Google Ads

Thursday, 3 December 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 175

MENARIK DI DALAM
·        Korbankan Nikmat Dunia
·        Segar
·        Tahap pengorbanan
·        Doa Untuk Si dia
·        Ikhlas Dalam Bekerja
·        Tahu Tetapi tidak sedar
·        50 Sen vs RM50
·        Kemahiran Hidup atau Tujuan Hidup?

KORBANKAN NIKMAT DUNIA 
Orang mukmin sanggup mengorbankan kenikmatan dunia yang sementara dan sedikit untuk mendapat kenikmatan akhirat yang lebih baik dan kekal. Mereka sanggup mengorbankan cinta makhluk yang tidak kekal dan rapun bagi meraih cinta Allah yang abadi dan teguh. Mereka rela kehilangan cinta makhluk untuk mendapat cinta Allah.



SEGAR
Ramadhan semakin hampir dan akan tiba. Persediaan untuk menghadapinya juga makin rancak demi memastikan ini Ramadhan yang terbaik. Untuk mengharungi sebulan Ramadhan memerlukan badan yang sihat dan bertenaga. Tubuh yang segar untuk melakukan ibadah puasa pada siang hari dan menghidupkan malam-malamnya dengan solat terawih dan ibadah-ibadah lain. Badan yang segar memberi semangat untuk memanfaatkan tempoh sebulan Ramadhan yang menjadi ‘pesta ibadah’ dengan bermacam-macam ganjaran dan kelebihan yang Allah janjikan. Lalu, persediaannya harus bermula sejak awal. Jika 1 Ramadhan baru mempersiapkan diri, alamatnya belum petang badan sudah letih lesu. Badan terkejut menerima perubahan rutin. Berpuasa sunat, disiplin membaca al Quran, latihan bersedekah dan solat berjemaah hanya contoh didikan untuk memasuki ‘universiti Ramadhan’. Jika sudah bersedia, kita melangkah memasuki ‘universiti Ramadhan’ dengan badan, mental dan hati yang segar dan penuh bersedia. Sebulan Ramadhan, kesannya sepanjang tahun. 


           

SABDA RASULULLAH
‘setiap daging yang tumbuh dengan perkara yang haram, maka nerakalah yang lebih utama untuknya’.
(Riwayat al Tabrani)




TAHAP PENGORBANAN 

 PENGORBANAN HARTA

Secara tabii, manusia sememangnya mencintai harta. Harta yang dicintai itulah yang mesti dikorbankan demi cinta Allah. Mulakanlah dengan mengorbankan harta yang wajib seperti zakat fitrah dan zakat harta. Apabila cukup haul dan nisab, orang Islam wajib mengeluarkan zakat. Jika tidak,hukumnya berdosa. Bagi mereka yang masih berlebihan hartanya, maka berinfaklah melalui ibadah wakaf. Tidak akan terjejas harta jika mengorbankan satu, dua bahkan beberapa ekor haiwan korban pada hari raya Aidiladha dan hari Tasyrik serta tidaklah ‘menyakitkan’ (sedangkan korban itu mesti sesuatu yang menguji hati)

 

 PENGORBANAN MASA DAN TENAGA

Bagi yang tidak mempunyai harta, masih boleh berkorban harta yang bukan dalam bentuk material seperti  tenaga dan masa. Bagi yang mempunyai kesihatan dan kekuatan badan boleh menggunakan kekuatan fizikalnya untuk membantu orang yang lemah dan susah. Tegasnya, orang Islam boleh melakukan kerja amal, gotong –royong , memberi  bantuan kepada mangsa kebakaran, banjir dan insan-insan yang memerlukan. Begitu juga dalam kerja-kerja dakwah dan usaha mendaulatkan agama, seperti meghadiri Usrah, mengikuti usrah, dan meakukan ziarah. Semua ini menagih masa dan tenaga.

