pertama gagal, cuba lagi, mungkin ada bahagian yang terlepas pandang dan perlu diperbaiki.

9. Jangan Segera Putus Asa 
Andai mungkin selalu menonton filem pecah panggung Barat. Lihatlah sang hero yang tidak mengenal erti putus asa walaupun terpaksa bergantung hidup pada sehelai rumput. Alangkah baiknya jika semua jalan cerita filem tersebut menjadi realiti dalam hidup kita! Jangan terlalu beremosi terhadap kejadian lalu yang mengayat hati. Yang penting bagaimana hendak memperbaikinya dan tidak mengulangi kesilapan yang sama.

10. Hargai Orang Lain 
Orang yang berjaya bukan setakat menghargai diri sendiri, bahkan turut menghargai orang lain. Jangan sesekali memandang rendah kepada orang lain meskipun mereka Cuma jaga atau budak pejabat.



SIAPA YANG KAYA?
            Seorang hartawan membawa anaknya menginap di sebuah rumah milik seorang kenalannya yang miskin. Dia berharap anaknya sedar akan kekayaan yang mereka miliki. Setelah 3 hari di rumah si miskin, mereka pun pulang. Dalam perjalanan si ayah bertanya ‘apa pandangan kamu tentang kembara kira?’ ‘seronok!’ jawab anaknya. ‘sekarang, mesti kamu dapat bandingkan hidup sebagai orang kaya dan orang miskin bukan?’ ‘ya,’ jawab anaknya ceria. ‘nah sekarang, apa yang kamu belajar daripada semua ini?’ si anak menjawab ‘kita hanya mempunyai seekor kucing peliharaan, tetapi mereka ada banyak kucing yang mereka beri makan. Kita ada kolam renang, tetapi mereka ada sungai yang jernih dan airnya mengalir untuk mereka mandi. Kita ada lampu import yang mahal harganya, tetapi mereka ada bintang-bintang yang bergemerlapan di langit yang mereka pandang waktu bersantai di halaman rumah pada waktu mlm hari..’ si ayah ingin menyampuk, namun si anak meneruskan ‘kita ada jalan berturap tetapi mereka ada padang hijau yang saujana mata yang memandang. Kita seronok menyuruh orang gaji membuat itu dan ini untuk kita, mereka pula ceria ketika berkhidmat dan memberi pertolongan kepada orang lain. Kita ada banyak makanan, tetapi mereka menghasilkan makanan. Kita ada penjaga yang menjaga harta kekayaan kita..tetapi mereka mempunyai ramai sahabat setia yang sentiasa melindungi mereka’. Si ayah semakin terdiam apabila anaknya menambah ‘terima kasih ayah kerana menyedarkan saya betapa kayanya mereka dan betapa miskinnya kita!’
Pengajaran
Kekayaan sebenar letaknya di hati yang bersyukur dan redha. Bukan kerana apa yang kita miliki tetapi kerana apa yang kita beri. Untuk mencapai kesenangan, kita perlu memiliki. Tetapi untuk mencapai ketenangan kita perlu memberi. memberi lebih gembira daripada menerima.
Sumber : Angguk Geleng



,


UMPAMA TELINGA YANG TERSUMBAT
Allah berfirman ‘Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat kami, berpalinglah dia dengan angkuh, seolah-olah dia tidak mendengarnya, seakan-akan ada penyumbat pada kedua-dua telinganya,maka gembirakanlah dia dengan balasan azab yang tidak terperi sakitnya’. (Surah Al Maidah 5:32)
Menurut Ibn Kathir, golongan musyrikin sengaja berpaling dan menjauhkan diri apabila dibacakan ayat-ayat suci al Quran kepada mereka, malahan mereka tidak mahu mendengarnya.  Mereka hanya mahu mendengar sesuatu yang  melalaikan seperti nyanyian dan hiburan.
Hidayah al Quran hanya akan diperoleh bagi mereka yang mahu mendengar ayat-ayat Allah.
Sumber : KIASAN 

