Google Ads

Monday, 4 January 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 207

MENARIK DI DALAM
·        Ke Neraka
·        Cari Alasan untuk Bersangka Baik
·        5 Sedekah terbaik
·        Bijaksana Bukan Bijaksini
·        Tip Disiplinkan Diri
·        Jalan Ke Syurga



KE NERAKA

‘pada hari kiamat kelak seseorang akan dicampakkan ke dalam neraka. Maka keluarlah ususnya dan dia berpusing seperti seekor keldai mengelilingi batu kisaran. Para penghuni neraka lain pun menghampirinya dan bertanya ‘Wahai saudara,mengapa semua ini terjadi? bukankah saudara orang yang pernah menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kejahatan?’ Maka dia menjawab ‘Benar, akulah yang pernah menyuruh kepada kebaikan dan melarang kemungkaran, tetapi aku sendiri yang melanggarnya’. (Riwayat Muslim)

 


CARI ALASAN UNTUK BERSANGKA BAIK

Seorang Mukmin seharusnya tidak menzahirkan sebarang sangka buruk terhadap saudaranya sebagaimana pesan Rasulullah ‘Allah tidak akan melihat niat buruk seseorang sehinggalah dia menyuarakannya dan melakukannya’. (Riwayat al Bukhari dan Muslim) Sayidina Umar al Khattab berkata, ‘Bila saudaramu berkata sesuatu yang mencurigakan, fikirkanlah tentang yang baik-baik sahaja dan engkau akan mendapat penjelasan yang baik-baik juga’. Misalnya jika seseorang tidak menepati masa yang dijanjikannya pada kita, maka berilah alasan pada diri sendiri dengan beranggapan dia sakit, terlupa atau pelbagai alasan lagi. Bersangka baiklah walaupun mungkin dia tidak sebaik yang disangkakan. Sekurang-kurangnya sangka baik menyelamatkan daripada perasaan marah kecewa dan sedih berpanjangan. Kata orang bijaksana, ‘kemarahan kita pada seseorang akan membakar diri sendiri bukan orang yang kita marahkan!’ jadi berbaloikah bersangka baik kita boleh mendoakan orang lain. Orang yang bersangka buruk tidak akan ada dorongan dalam hatinya untuk mendoakan orang lain. Meskipun begitu, sangka baik bukanlah alasan untuk kita tidak menegur dan menasihati seseorang agar dia tidak mengulang kesalahannya. Sangka baik hanya untuk orangnya, tetapi bukan perbuatannya. Jika perbuatannya mungkar, mesti ditegur dan diperbetulkan.

Sumber : Solusi

 

 

 


5 SEDEKAH TERBAIK

 Bersedekah Secara Rahsia

Salah satu tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah di akhirat kelak ialah golongan yang bersedekah secara rahsia sehingga tangan kiri seolah-olahnya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanan. 

 

  Bersedekah Ketika Sihat

Kebiasaannya semasa sihat dan muda seseorang itu amat memerlukan harta untuk kehidupan duniawi. Justeru, mujahadah yang kuat perlu dilakukan agar tidak terpedaya dengan harta. Nilai amalan pada pengorbanan.

 

 Bersedekah Ketika Sangat Memerlukan Pada Harta

Rasulullah saw bersabda ‘Bersedekah dengan satu dirham lebih baik daripada bersedekah dengan 100 ribu dirham. Iaitu seseorang yang hanya memiliki harta sebanyak 2 dirham tetapi dia bersedekah 1 dirham iaitu separuh daripada hartanya lebih baik daripada seseorang yang hanya bersedekah 100 ribu dirham sedangkan hartanya melimpah ruah’.

(Riwayat Al Nasa’i)

 

 Memberi Nafkah Untuk Keluarga

Memberi nafkah untuk keluarga merupakan suatu kewajipan yang tidak boleh diabaikan bahkan ia merupakan suatu perkara yang wajib. Ia juga dianggap sebagai suatu sedekah apabila memberi nafkah dalam keadaan mencari keredaan Allah.

 

 Bersedekah Kepada Kaum Kerabat

Nabi Bersabda ‘sedekah kepada orang miskin nilainya hanya sedekah. Sedekah kepada kerabat nilainya 2: sedekah dan menyambung silaturahim’. (Riwayat Ahmad)

 

Sumber : KIASAN (Ustaz Sukki)




BIJAKSANA BUKAN BIJAKSINI
Seseorang hanya akan mengurus nyawa dan masanya dengan baik apabila mata hatinya terbuka. Pandangan mata hati ialah pandangan yang paling tepat dan benar kerana mampu melihat di sebalik kehidupan dunia yang singkat ini ada kehidupan akhirat yang kekal abadi. Mereka inilah orang yang ‘bijaksana’ bukan ‘bijaksini’.


TIP DISIPLINKAN DIRI
¤ Senaraikan Semua Usaha Ke Arah Pencapaian Matlamat Anda Mengikut Keutamaan.
Kemudian, pilih 5 hingga 10 yang teratas dan laksanakan. Anda dikira sudah berdisiplin sekiranya dapat melaksanakan lebih daripada 5 langkah yang paling utama itu.

¤ Lekatkan Poster, Cogan Kata Atau Kata-kata Yang Menjelaskan Matlamat Anda Itu Di Tempat-tempat Yang Mudah Dilihat.
Jangan malu, isytiharkan kepada dunia tentang apa yang anda akan capai. Yang penting, ‘pengisytiharan’ itu akan mendorong anda setiap kali anda melihatnya.