 

 PENGORBANAN JIWA

Berkorban jiwa merupakan kemuncak pengorbanan. Sanggup mati syahid di jalan Allah ialah pengorbanan yang tertinggi kerana nyawa lebih berharga daripada masa, tenaga dan harta. Anak tangga menuju syahid perlu di lalui setapak demi setapak. Bermula dengan mengorbankan kepentingan dunia, kehendak hawa nafsu, melawan bisikan syaitan, dan memerangi sifat mazmumah. Rasa marah misalnya, mesti dilawan agar tunduk kepada syariat. Jika marah tidak diatasi, dikhuatiri perjuangan di jalan Allah akan sia-sia.

 

 


DOA UNTUK SI DIA
Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad saw bersabda ‘Sesiapa yang mendoakan saudaranya pada saat tidak dia tidak bersamanya, maka malaikat yang diamanahkan untuk menjaga dan mengawasinya berkata. Semoga Allah mengabulkan, dan bagimu semoga mendapat yang semisalnya. (riwayat Muslim)


IKHLAS DALAM BEKERJA
Kita memberi bukan untuk menerima. Kita menabur budi bukan untuk dianggap berjasa. Apa yang sepatutnya diharapkan adalah keredaan Allah semata-mata. sesungguhnya, apa yang dijanjikanNya lebih baik, kekal dan abadi. Namun, bukan mudah untuk mendapat keikhlasan. Dalam samar mainan rasa kadangkala, malah selalu, kita menagih penghargaan dan terima kassih daripada manusia. Padahal manusia sering mengecewakan kita. Sudah masyhur kata bijak pandai ‘siapa yang mengharapkan terima kasih atas kebaikan yang dilakukannya akan mengalai sakit jiwa’. Mengapa? Hal ini demikian kerana umumnya majoriti manusia tidak pandai berterima kasih. Lalu bersedialah, jika madu yang anda berikan, mungkin tuba yang akan anda dapat sebagai balasan.


TAHU TETAPI TIDAK SEDAR

Kerja itu satu ibadah. Itulah hakikatnya. Malangnya, ramai umat Islam hanya tahu kerja itu satu ibadah tetapi tidak sedar kerja itu satu ibadah. Apa bezanya antara tahu dan sedar? Tahu hanya sekadar di kepala (pemikiran) manakala sedar itu di hati (penghayatan). Antara sedar dan tahu bukan sahaja berbeza maknanya tetapi juga berbeza implikasinya. Orang yang hanya mengetahui kerja itu satu ibadah tidak akan bersungguh-sungguh, amanah dan bertanggungjawab berbanding dengan orang yang menghayatinya. Faktor inilah yang menyebabkan ibadah umum tidak ditangani dengan sebaik-baiknya berbanding ibadah asas (wajib). hampir tidak pernah kita dengar seorang yang solat subuh (secara bersendirian) bertindak ‘memotong’ bilangan rakaat menjadi satu walau bagaimana letih, mengantuk atau uzur sekalipun dirinya. Ya, begitu amanah. Malangnya, kita selalu dengar orang ponteng, curi tulang, main-main dan membuang masa ketika bekerja. Padahal solat itu 1 ibadah dan kerja itu juga 1 ibadah.begitu juga jarang berlaku orang Islam curi minum dan makan sewaktu berpuasa di bulan Ramadhan, tetapi perbuatan rasuah, sogok dan menipu kerap berlaku dalam urusan perniagaan. Mengapa terjadi begitu? Bukankah kita wajib menjadi hamba Allah di dalam dan di luar solat?