3 JENIS MANUSIA TERHADAP MATI  
ORANG YANG LUPA MATI
Dia begitu membenci kematian dan akan cuba melupakannya agar dia boleh terus  bergembira. Baginya mati jangan difikir-fikirkan sangat . Soal dosa-pahala dirasakan sangat merimaskan. ‘kalau ingat mati sahaja, bagaimana hendak maju dan berjaya’. Begitulah tempelaknya. Dia hanya akan ingat mati apabila ditimpa sakit tenat atau kemalangan. Itupun bukan kerana memikirkan nasibnya selepas ini. Sebaliknya yang dibimbangkan nasib ahli keluarga dan dunia yang akan ditinggalkan!.

ORANG YANG TAKUT MATI
Kematian baginya begitu membimbangkan. Mengapa perlu ada mati? Alangkah baiknya jika mati itu ‘mati!’ teringatkan kematian menyebabkan fikiran, jiwa, perasaan malah seluruh badannya lemah. Dia jadi murung dan termenung. Tidak semangat  untuk hidup dan bekerja.  ‘Apa gunanya? Nanti semua itu akan ditinggalkan juga?’ Begitulah bisik hatinya. Orang sakit yang takut mati akan mati sebelum mati. Apabila diramalkan bahawa usianya tidak lama bahawa usianya tidak lama, langsung hilang semangatnya untuk menghabisi sisa-sisa nyawanya. Hidupnya muram. Orang sihat ramai juga yang takut mati. Ada pepatah, si pengecut mati beberapa kali dahulu sebelum mati!.

ORANG YANG INGAT MATI 
HAMKA pernah menulis ‘Orang yang ingat mati dengan akal dan hikmahnya tidak ubah seperti orang yang ingin pergi haji. Selama dalam perjalanannya dia tidak pernah lupa bahawa dia akan menunaikan haji. Dihafal manasik, disebalik bekalan dan belanja, jangan sampai hajinya kecewa’. Ingat mati bukan sesuatu yang pasif bahkan sesuatu yang aktif dan produktif. Bukan kematian itu sahaja yang menjadi fokus bahkan bekalan untuk melepasinya yang lebih utama. Ini kerana persediaan untuk hidup selepas mati mesti disiapkan sebelum mati! Alhasil orang yang ingat mati akan melakukan segala sesuatu dengan terbaik.

Jadi mana satu kita? INGAT mati, LUPA atau TAKUT mati? 



KELEBIHAN ORANG YANG BERSYUKUR

¤ Sentiasa hidup bahagia dan harmoni
¤ Rezekinya bertambah murah
¤ Orang yang bersyukur akan dipandang mulia oleh masyarakat
¤ Allah swt akan memberkati dan merahmati hidupnya
¤ Orang yang bersyukur akan diberi pahala dan disayangi oleh Allah swt







Friday, 25 December 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 197

MENARIK DI DALAM
·        Ilmu
·        Kembali Kepada Allah
·        Keberkatan Rezeki
·        Deny Syndrome
·        10 Cara Kalahkan Marah
·        Orang Perkasa



ILMU
Keghairahan yang tinggi terhadap ilmu akan menjadikan seseorang itu ghairah untuk belajar. Imam as Syafie pernah menyifatkan dirinya dengan ilmu umpama ibu ayam kehilangan anaknya. Begitu cinta dan tinggi sekali keinginannya untuk mendapat ilmu.


KEMBALI KEPADA ALLAH
Pasangan hidup manusia ialah Islam. Tanpanya manusia akan terpisah daripada ketenangan dan kebahagiaan. Kita perlu kembali ke pangkal ’back to basic’. Untuk itu bermulalah dengan diri kita sendiri. Mari kita selami dan kenali siapa kita yang sebenarnya? Kita hayati kata-kata hikmah ini ‘untuk membaiki dunia, baiki manusianya. Dan untuk membaiki manusia, baiki hatinya. Masalah manusia bermula dan berpunca  daripada hati!. Oleh kerana hati bersifat dalaman, maka untuk menyelesaikan masalahnya mesti juga dengan kaedah yang dalaman. Back to basic ertinya kembali kepada tauhid.! Kembalilah kepada Allah.
Sumber :  MUKMIN PROFESIONAL 


KEBERKATAN REZEKI
Tanda-tanda rezeki yang berkat adalah, semakin bertambah rezeki semakin dekat kita dengan Allah. Jika sebaliknya? Maka fahamlah bahawa kita dalam bahaya...