¤ Tetapkan Apa Yang Anda Ingin Lakukan Setiap Hari.
Amalkan perancangan mingguan dan harian yang teratur. Usah biarkan hari-hari berlalu ‘sepi’ tanpa sesuatu pencapaian kecil ke arah pencapaian matlamat besar anda. Ingat, sedikit-dikit lama-lama jadi bukit.

¤ Setiap Perkara Penting Yang Hendak Anda Laksanakan Hendaklah Ditulis Tarikh Akhirnya (deadline).
Hal ini akan memberikan satu kepuasan dan kemenangan apabila tarikh akhir itu berjaya ditepati. Anda akan rasakan matlamat yang dikejar semakin mendekat dari hari ke hari.

¤ Bagi Satu Tugasan Yang Terlalu Sukar Atau Membosankan (Tetapi sangat penting), elok mulakan secara berdikit-dikit.
Jangan menunggu kesempurnaan untuk memulakannya kerana hal ini akan menjerumuskan anda kepada satu keadaan ‘tidak berbuat apa-apa’. Ingatlah, rasa tidak selesa semasa melakukan aktiviti-aktiviti tersebut adalah lebih baik daripada rasa risau, takut dan kesal sekiranya anda tidak melakukannya langsung!

¤ Gunakan Masa Yang Paling Optimum Dalam Hidup Seharian Anda Untuk Melakukan Tugas-Tugas Yang Paling Penting.
Malah ingat, jangan terus bergelumang ke bahagian-bahagian yang tersukar, sebaliknya mulakan pada sebahagian-bahagian yang lebih mudah dahulu. Hal ini akan memberikan anda semacam satu ‘momentum’ untuk menakluki bahagian-bahagian tersukar dalam tugasan yang paling mencabar.

¤ Amalkan Dialog Diari Yang Positif.
Pandang tinggi diri anda selalu dengan berkata ‘Aku boleh, aku boleh berjaya kerana aku ialah orang yang berdisiplin’. Jangan terpengaruh dengan kata-kata negatif sama ada yang datang dari dalam diri anda sendiri atau daripada orang luar yang tidak membina!

¤ Janjikan Satu Masa Untuk Meraikan Kejayaan Anda Sekiranya Anda Berjaya Melaksanakan Tugas-Tugas Sukar Dalam Hidup. 
Misalnya, menikmati makanan istimewa di tempat-tempat yang  anda sukai selepas melaksanakan tugas-tugas besar. katakan kepada diri ‘sekiranya aku berjaya menyelesaikan tugas ini, aku akan belanja diriku makan, the best nasi beriani on town!!’.
Sumber : Pesan Hati Untuk Hati









JALAN KE SYURGA 
            Seorang paderi kristian tiba di sebuah kampung yang agak terpencil. Dia bertemu dengan seorang kanak-kanak yang berkopiah lalu bertanya ’wahai anak, boleh tunjukkan rumah ketua kampung? Saya baru sahaja di sini, saya kurang arif dengan kawasan ini ‘ ‘boleh tuan’. ‘tuan ikut lorong ini, kemudian jalan lurus. Apabila tuan nampak serumpun pokok buluh, belok ke kanan. Apabila tiba di tepi sungai, tuan menyeberang sungai itu. Jalan terus dan tuan akan nampak rumah yang ada telaga sebelah kiri, itulah rumah ketua kampung’. ‘terima kasih banyak, sebagai membalas jasa, inginkah saya tunjukkan jalan ke syurga?’ Tanya si paderi. Jelaslah, si paderi itu ada misi menyampaikan agama kristian kepada kanak-kanak itu. ‘benarkah tuan boleh tunjukkan jalan ke syurga? ’tanya kanak-kanak itu kembali. ‘ya, memang itulah tugas saya saban setiap hari’. ‘bagaimana tuan mahu tunjukkan saya jalan ke syurga sedangkan tuan sendiri tidak tahu jalan ke rumah ketua kampung dan terpaksa saya tunjukkan’.

Pengajaran
Hanya mereka yang berada di jalan yang benar sahaja yang mampu membimbing orang lain ke jalan yang benar.
Sumber : Angguk Geleng



,




Sunday, 3 January 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 206

MENARIK DI DALAM
·        ‘Hanzalah Telah Munafik’
·        Sangka Buruk Akar Fitnah
·        Inilah Dai Sebenar
·        Taklid Buta
·        Berikan Air Kepadanya Dahulu
·        Bermulanya Fasa Baharu



‘HANZALAH TELAH MUNAFIK’