50 SEN VS RM50
            Pada satu hari, duit syiling 50 sen bertemu dengan kawan lamanya, duit kertas RM50. dek terlalu sibuk bermusafir ke sana sini, bertukar-tukar tangan, mereka jarang bersua. Apa tidaknya, wang kertas RM50 itu berjalan sakan, sampailah ke luar Negara pun sudah dijelajahnya. Manakala duit syiling 50sen, khidmatnya terbatas dalam Negara sahaja.  Wang kertas RM50 yang baru pulang dari Paris ditegur oleh duit syiling 50 sen yang dikenali itu di satu pesta membeli belah di ibu kota baru-batu ini. ‘Assalamualaikum. Apa khabar, lama tak nampak?’ ‘Waalaikumussalam. Alhamdulillah, sihat, tetapi penatlah sikit’. Jawab wang kertas Rm50 ringkas.’kenapa pula penat?’ ‘Aku ni, serata dunia pergi. Singapura, Indonesia, Eropah dan macam-macam  tempat. Masuk hotel, pawagam, pasar raya dan banyak lagilah’.
            ‘hah, kamu macammana pula sekarang? Lama tak nampak?’ kini giliran wang kertas Rm50 pula bertanya khabar. ‘huh, aku macam tu la juga! Masuk masjid, tandas awam balik, masuk masjid balik. Aku ni tak sempat merasai ke luar Negara macam engkau tu’. ‘oh, begitu’. Mereka diam seketika. Sambil itu, mereka memandang gelagat pembeli yang sedang berebut-rebut membeli. Alah membeli menang memakai tu. ‘ehh..engkau bila lagi nak masuk masjid?’ tiba-tiba wang syiling 50 sen bertanya memecahkan kesepian. Wang kertas syiling 50 sen bertanya memecahkan kesepian. Wang kertas Rm50 menoleh memandang wang syiling 50 sen. Kelu seketika. ‘kenapa engkau tanya aku pula, tanyalah orang ramai yang membeli belah itu’. Serentak mereka teersenyum, senyum kambing.

Pengajaran
Apabila ingin menderma di masjid, jangan hanya bagi duit syiling sahaja. Jangan samakan nilai sedekah yang ingin diberi dengan nilai khidmat tandas awam yang kita biasa guna. Apa salahnya jika sekali sekala hulurlah pula duit kertas. 
Sumber: Angguk Geleng







KEMAHIRAN HIDUP ATAU TUJUAN HIDUP
Ramai manusia (termasuk umat Islam)  tidak serius tentang misi hidup. Ironinya, mereka lebih menitikberatkan persoalan ‘kemahiran’ hidup berbanding ‘tujuan’ hidup. Akibatnya, ramai yang gagal memanfaatkan masa, tenaga, dan sumber yang dikurniakan Allah secara optimum.



SABDA RASULULLAH
‘setiap daging yang tumbuh dengan perkara yg haram, maka nerakalah yg lebih utama untuknya’.
(Riwayat al Tabrani)

 
 

Wednesday, 2 December 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 174

MENARIK DI DALAM
·        Menjadi Protagonis Di Mata Allah
·        Doa Pengasih
·        Sebaik-baik Teman
·        Jenis Kisah Sejarah Dalam al Quran
·        Salah Sangka Ada Manfaatnya
·        Adab makan
·        Membina Diri Berpengaruh




MENJADI PROTAGONIS DI MATA ALLAH

¤ Tabah melalui hidup
¤ Reda atas apa yang berlaku
¤ Sabar menempuhi ujian, selesaikannya dengan sebaik-baik kemampuan
¤ Syukur atas nikmatNya, berusaha mencapai yang lebih baik
¤ Setiap hari, tingkatkan diri.




DOA PENGASIH
‘Ya Allah, sesungguhnya aku mohon kepadaMu akan cintaMu, cinta orang yang mencintaiMu, dan amalan yang membawa kepada cintaMu. Ya Allah jadikan cintaku kepadaMu lebih daripada cintaku kepada diriku sendiri , keluargaku dan air yang dingin’.



SEBAIK-BAIK TEMAN
Sebaik-baik teman ialah orang yang bertemu dengannya mengingatkan kita kepada Allah, percakapannya menambahkan semangat kita untuk beramal dan amalannya mengingatkan kita kepada akhirat’.
(Musnad Abu Ya’la)


JENIS KISAH SEJARAH DALAM AL QURAN

 Kisah Para Nabi dan Rasul Terdahulu.