BERBEZA BIJAKSANA
            Satu hari seorang professor menyeberang sungai dengan sebuah sampan yang didayung oleh seorang pendayung sampan. Di tengah-tengah sungai, professor bertanya ’kau pandai menulis dan membaca?’ ’tidak, saya buta huruf’. Jawab pengajuh sampan. ’kalau macam itu, kamu sudah hilang separuh kehidupan kamu. Orang yang tak pandai membaca dan menulis seolah-olah hilang keupayaan untuk hidup’, tidak lama selepas itu, professor itu bertanya lagi ’kamu ada buat simpanan di bank?’ ’tidak, pendapatan saya cukup-cukup makan sahaja. ’kalau begitu kamu hilang lagi separuh daripada kehidupan kamu. Mana mungkin orang yang tiada wang boleh hidup dengan selesa pada masa tua nanti’. Sampan terus bergerak. Tiba-tiba sampan itu bocor. Air masuk dengan banyaknya dan sampan hampir tenggelam. Si pengayuh sempat bertanya kepada professor ’tuan, adakah tuan pandai berenang?’ ’er..er..saya tidak tahu’. Jawab professor itu panik. ’kalau begitu tuan akan kehilangan seluruh hidup tuan!’

Pengajaran
Tuhan tidak mencipta manusia dengan bodoh. Sebaliknya, tuhan mencipta manusia dengan kebijaksanaan yang berbeza. Kita mesti mengenal di mana kebijaksanaan itu dan meningkatkannya ke tahap maksimum. Jangan rasa diri kita hina sebaliknya binalah keyakinan diri. Allah ciptakan setiap setiap manusia untuk berjaya.
Sumber : Angguk Geleng



,


DENY SYNDROME

Kekuatan materialisme dan intelektualisme tidak akan mampu mempertahankan keutuhan bangsa dan Negara. Memburu tahap kehidupan yang lebih tinggi dan kecemerlangan pencapaian ekonomi tanpa menitikberatkan soal akhlak hanya akan meninggikan tempat jatuh. Ironinya, sering ada sikap ‘deny syndrome’ apabila dikatakan kita ada masalah akhlak. Sering terdengar kata-kata ‘itu semua kes terpinggir’, ‘kajian itu tidak tepat’, ‘itu hanya masalah terpencil’ dan pelbagai lagi penafian. ‘loceng penggera kecemasan’ yang sering dilaungkan oleh pakar pendidikan dan para ulama sering dianggap sebagai ancaman yang sengaja menakut-nakutkan dan boleh membantutkan usaha memajukan ekonomi. Jadi, tidak hairan jika pergaulan bebas, pendedahan aurat, budaya hedonisme dan elemen perosak akhlak berleluasa.

Sumber : Pesan hati Untuk Hati


10 CARA KALAHKAN MARAH
 Bagaimana kita menentukan agar kemarahan itu kerana Allah? Atau dengan kata lain, bagaimana hendak mengawal kemarahan? Untuk mengawal marah perlukan ilmu, tindakan dan latihan. Ilmu sebagai panduan, tindakan merealisasikan. Latihan pula membiasakan. Berdasarkan tiga strategi ini, berikut cara-cara mengatasi marah dengan ilmu dan tindakan:

¤ INGAT FADILAT ORANG YANG MENAHAN MARAH
Orang beriman sentiasa berusaha untuk mendapat keredhaan Allah dan balasan yang baik daripadaNya. Mengawal marah antara antara jalan untuk mendapatkannya. Siapa yang mampu mengawal kemarahan akan diberi ganjaran di dunia dan di akhirat. Allah akan memberkati kehidupannya kerana dia tidak menzalimi insan lain. Allah berfirman ‘hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang itu. Tidakkah kamu suka Allah mengampunkan dosa kamu? (Al Nur 24:22)