Hati ialah raja diri. Maka untuk memperbaiki diri, usaha memperbaiki hati perlu dijalankan. Hati sangat mudah terkesan dengan suasana. Suasana yang tidak baik mempengaruhi hati ke jalan sebaliknya. Hanzalah al Usayyidi jurutulis Rasulullah saw. Pada suatu hari, beliau bertembung dengan Sayidina Abu Bakar. Ketika disapa oleh Abu Bakar , Hanzalah dengan penuh risau dan ketakutan menjawab ‘Hanzalah telah munafik!’. Terkejut dengan jawapan sedemikian, Abu Bakar berkata ‘Maha Suci Allah! Apa yang kamu cakapkan ini?’’Apabila kita bersama Rasulullah saw, ketika Baginda mengingatkan kita tentang syurga dan neraka, seolah-olah kita dapat melihat kedua-duanya di depan mata. Namun sebaik kita keluar dan kita mula sibuk dengan isteri, anak-anak dan urusan kerja, maka kita mula melupakannya’. Mendengar penjelasan Hanzalah, Abu Bakar membalas ‘Demi Allah, ini juga berlaku kepada kami’. Lalu mereka menemui Rasulullah. Hanzalah lantas mengadu ‘Hanzalah telah jadi munafik, Ya Rasulullah!’ Lalu Rasulullah bertanya ‘Mengapa kamu berkata begitu?’ ‘Ya Rasulullah, ketika kami bersama tuan, ketika tuan mengingatkan kami tentang syurga dan neraka, seolah-olah kami dapat melihat kedua-duanya depan mata kami. Namun, sebaik kami keluar dan mula sibuk dengan isteri, anak-anak dan urusan kerja, maka kami mula melupakannya’. Dengan sedih Hanzalah memberikan penjelasan. Maka sahut Rasulullah ‘Demi zat yang diriku ditanganNya! Jika kamu mampu mengekalkan keadaan kamu sebagaimana kamu berada di sisiku, pasti para malaikat akan berjabat tangan dengan kamu hingga walaupun di atas hamparan tidur dan sewaktu dalam perjalanan kamu, tetapi Hanzalah kadang-kadang kamu begitu, dan kadang-kadang kamu begini!’ (Riwayat Muslim). Kisah ini memberikan gambaran jelas betapa suasana mampu mempengaruhi hati. Bukan sahaja hati kita, bahkan hati tokoh-tokoh seperti para sahabat Rasulullah.

Sumber : ISLAH

 


SANGKA BURUK AKAR FITNAH

Islam sangat melarang umatnya bersangka buruk. Allah menegaskan ‘wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu ialah dosa’ (Al Hujurat 49:12). Allah melarang sikap bersangka buruk yang akan menggugat persaudaraan. Mustahil hidup bermasyarakat akan aman sekiranya sifat bersangka buruk menjadi budaya. Rasulullah bersabda ‘Jauhilah bersangka-sangka kerana bersangka-sangka bicara yang paling dusta’ (Riwayat al Bukhari dan Muslim). Buruk sangka itulah punca yang akan menimbulkan fitnah dan umpat. Maksudnya buruk sangka perbuatan dalam hati yang terzahir melalui umpatan dan fitnah. Oleh itu apabila melintas sahaja sangkaan buruk, maka tepislah agar tidak singgah apalagi menetap dalam hati. Bermujahadahlah untuk membuang sangka buruk dengan memberi pelbagai alasan untuk terus bersangka baik.

Sumber : Solusi

 

 

 


INILAH DAI SEBENAR
A)BERPERSONALITI MENARIK
Cara tutur kata dan penampilan pendakwah akan menarik perhatian pendengar dan penonton kerana pada dasarnya jiwa manusia itu cenderung dan tertarik dengan penampilan yg indah dan baik.

B) BERUSAHA MENJADIKAN DIRI LEBIH BAIK
Sifat asas seorang pendakwah ialah berusaha untuk memperbaiki dirinya agar mentaati Allah dan menjauhi segala laranganNya. Rasulullah bersabda ‘orang yang berjuang ialah orang yang berjuang ialah orang yang berjuang terhadap nafsunya dalam mentaati Allah’. (Riwayat Ibn Hibban).

C) MENGOTAKAN KATA-KATA
Seorang pendakwah hendaklah mendahulukan contoh perbuatan daripada ucapannya kerana dakwah melalui akhlak yang baik merupakan media yang paling berkesan kepada masyarakat.




TAKLID BUTA
            ‘hujan lebat. Malam amat gelap. Saya juga tidak tahu arah jalan ke Bandar. Bagaimana saya mahu memandu untuk pergi ke Bandar?’ Tanya anak kepada ayahnya. ‘kalau begitu, kamu ikut sahaja lampu kereta yang ada di hadapan’. ‘baiklah ayah’. Sebaik memandu keluar dari rumahnya, pemuda itu menunggu sahaja kereta lalu. Kemudian dia mengekori belakang sebuah kereta menuju ke Bandar, berpandukan lampu belakang kereka itu. ‘mudah sangat’. Bisiknya. Apabila kereta itu belok kanan, dia akan belok kanan, jika ke kiri, dia pun akan belok kiri. Apabila berhenti, dia juga berhenti. 100% ikut kereta di hadapan. Hujan masih lebat dan cuaca masih gelap, namun dia yakin akan sampai ke Bandar jika dia mngikut kereta itu. Tidak lama kemudian kereta itu bergerak perlahan dan akhirnya berhenti. Dia menunggu, tetapi kereta itu tidak bergerak-gerak lagi dan lampu belakangnya dipadamkan. ‘mengapa kamu berhenti? Kita belum sampai ke Bandar.’ katanya kepada pemandu kereta dihadapan setelah keluar dari kereta. ‘la, ini rumah saya! Kenapa saudara mengikut saya sampai ke pintu pagar rumah saya ni?’ pemuda itu menepuk dahinya. Itulah akibatnya mengekori secara membuta tuli.