Mengandungi kisah tentang perjalanan dakwah para Nabi dan Rasul kepada Kaum mereka. Misalnya kisah Nabi Nuh, Ibrahim, Musa, harun, Isa dan Muhammad saw.

 

 Kisah-kisah orang  terdahulu selain Nabi.

Misalnya kisah orang yang keluar dari kampungnya, dengan jumlah beribu-ribu ramainya kerana takut mati, kisah jalut dan Talut,2 orang anak Nabi Adam, pemuda yang tersembunyi di dalam gua (ashabul Kahfi), Zulkarnain, orang yang menangkap ikan pada hari sabtu, Maryam dan lain-lain.

 

 Kisah-kisah zaman Rasulullah.

Contohnya Perang Badar, Perang Uhud, al Hijrah, al Isra’ dan lain-lain.

 

Tujuannya untuk :

1. Menetapkan keesaan Allah dan mengandungi perintah untuk menyembah Allah.

2. Mengukuhkan wahyu dan kerasulan

3. Menetapkan hari kebangkitan dan hari pembalasan

4. Mengukuhkan hati Nabi dan umatnya

5. Pelajaran daripada para Rasul dan Umat mereka

6. Menerangkan tentang balasan terhadap umat terdahulu dan pengakhiran mereka.

7. Mendidik kaum muslimin.

8. Menyeru kepada kebaikan dan pemulihan serta menjauhkan kerosakan.

9. Melawan rasa putus asa dengan kesabaran

10. Menerangkan kekuasaan Allah melalui mukjizat

11. Menerangkan kurniaan Allah terhadap para Nabi dan Rasul terpilih.

 

 

 

 

 


SALAH SANGKA ADA MANFAATNYA
You’re what you think. Kadangkala, tersalah sangka juga ada manfaatnya, terutamanya apabila kita menyangka niat seseorang yang jahat itu sebenarnya baik untuk kita, lalu kita mendapat manfaat daripadanya.



BAS NOMBOR 18
            ‘Maaf tuan, saya ingin pergi ke hospital besar. Tetapi saya tidak pasti bagaimana untuk ke sana. saya baru sahaja sampai di KL ni’. Seorang lelaki bertanya seorang pegawai polis. ‘baiklah  kamu pergi ke stesen bas di depan sana. Tunggu bas 18. bas itu akan bawa kamu ke sana’. ‘baiklah, terima kasih’. Pegawai polis itu berlalu pergi dengan kereta perondanya. 4 jam kemudian, polis berkenaan melalui lagi tempat berkenaan. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati lelaki yang bertanya tadi masih di situ menunggu bas.
            Polis itu segera menghampirinya dan bertanya ‘kamu masih menunggu? Kan saya dah kata naik bas 18?’ ‘oh tuan! Ya tuan, saya sedang menunggu bas. Setakat ini baru 16 buah bas yang lalu. Tinggal dua buah bas saja lagi untuk sampai bas yang ke 18. dah tak lama dah..’

Pengajaran
Ada sesetengah orang perlu dibimbing sehingga dia berjaya melakukan sesuatu, seperti mengajarkan anak-anak kecil terutama dalam soal akidah dan ibadah. Kita bukan semata-mata memberikan maklumat tetapi bersama-sama mereka mempraktikkannya. 
Sumber : Angguk Geleng





ADAB MAKAN

 Makan Berjemaah

 Baca ‘Bismillah’, berdoa ketika makan dan mulakan dengan tangan kanan.

 Dahulukan makan dari tepi bukan dari tengah.

 Menjilat jari setelah makan dan mengutip makanan Yang Terjatuh.

 Menyukat Kadar Makanan

 Tidak mencela makanan yang tidak disukai

 Mencuci tangan sebelum dan sesudah makan

 Makan menggunakan tangan kanan

 Tidak bersandar ketika makan

 Makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang

 Tidak memperlihatkan rasa jijik terhadap makanan yang tidak biasa di makan atau tidak disukainya.