¤ INGAT MURKA ALLAH
Pemarah akan dimurkai Allah. Ketika ditanya kepada Rasulullah ‘Apakah yang menjauhkan aku daripada kemurkaan Allah?’ Jawab Nabi ‘Janganlah kamu marah’. (Riwayat Ahmad)

¤ UCAPKAN TAAWUZ
Sulaiman bin Shurad menceritakan ‘semasa aku duduk bersama-sama nabi, kelihatan 2 orang saling mencaci. Lalu salah menjadi marah dan merah mukanya. Kemudian Nabi bersabda ‘sesungguhnya aku mengetahui suatu ucapan seandainya dia mengucapkannya pastilah hilang marah itu daripadanya: ‘Aku berlindung kepada Allah daripada godaan syaitan yang terkutuk’. (Riwayat al Bukhari)

¤ BAYANGKAN BETAPA BURUKNYA RUPA DAN PERILAKU KETIKA MARAH.
Orang yang sedang marah tidak ubah seperti anjing yang sedang menyalak. Gigi dan bibirnya bergetap, suaranya berderam, matanya merah dan telinganya kembang. Wajahnya sangat buruk. Jika orang yang marah dapat melihat wajahnya sendiri ketika marah, dia akan berasa malu.

¤ BERDIAM DIRI
‘Apabila seseorang kamu marah hendaklah dia diam’. Nabi mengulangi ucapan Baginda tiga kali. (Riwayat Ahmad)



¤ INGAT BALAS DENDAM PIHAK YANG DIMARAHI.
Setiap aksi mesti ada reaksi. Setiap kemarahan yang dilampiaskan kepada seseorang akan menimbulkan kemarahan pihak yang ‘kena marah’. Akan muncul dendam yang terpendam yang menanti masa dan kesempatan sahaja untuk diledakkan. Keadaan ini sangat merbahaya. Jadi tindakan mengawal marah akan menyelamatkan diri daripada kejahatan orang yang berdendam dan hasad dengki.

¤ INGAT PEMBALASAN DI AKHIRAT.
Bayangkan betapa buruknya nasib pemarah di akhirat kelak. Mereka akan dimurkai dan dihumbankan ke neraka. Rupa-rupanya pembalasan buruk kepada si pemarah di dunia hanya sedikit berbanding pembalasan yang lebh dahsyat di neraka. Menyedari hakikat itu, orang yang bijak lebih rela menahan sifat marahnya di dunia daripada terpaksa menahan bakaran api neraka. Nauzubillah.

¤ BERWUDUK
Rasulullah bersabda ‘sesungguhnya marah daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan diciptakan daripada api, dan api dapat dipadamkan oleh air, maka apabila antara kamu marah, maka hendaklah dia berwuduk’. (Riwayat Abu Dawud)

¤ UBAH POSISI FIZIKAL
Apabila rasa marah ubahlah kedudukan kita daripada berdiri kepada duduk. Jika masih marah lagi, berbaring. Jika masih juga marah, maka tinggalkanlah tempat dan orang yang menyebabkan kita marah.

¤ TARIK NAFAS DALAM-DALAM DAN PANJANG, BERSELAWAT DAN BERISTIGHFAR
Apabila rasa marah mula terasa sukar dikawal, tarik nafas panjang-panjang, dalam-dalam dan lepaskan. Berselawatlah dan beristighfarlah berulangkali. insyaAllah kemarahan akan beransur reda dan kerasionalan akan kembali. Dengan berhenti sebentar, darjah kemarahan akan menurun.
Sumber : SOLUSI



ORANG  PERKASA
Orang yang perkasa mampu mengawal hati, akal dan nafsunya bagi mencapai misi hidup yang tepat dan jelas.

Ustaz Pahrol