Pengajaran
Kita hanya boleh memimpin orang yang celik. Jika kita ingin mengikut sesuatu fahaman, kumpulan atau apa-apa sahaja dalam hidup ini, kita mestilah mengikutnya dengan ilmu dan penuh kesedaran. Jangan taklid buta.
Sumber : Angguk Geleng





BERIKAN AIR KEPADANYA DAHULU  
Huzaifah : ‘Aku telah bertolak ke tempat berlakunya Peperangan Yarmouk untuk mencari sepupuku yang kesakitan dan kehausan untuk kuberikan kepadanya air yang ada bersama-samaku. Apabila kau dapat menemuinya, lantas aku memberikannya air. Sedang sahaja sepupuku itu hendak meneguk air, maka dia terdengar suara muslim yang mengadu kehausan, maka sepupuku lantas menyuruhku agar memberi minum kepada orang itu dahulu. Aku pergi kepada orang itu dan aku dapati dia ialah Hisyam bin Al As. Apabila Hisyam hampir sahaja meneguk air tersebut, maka terdengar oleh Hisyam suara sahabat seperjuangan yang lain mengadu kehausan, maka Hisyam pun menyuruhku untuk pergi dan memberikan air kepada orang itu dahulu. Aku pun pergi kepadanya dan belum sempat pun aku memberikannya air, dia telah pun syahid. Aku berpatah balik kepada Hisyam, dan aku dapati dia juga telah syahid. Kemudian aku pergi pula kepada sepupuku tetapi belum sempat pun aku memberikannya air, dia telah pun syahid’.





BERMULANYA FASA BAHARU
Mati ialah keadaan yang mana roh akan berpisah dengan jasad. Roh akan kembali kepada penciptanya. Kematian pasti dialami oleh setiap makhluk yang hidup. Hanya Allah yang akan kekal selama-lamanya. ‘tiap-tiap diri akan merasai mati. Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu akan kembali’. (Al Anbiya’ 21: 35)

Transit
Kematian hanya pengakhiran di dunia yang fana, bukan pengakhiran sebuah kehidupan. Allah menegaskan dalam surah al Mulk bahawa kehidupan dan kematian adalah untuk menguji dan menilai diri kita. Apabila mati, secara automatik akan berakhir semua cubaan dan penilaian sekaligus bermulanya satu kehidupan baharu. Itulah alam barzakh iaitu transit menuju ke alam akhirat. Kita hanya akan berada di alam akhirat setelah dunia kiamat. Selagi belum kiamat, orang yang sudah mati akan berada di alam barzakh. Di alam barzakh, kita akan di uji dan di nilai oleh Allah. Hanya menerima balasan atas segala amal di dunia. Jika baik amal, maka kita akan mengharungi kehidupan yang indah, lebih indah daripada dunia.

Bekalan
Disini, kita akan disoal oleh malaikat Munkar dan Nakir mengenai kehidupan di dunia. Jika berjaya dalam soal siasat ini, insyaAllah kita akan berjaya di akhirat kelak. Allah mengingatkan kita tentang persiapan bekalan amal sebelum mati ‘Hendaklah kamu semua membawa bekal. Sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah takwa’ (Al Baqarah 2:197)
Bekalan amal bukan ibadah semata-mata seperti solat dan puasa, tetapi amalan-amalan lain seperti bersedekah dan sebagainya. Hal ini kerana setiap kebaikan walaupun sebesar zarah akan dinilai kerana Allah amat menyayangi hamba-hambaNya.

Ingat
Manusia zaman ini menganggap kematian perkara yang remeh. Malah ada yang mempermainkan soal mati. Mengelak daripada mengingati mati bermakna menolak kebenaran. Memandangkan kita tidak tahu tarikh ajal akan menjemput, lebih bijak kita mengingati mati agar terpelihara daripada berbuat dosa dan sentiasa berbuat amalan baik. Ingat mati dapat memantapkan keyakinan di samping berbuat amalan baik. Ingat mati dapat memantapkan keyakinan di samping meneguhkan  semangat. Bahkan dapat menghalang nafsu daripada terjebak ke lembah dosa dan godaan syaitan. Ingat mati juga dapat menyemai keazaman untuk menghindari segala perkara yang dimurkai Allah. Kita harus mengingati mati untuk sentiasa menambah bekalan amalan. Jika bekalan penuh dengan kebaikan, maka permulaan kehidupan kita di alam barzakh akan menjadi suatu permulaan kehidupan baharu yang baik.
Sumber : zikra
           






Saturday, 2 January 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 205

MENARIK DI DALAM
·        Mutiara Dalam Lumpur
·        Jendela Teladan
·        Standard Akhlak Terbaik
·        Sangka Baik Dapat Baik
·        Tempat Terbaik Cuci Hati
·        Belajar Berenang
·        Lidah Anak Yang Berbohong
·        Ancaman Masa



MUTIARA DALAM LUMPUR

Sehingga saat ini kita mungkin menyangka seluruh keluarga Abu Lahab kafir bahkan menjadi penentang kuat Nabi. Tunggu, ada seorang lagi ahli keluarga mereka. Durrah binti Abu Lahab. Demi Islam yg diyakini, beliau sanggup berpisah dengan keluarga. Beliau turut berhijrah ke Madinah. Durrah bermaksud mutiara.