 Makan dan minum sambil duduk

 Tidak bernafas ketika minum dan menjauhkan mulut dari tempat minum ketika bernafas.

 Tidak berprasangka buruk jika makan ditemani orang yang berpenyakit

 Tidak duduk di meja yang menghidang makanan haram

 Mendahulukan orang di sebelah kanan.

 

 

 

 

 

 


MEMBINA DIRI BERPENGARUH

 

ANDA TIDAK BOLEH HIDUP SENDIRIAN

 Jalinkan sikap bekerjasama dan saling menolong. Seperti melantun bola getah ke dinding, semakin kuat anda membaling semkin kuat ia melantun kembali.

 

TERIMA PERBEZAAN SEMUA ORANG

 Setiap orang mempunyai ciri,sikap, dan personaliti yang berbeza. Hadapinya secara bersemuka. Jangan sibuk ’berpolitik’ di tempat kerja semata-mata kerana tidak suka kepada seseorang.   

 

BANTU MEREKA YANG DALAM KESUSAHAN 

 Orang yang meminta mempunyai tahap keperluan yang lebih tinggi daripada orang yang tidak meminta. Tetapi bukanlah anda tidak perlu menolong orang yang tidak meminta. Tolonglah semua orang yang mengalami kesulitan.

 

BINA ANGGAPAN BAHAWA SETIAP ORANG ADALAH UNIK

 Lihatlah ‘ke dalam’ diri seseorang. Lihatlah ciri yang menarik dan unik dalam dirinya.

 

SELIDIKI ‘SUIS PERADANG’ORANG LAIN

 Berhati-hatilah dalam bergaul jika anda masih belum benar-benar mengenalinya. Elakkan daripada ’memetik’ kemarahan orang lain. 

 

BERPENGARUH DENGAN KUASA PENGETAHUAN

 Dapatkan pengetahuan spesifik sebanyak mungkin dan gunakan untuk membina pengaruh dan kecenderungan orang lain terhadap anda.

 

  KUASA KEBERSAMAAN 

 Sentiasa bersama dan memahami kehidupan orang lain. Bina rasa kebersamaan. Kemudian cetuskan idea perubahan daripada status yang sedia ada kepada status yang baharu. Biasanya, mereka akan turut ‘menyinsing lengan’ untuk melakukan perubahan seperti anda.

 

BERIKAN MASA SECUKUPNYA

 Kepercayaan orang lain terhadap anda tidak boleh dibina dalam masa sehari. Ia perlukan masa dan kegigihan untuk mendapatkannya. Berlaku konsisten dalam banyak hal dan elakkan daripada hipokrit dan rakan-rakan anda. Ia akan memberikan integriti dan kredibiliti.

Sumber: Ahmad Fadzli Yusof

 

 

 

 

 




Tuesday, 1 December 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 173

MENARIK DI DALAM
·        Oh! Baru Tahu
·        Teka Teki Rasulullah
·        Ikat Untamu dahulu
·        Dusta Yang Tidak Disedari
·        Batu Besar
·        Ingat Allah, Kerja Senang
·        Intipati Nasihat Luqmanul Hakim



OH! BARU TAHU..
Ubay bin Ka’ab menceritakan bahawa pada suatu hari orang musyrik datang kepada Rasulullah ‘Wahai Muhammad, ceritakan kepada kami keturunan Tuhanmu!’ Maka Allah menurunkan surah ini. (Riwayat Ahmad)
1.  Katakanlah  wahai Muhammad ‘Tuhanku ialah Allah yang Maha Esa.
2. ‘Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat’
3. ‘(Allah) tiada beranak dan pula tidak diperanakkan’.
4. ‘Dan tiada sesiapa pun yang serupa denganNya’.