 

 

 


JENDELA TELADAN
Kisah Sahl dididik menghampirkan diri kepada Tuhannya
Sifat  ihsan adalah teras dalam mengukuhkan akidah anak-anak. sifat Ihsan adalah merasakan diri sentiasa diperhatikan Allah.
Sahl bin Abdullah at Tustari berkata: ketika aku berusia 3 tahun, aku sudah bangun malam, maka aku perhatikan solat bapa saudaraku Muhammad bin Siwa. Pada suatu hari, dia berkata kepadaku ‘Tidakkah engkau berzikir kepada Allah yang menjadikanmu? ‘ Aku menjawab ‘Bagaimana aku berzikir kepadaNya?’ Muhammad bin Siwar menjawab ‘ketika gerak gerimu menukar pakaian, sebutlah dalam hatimu tanpa engkau menggerakkan lidahmu sebanyak 3 kali perkataan ‘Allah ada bersama-samaku, Allah melihatku dan Allah memperhatikanku’.

Sumber :Imam Al Ghazali, Kitab Ihya Ulum ad Din




STANDARD AKHLAK TERBAIK
Adakah kita seorang yang sangat bagus akhlaknya? Menurut Imam al Ghazali seseorang harus melalui ketiga-tiga standard ini untuk menjadikan kita dalam golongan yang sangat elok akhlaknya
 Boleh buat baik dengan orang yang buat jahat dengan kita
 Mendoakan orang yang kita dengki supaya sifat dengki itu akan terhapus dengan doa itu.
 Boleh sabar menahan kesakitan
  




SANGKA BAIK DAPAT BAIK

Apa yang  kita lihat, itulah yang akan kita dapat. Inilah prinsip atau sunnatullah dalam kehidupan. Kita tidak mungkin dapat apa-apa yang tidak dilihat. Maksud lihat di sini bukan dengan pandangan mata, tetapi pandangan fikiran dan hati. Justeru untuk mendapat kebaikan dalam kehidupan, betulkan dahulu ‘cara pandang’ kita, pandangan mata hati dan fikiran. Cara pandang hati dan fikiran mesti baik atau positif, barulah kita akan mendapat kebaikan dan hasil yang positif. Inilah yang selalu dipesankan oleh para ulama dan pakar-pakar motivasi ‘mesti sentiasa berfikiran positif’. Berfikiran positif bukanlah menafikan realiti sehingga hitam pun dikatakan putih. Sebaliknya melihat yang hitam dengan hati dan fikiran yang putih. Sehingga dengan itu, seseorang mampu mendapat yang putih daripada yang hitam. Bukankah penawar patukan ular datang daripada air bisa yang sama?. Lawan sangka baik ialah sangka buruk. Jika sangka baik datang daripada iman dan ilham oleh para malaikat, sangka buruk pula datang daripada nafsu dan waswas syaitan. Orang yang bersangka buruk, bukan sahaja melihat yang jahat itu jahat, malah yang baik pun dilihat jahat. Hasil daripada melihat dengan hati dan fikiran yang jahat, maka dia akan sentiasa mendapat kejahatan dan keburukan dalam hidup. 

Sumber : Solusi

 

 

 


TEMPAT TERBAIK CUCI HATI
Bagi tujuan islah diri, kita perlu memanfaatkan suasana yang boleh menjadikan hati mudah terkesan dengan kebesaran Allah dan kepentingan akhirat. Rasulullah dan sahabat sentiasa memanfaat suasana masjid dengan sebaik-baiknya untuk membentuk hati. Di dalam masjid dilakukan tarbiah dan pengislahan diri oleh Rasulullah kepada para sahabat. Malah sejarah mencatatkan bahawa tawanan perang yang dibawa pulang ke Madinah telah dirantai di tiang-tiang Masjid Nabawi. Setelah beberapa hari, apabila dibebaskan mereka dengan sukarela telah menerima Islam. Suasana masjid ada keajaiban yang tersendiri. Pernah kawan-kawan penulis datang mengadu dengan pelbagai masalah. Selain cadangan lain, selalunya penulis akan mencadangkan mereka beriktikaf di dalam masjid. Niat beriktikaf, melakukan ibadah seperti solat, zikrullah dan tilawah al Quran. Setelah melapangkan masa tertentu, selalunya mereka mula mendapat kekuatan untuk menghadapi masalah dengan penuh keimanan. Cubalah!
Sumber : Ustaz Gunawan  
                  



BELAJAR BERENANG
            Setelah tamat 10 buah buku mengenai berenang dibacanya. Dia sudah mengetahui pelbagai cara berenang. Seperti kuak dada, lentang dan lain-lain. Namun satu perkara yang masih menjadi kemusykilannya, dia masih tidak pandai berenang! ‘kau perlu ada guru. Jangan hanya membaca daripada buku’. Nasihat seorang temannya. ‘baiklah. Mulai esok aku akan berguru’. ‘mula-mula kita belajar mengapungkan diri’. Kata guru yang mengajarnya. ‘baik, kemudian?’ kedudukan kaki bagaimana? Perut, dada dan kepala bagaimana?’ agak berbuih mulut gurunya memberi penerangan tetapi anak murid itu terus bertanya dan bertanya. Akhirnya guru itu mengalah. Murid yang banyak bertanya seperti itu susah di ajar. ‘engkau belajar sajalah dari guru saya’. Katanya. Setibanya di kolam renang yang baru, dia dibawa terus di tepi kolam renang. Sebaik sahaja meletakkan barang-barangnya, gurunya terus menolaknya ke dalam kolam. ‘tolong! Tolong! Saya tidak pandai berenang!’ guru itu cuma melihatnya dengan selamba. Murid itu tenggelam timbul dalam kolam. Dia mula panik dan begitu takut. Tetapi dalam keadaan terdesak itu, dia ingat semula ilmu renang yang dipelajarinya. Tangan, kaki, perut dan dadanya digerakkan mengikut apa yang dia telah pelajari. Dia benar-benar terdesak. Akhirnya, tanpa dia sendiri menduga. Badannya terapung dan dia sudah mula berenang!

Pengajaran
Cara belajar yang paling berkesan adalah dengan cara mempraktikkan apa yang kita pelajari. Untuk mendapat pengalaman, ilmu perlu diamalkan. Setelah diamalkan barulah apa yang dipelajari dapat dialami. Pengalaman adalah guru yang paling baik.
Sumber : Angguk Geleng



,


LIDAH ANAK YANG BERBOHONG
‘jangan menangis, nanti serigala jadian datang’ kata seorang ibu yang cuba memujuk anaknya yang sedang menangis.
‘Anis, kat luar tu ada peminta sedekah, cakap ayah tak ada’. Suruh seorang ayah kepada anaknya.
‘Tak payah ikut, mak nak pergi klinik. Kalau doktor nampak budak-budak dia akan cucuk kat punggung’. Bohong ibu kepada anaknya supaya anaknya tidak mengikutnya.
Ramai ibu bapa yang terkejut dan marah apabila anaknya sudah pandai berbohong. Namun hanya sedikit ibubapa yang menyedari bahawa tabiat itu sebahagiannya adalah hasil dari ‘didikan’ mereka sendiri. Dialog di atas adalah beberapa contoh situasi berlaku pembohongan ibubapa yang menjadi ikutan anak-anak. Tepuk Dada Tanya iman. Bagaimana kita mahu mendidik anak-anak??




ANCAMAN MASA
          Ganjaran selalu datang beriringan dengan ancaman. Bagi mereka yang bertangguh-tangguh, ada ‘ancaman’ untuk mereka. Antaranya, pesan Imam al Ghazali ‘sesiapa yang telah mencapai umur 40 tahun tetapi kejahatannya masih mengatasi kebaikannya maka bersiap-siaplah untuk masuk ke neraka’.
          Kata-kata tersebut bukan bererti ‘menutup pintu taubat sebelum masanya’. Tetapi hanyalah ancaman buat mereka yang tidak menghargai nyawa (masa). Seseorang pendosa yang telah melangkau 40 tahun, dikira sudah liat dan keras untuk membuat ‘u turn’ dalam hidupnya. Nafsunya begitu buas untuk dijinakkan walaupun mungkin sudah kehilangan tenaga untuk melakukan kejahatan. Jadi, berhati-hati sebaik mencapai usia akil baligh ,wisel ‘perlumbaan’ menuju Tuhan telah pun ditiup. Larian menuju Allah telah pun dimulakan.        Pukul rata umat Nabi Muhammad saw ialah sekitar 63 tahun (mengikut suatu hadis). Justeru, bolehlah dikatakan umur 40 tahun ialah tempoh seorang mencapai tahap ’kelelahan’ dalam perlumbaan itu. Sedangkan menurut ahli psikologi barat, ’hidup bermula pada umur 40’(life begins at 40).
          Jadi, kita di mana? Apakah kita rasa umur 40 tahun itu telah ‘dihujung’ atau masih baru bermula? Ramai juga yang terpengaruh dengan fahaman Barat sehingga tergamak menyatakan, masa muda tidak mengapa ‘terbuat’ jahat, nanti tua baru bertaubat. Padahal menurut Imam al Ghazali, kejahatan itu tumbuh dalam diri manusia umpama akar sepohon kayu, yang semakin lama dibiarkan semakin kukuh mencengkam. Jika hendak ’mencabut’ kejahatan daripada diri seseorang cabutlah pada usia mudanya kerana apabila sudah tua akar kejahatan itu sudah mencengkam dan sukar untuk dirungkai!
          Di padang mahsyar  nanti, antara satu soalan daripada 4 soalan yang Allah akan tanya adalah ‘ke mana umur mudamu dihabiskan?’ Tuhan tidak bertanyakan umur tua. Ini menunjukkan betapa bernilainya masa muda berbanding tua. Jika kita benar-benar sedar hakikat ini, seharusnya tidak timbul soal bertangguh, membuang masa dan membazir waktu dalam kehidupan.