           


TEKA TEKI RASULULLAH
Suatu hari, Nabi melontarkan teka teki berikut
‘Beritahu aku tentang sejenis pokok yang seperti seorang Muslim. Daunnya tidak gugur. Tidak itu dan ini. Buahnya dimakan sepanjang masa’. (Riwayat Muslim)
Jawapan: lihat di akhir edisi ini




IKAT UNTAMU DAHULU…..
Suatu hati, Nabi Muhammad melihat seorang Badwi meninggalkan untanya tanpa mengikat talinya. Baginda bertanya Badwi itu ‘Mengapa tidak ikat unta kamu?’ Badwi menjawab ‘aku telah berserah diri kepada Allah’. Nabi Kemudiannya berkata ’ikat unta kamu terlebih dahulu, kemudian bertawakallah kepada Allah’. 
(Riwayat al Tirmizi)


DUSTA YANG TIDAK DISEDARI

Terdapat pelbagai jenis dusta yang kadangkala kita sedari dan kadangkala kita tidak sedari semasa melakukannya. Antaranya adalah:

 

BERDUSTA  KEPADA ALLAH

 Dusta yang paling besar ialah berdusta terhadap Allah dengan menyandarkan sifat kepada Allah dengan sifat yang tidak pernah Allah sifatkan kepadaNya.

 Menyatakan ’yang ini haram’ dan ’yang itu halal’ tanpa petunjuk daripada Allah. Apatah lagi menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.  

 

BERDUSTA ATAS NAMA RASULULLAH

 Berdusta atas nama Rasulullah ialah dengan menyandarkan dengan sengaja sesuatu perkataan kepadanya padahal baginda tidak pernah menyatakannya.

 Menyebarkan ‘hadis’ yang sebenar-benarnya bukan daripada kata-kata baginda sebaliknya direka untuk tujuan dan kepentingan tertentu.penyebaran hadis palsu dengan sengaja juga turut dianggap berdusta atas nama Rasulullah.

 

BERDUSTA AGAR ORANG LAIN TERTAWA

 Kadangkala ada kalangan kita yang berdusta semata-mata untuk dijadikan bahan ketawa bersama rakan-rakan. apa kata Rasulullah tentang isu ini? Rasulullah bersabda ’celakalah bagi orang yang berbicara kemudian berdusta untuk membuat orang tertawa, celaka baginya, celaka baginya!’ (Riwayat Abu Dawud)

 

DUSTA SEORANG KEPADA ANAKNYA

Termasuk dalam perkara dusta adalah apabila seseorang berjanji untuk memberikan sesuatu kepada anaknya tetapi sebenarnya dia tidak akan memberikannya.

 

DUSTA SEORANG PENIAGA

 Kadangkala ada diantara  peniaga yang berkata ’mari sini abang, barang ini dah 100 orang beli, tinggal lagi 2 terakhir. Rugi kalau abang tak beli!’ padahal belum ada seorang pun yang membeli barangannya.  Berbicara tentang golongan ini, Rasulullah bersabda ’ 3 golongan yang mereka pada hari kiamat dan tidak menyucikan mereka dan bagi mereka azab yang pedih iaitu orang yang melabuhkan pakaian sehingga lebih buku lali, orang yang mengungkit kebaikan dan orang yang melariskan barang niaganya dengan sumpah dusta’. (riwayat Muslim)

 

 

 


BATU BESAR
            Seorang petani mempunyai beberapa ekar tanah sawah yang sangat luas di sebuah kampung. Berbekalkan sedikit duit simpanan sebagai pendahuluan, petani tersebut membuat pinjaman dari sebuah bank bagi membeli sebuah traktor pembajak sawah. Kerja membajak tanah sawah kini bertambah mudah berbanding menggunakan kerbau. Namun ada masalah lain pula yang dihadapi. Setiap kali membajak tanah, pasti ada bilah tajak yang dipasang pada traktor itu yang patah. Puncanya hanya satu. Di tengah-tengah tanah sawahnya itu ada sebiji batu yang besar.
            Setelah 2 tahun berlalu, isterinya mencadangkn agar batu tersebut dikorek dan dialihkn dari tanah sawah mereka itu agar tidak lagi berlaku bilah tajak yang patah. Petani tersebut turun kembali ke sawah. Di tenung lama-lama batu tersebut. Akhirnya dia mengambil sebatang kayu. Dia ingin menduga kedalaman batu itu. Dia menuil sedikit pada sisi batu tersebut. Alangkah terperanjatnya dia apabila mendapati kedalaman batu itu kelihatan besar, hakikatnya batu itu nipis. Petani itu kembali membawa sebilah kapak. Digunakan belakang kapak dan mengetuk permukaan batu. Selepas 3 kali mencuba, batu tersebut pecah kepada beberapa kepingan kecil. ’oh..rupa-rupanya senang aje nak pecahkan dan alihkan batu ni’. Getus petani itu.  