Sumber : Pesan hati Untuk Hati





           





Friday, 1 January 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 204

MENARIK DI DALAM
·        Bagaimana Menilai Masa?
·        Lambat
·        Bersangka Baik Damaikan Jiwa
·        Mudahkan Yang Payah
·        Baca Tergagap pun dapat 2 kali Ganda Pahala 
·        Mungkin, Mungkin, Mungkin, Mungkin
·        Jom Jadi Seperti Sayidina Uthman
·        Hati Oh Hati



BAGAIMANA MENILAI MASA?
Menyedari bahawa hidup terlalu singkat tetapi sangat berharga inilah maka Islam bukan sahaja melarang kita melakukan perkara-perkara dosa,malah juga perkara yang sia-sia. bahkan, jika seluruh masa dalam hidup ini dihabiskan dalam ketaatan pun, manusia masih tidak mampu membalas seluruh kebaikan Tuhan. Apatah lagi, jika banyak masa yang dibuang sia-sia. mereka yang mensia-siakan masa ialah orang yang ’bankrap’ dalam ’perniagaannya’ dengan Tuhan. ’Masa itu umpama pedang. Jika kamu tidak memancungnya, pedang itu akan memancung kamu’. (Sayidina Ali Bin Abi Talib).
Anehnya, masa diukur bukan pada nilai kuantitinya tetapi kualitinya. Bukan lama atau singkat, panjang atau pendeknya tetapi bergantung kepada bagaimana masa diurus dan untuk apa masa digunakan.
Imam al Nawawi rhm. Misalnya, ulama yang tidak panjang usianya tetapi begitu besar jasanya. Malah hingga kini kitab-kitab yang ditulisnya dinilai ’sangat luar biasa’ bukan sahaja dari segi kerelevanan dan signifikannya tetapi juga tempoh masa untuk menghasilkannya berbanding usianya yang relatif singkat!.
Lihat juga masa pemerintahan Umar Ibn Abdul Azizi yang begitu pendek (hanya sekitar 2 tahun) berbanding masa pemerintahan khalifah Bani Umayyah yang lain tetapi terus dikenang sebagai pemerintah yang sangat mirip dengan khulafa ar Rasyidin. Bukan kerana kuantiti masa pemerintahannya tetapi kerana kualiti kepimpinannya—Umar Ibn Abdul Aziz mengatasi kredibiliti khalifah-khalifah yang lain. Lihat pula bagaimana Rasulullah SAW mendidik para sahabat yang begitu ’mencemburui’ tempoh masa berjihad dan beribadat oleh seorang mujahid silam bani Israel bernama Sam’un al Ghazi menerusi turunnya surah al Qadar yang menunjukkan betapa kualiti ibadah malam itu (oleh umat Nabi Muhammad saw) melebihi 1000 malam.
Kuantiti masa tidak boleh ’dipanjangkan’ tetapi kualitinya boleh dipertingkatkan. Justeru dalam Islam banyak hadis yang menjelaskan tentang fadilat sesuatu amalan yang digandakan melebihi tempoh masa dan tenaga yang digunakan. Rasulullah saw pernah menegaskan bahawa sesiapa yang solat jemaah isyak berjemaah, seolah dia telah menghidupkan separuh malamnya, dan siapa yang solat subuh berjemaah seolah dia menghidupkan keseluruhan malamnya. (Riwayat Muslim)

Sumber : Pesan Hati Untuk Hati
                  




LAMBAT
‘mengapa jodoh aku lambat’? ‘Aku dah lama berdoa, lambatnya termakbul’. Awas, mulut jangan sampai menuturkan sebaris ayat ini. Kita akan berang jika janji lambat ditunaikan. Pinjam barang lewat dipulangkan. Sedangkan janji dengan Allah itu yang perlu disegerakan. Kita mahu Allah segera makbulkan doa, sedangkan kita melambat-lambatkan urusan dengan Allah. Lebih-lebih lagi, kita kita tahu rencana Tuhan, Pastinya pada setiap perkara yang dilambatkan itu Allah menyediakan kebaikan. Kebaikan yang mungkin kita tidak tahu melainkan selepas melaluinya. Lambat, pastinya ada kebaikan. Cepat, pastinya terhimpun hikmah. Tinggal sahaja bagaimana kita memanfaatkan setiap pemberian Allah. Hal yang baik mesti dipercepat, perbuatan yang buruk elok diperlambat.
Sumber : viceversa

  

BERBAIK SANGKA DAMAIKAN JIWA
Cara pandang hati dan fikiran mesti baik atau positif, barulah kita akan mendapat kebaikan dan hasil yang positif. Inilah yang selalu dipesankan oleh para ulama dan pakar motivasi ‘Mesti sentiasa berfikiran positif’. Berfikiran positif bukanlah menafikan realiti sehingga hitam dikata putih. Sebaliknya melihat yang hitam dengan hati dan fikiran yang ‘putih’ (bersih). Sehingga dengan itu,  seseorang mampu mendapat yang putih (kebaikan) daripada satu yang hitam (keburukan). Sekiranya masih ada pilihan dan peluang untuk mendapatkan kebaikan, sikap berbaik sangka adalah wajar; itulah harapan untuk mendapat kebaikan walaupun individu, situasi atau keadaan yang sedang dihadapi tidak baik.
Sangka baik, dapat baik. Begitulah prinsip perjuangan yang diamalkan oleh pemimpin-pemimpin besar yang menginginkan kebaikan buat bangsa, rakyat atau umatnya. Rasulullah sendiri, ketika dibaling batu ketika berdakwah di Taif, terus bersangka baik kepada umatnya dengan mendoakan ‘Ya Allah ampunkan kaumku kerana mereka tidak tahu. Aku mengharapkan zuriat mereka kelak akan beriman dengan seruanku’. Harus diingat yang sikap bersangka baik bukan penghalang untuk memberi teguran, nasihat bahkan amaran sekiranya kesalahan dan kemungkaran berlaku secara terang-terangan dan berulang-ulang kali. Sebelum mengharap Allah menilai kita dengan baik, didiklah diri menilai orang lain dengan baik terlebih dahulu. Yang penting bukan siapa yang kita lihat tetapi ‘siapa kita’ ketika melihatnya.
Sumber : SOLUSI






MUDAHKAN YG PAYAH
            Seorang lelaki mengadu kepada seorang doktor pakar mengenai masalahnya yang tidak dapat tidur malam. Pelbagai usaha dilakukan, namun tidak berhasil.
‘apa yang menggangu fikiran kamu sehingga tidak dapat tidur?’
‘saya rasa ada seekor dinasor bersembunyi di bawah katil saya. Apabila saya memejamkan mata, ia akan membaham saya!’ ‘masalah awak hanya ada pada pemikiran awak. Tidak ada dinasor. Percayalah!’ ‘ada’ jawabnya penuh yakin.  doktor itu mengadakan mesyuarat dalam kalangan doktor-doktor pakar untuk membincangkan masalah ini. ‘jelas, ini masalah psikologi’. ‘ini masalah fobia akibat didikan masa lampau’. Kata doktor yang lain. ‘saya rasa ini masalah saraf’. Kata doktor pakar saraf. ‘baiklah, saya berikan masa untuk kamu semua mencuba kaedah masing untuk mengubatinya’. Rumus doktor tersebut. Selepas seminggu, pesakit itu masih merasakan ada dinasour di bawah katilnya.
            Di rumah doktor iru termenung panjang. ‘kenapa ayah termenung? Ada masalah dengan pesakit ke? Apa boleh saya tolong?’ Tanya anaknya yang berusia 7 tahun. Dalam hati doktor terdetik, kalau doktor-doktor pakar pun tidak dapat menyelesaikannya, inikan pula budak setahun jagung! Namun untuk meraikannya, doktor itu bercerita. ‘kalau begitu potong saja kaki katilnya!’. ‘apa pula kaitan kaki katil dan tidak boleh tidur?’ ‘kalau kita potong kaki katilnya, sudah tentu dinasor itu tak ada tempat untuk bersembunyi!’ ‘ya, tak ya juga’. Bisik doktor itu dalam hati. Esoknya, kaki katil si pesakit dipotong. ‘nah, sekarang dinasour itu tidak ada tempat lagi untuk bersembunyi di bawah katil kamu. Kamu boleh tidur sekarang’. Benarlah, si pesakit itu pun boleh tidur dengan nyenyaknya.

Pengajaran
Betapa banyak masalah besar dapat dirungkaikan apabila kita berfikir dengan santai, bebas dan keluar daripada kotak pemikiran yang biasa.
Sumber : Angguk Geleng




BACA TERGAGAP PUN DAPAT DUA KALI GANDA PAHALA

‘orang yang membaca al Quran dan mahir dengan bacaannya, maka dia akan bersama malaikat. Dan orang yang membaca al Quran dengan tersangkut-sangkut, dia berasa susah sekali untuk membacanya, maka dia akan memperoleh dua pahala. (Riwayat al Bukhari). Pemurahnya Allah. Sekali-kali tidak akan sia-sia apa sahaja perkara baik yang kita buat di dunia. Allah hanya hendak melihat kesungguhan hati hambaNya beramal demiNya biarpun hasilnya tidak seberapa.

 

 



AKTIVITI
MUNGKIN, MUNGKIN, MUNGKIN, MUNGKIN
1. solat berjemaah di masjid. Seorang anak muda berseluar jeans, berbaju T makmun di sebelah kita. Usai sahaja salam, dia terus bangkit keluar.
2. Seorang Muslim memegang anjing.
3. Seorang bercakap dengan kita dengan muka yang masam.

Cuba andaikan 4 kemungkinan positif tentang setiap situasi yang dinyatakan. Jom kita bersangka baik dalam semua keadaan.



           


JOM JADI SEPERTI  SAYIDINA UTHMAN  

Kehebatan Sayidina Uthman bin ‘Affan terletak kepada sifat malunya. Dunia dan segala isinya tidak mungkin menandingi sehinggakan malaikat turut malu kepadanya.  Rasulullah bersabda bahawa Uthman ialah orang daripada  Umat baginda yang paling benar sifat malunya. (Riwayat al Tirmizi) al Munawi dalam karyanya Faidh al Qadir menyebut ‘keistimewaan Uthman ialah sifat malunya. Rasa malu merupakan sifat yang lahir daripada pengagungan kepada sesiapa yang dilihatnya dan dia memang memiliki kedudukan agung disertai kekurangan yang dirasakan pada dirinya. Pengagungan Uthman kepada Allah mendominasi dirinya dan dia melihat dirinya sendiri dengan kekurangan dan keterbatasan. Uthman melonjak kerana itu, sehinggakan makhluk Allah yang khusus pun malu kepadanya. Sepertimana orang yang mencintai Allah maka Allah pun mencintai wali-waliNya dan orang yang takut kepada Allah maka setiap sesuatu akan takut kepadanya’.




HATI OH HATI
Hati ialah raja diri. Maka untuk memperbaiki diri, usaha memperbaiki hati perlu dijalankan. Hati sangat mudah terkesan dengan suasana. Suasana yang baik akan mempengaruhi hati ke arah kebaikan. Suasana yang tidak baik mempengaruhi hati ke jalan sebaliknya.