Pengajaran
Manusia sering memandang masalah kecil sebagai 1 masalah besar. Malah mereka sering berhadapan dengan masalah yang sama berulang kali kerana tidak yakin dengan kemampuan mereka untuk menyelesaikan masalah. Hakikatnya kemampuan dan potensi manusia menyelesaikan masalah itu lebih besar daripada masalah yang wujud. 
Sumber : Angguk Geleng





INGAT ALLAH ,KERJA SENANG,
HATI TENANG
¤ SENTIASA BERGANTUNG KEPADA ALLAH
Bekerjalah dengan penuh ketekunan  agar menjadi pekerja yang sangat komited melaksanakan tugas.  Lakukan bersungguh-sungguh supaya matlamat organisasi  tercapai. Segala ketentuan kita serahkan kepada takdir Allah.

¤ KUASA MANUSIA TERHAD
Walaupun perlu menjalankan tugas dengan sebaik mungkin berdasarkan kebolehan kita, namun perlu ingat bahawa kita tiada kuasa mengawal semua perkara. Hasilnya, ada yang berjaya,ada yang tidak. Sebaik melakukan tugas, serahkan keputusannya kepada Allah. 





INTIPATI NASIHAT LUQMAN AL HAKIM

Ayat 12-13 Hidup Bebas Syirik.
Luqman mengingatkan anak-anaknya tentang bahaya syirik . Satu-satunya dosa yang Allah tidak sudi ampunkan selepas mati, jika belum bertaubat.

Ayat 14 -15 Motivasi Bakti Ibu Bapa
Luqman menyuntik motivasi berbakti kepada ibu bapa
A) mentatati ibu bapa selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam
B) Tidak membantah dan kasar tutur bicara
C) Ibubapa orang yang paling banyak berkorban demi si anak.

Ayat 16 Setiap Perbuatan Berbalas 
Luqman menanam prinsip bahawa setisp perbuatan baik—buruk sekecil mana pun akan dibalas Allah. Beliau memisalkan satu biji benih sawi di tengah-tengah padang pasir pun diketahui Allah.

Ayat 17 Solat, Amar makruf Nahi Mungkar dan Bersabar
Luqman mengingatkan anak2nya
A) Komited solat, bukti komitmen paling asas seorang hamba terhadap Allah
B) Tidak padan dengan diri sendiri sahaja baik, mesti membimbing orang lain untuk menjadi menjadi baik juga dengan amar makruf nahi mungkar.
C) Tetap bersabar melaksanakan amar makruf nahi mungkar yang sudah pasti banyak ujiannya.

Ayat 18 –19 Akhlak dilupa Jangan
Luqman menegaskan supaya benar-benar menjaga akhlak sesama manusia, hinggakan beliau mengajar seremeh-remeh adab
A) Jangan memalingkan muka daripada orang lain
B) Jangan berjalan dengan lagak sombong, berjalan secara sederhana
C) Bercakap dengan suara rendah. Tidak lantang, menjerit-jerit
D) Ramai yang rajin beribadah dan mengaji, namun tidak baik hubungannya dengan orang lain. 




JAWAPAN TEKA TEKI
Pohon Tamar
(Muslim diibaratkan pohon Tamar kerana sikapnya yang sentiasa memberi manfaat kepada sejagat)