Google Ads

Saturday 16 April 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 245


MENARIK DI DALAM
·        Bercerita Kepada Anak-Anak
·        Terhantuk
·        Mutiara Kata
·        Cara Allah memakbulkan doa
·         Benar



BERCERITA KEPADA ANAK-ANAK

Apa yang boleh kita bacakan dalam cerita-cerita itu?

 

Kisah-Kisah Terdahulu Yang Benar-Benar Berlaku

Kisah-kisah para Nabi dan para sahabat sangat menarik dan sarat dengan pengajaran tentang akhlak dan hikmah yang mengagumkan. Tambahan pula, kisah-kisah ini juga tidak membosankan walau diulang-ulang.

 

Kisah Yang Tiada Unsur Khurafat

Kisah yang dibawa oleh Rasulullah saw tiada unsur-unsur khurafat dan mitos. Tetapi apa yang berlaku kini, anak-anak kita lebih ditonjolkan dengan kuasa power rangers , Ultraman, Naruto dan sebagainya. Akhirnya anak-anak kita lebih mengenali Naruto Sayidina Umar. Anak-anak lebih mengenali Barbie berbanding Sayidatina Fatimah dan sebagainya. Sedangkan orang yang bernama Naruto dan Barbie tidak pernah wujud pada realitinya.   

 

Kisah Fiksyen dan Benar

Anak-anak juga memerlukan kisah fiksyen demi mengembangkan daya imaginasi mereka seluas mungkin. Misalnya pengetahuan tentang perjalanan planet-planet termasuk bumi yang akur dengan peraturan Allah swt. Mereka juga perlu belajar daripada alam misalnya sifat-sifat dan kandungan laut dan sungai, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya.

 

Kisah Ajaib dan Fanatik

Banyak perkara ajaib yang berlaku pada para nabi dan Rasul. Begitu juga kepada para sahabat yang kuat keyakinannya kepada Allah. Nabi dan Rasul dikurniakan mukjizat yang banyak. Terdapat ibubapa yang menganggap kisah silam atau motivasi keagamaan ini boleh didapati di sekolah-sekolah agama, lalu diserahkan kepada guru. Sebenarnya sekadar itu tidak mencukupi. Apatah lagi cara penyampaiannya kebanyakan lebih formal, sekadar pengetahuan bukan kepada tahap penghayatan.

 

Sumber : Didiklah Dari Hati




TERHANTUK
Seorang Ustaz menegur seorang pelajarnya yang berlilit kepala dengan kain pembalut. ‘Masya Allah, kenapa dengan kepala kamu , Zubair?’ ‘Berjahit sedikit sahaja ustaz’. Jawabnya tersengih malu-malu. ‘macam ada cerita sahaja’. Si ustaz cuba untuk memancing. ‘semalam, semasa berjalan, saya ternampak seorang pelajar perempuan bertudung labuh, sopan cara jalannya. Jadi dua tiga kali saya ulang melihatnya. Sedar-sedar, sudah jatuh terduduk. Berdarah. Saya terlanggar ampaian baju’. ‘Alhamdulillah’. Respons pantas si ustaz. ‘ya lah ustaz. Ustaz gelakkan saya’. ‘tidak, ustaz tumpang gembira kerana Allah sayang kepada kamu. Ingat lagi hadis yang ustaz ajar ‘Sesiapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan, dia akan mengenakannya musibah’.
(Riwayat al Bukhari)

Pengajaran
Kebaikan datang dalam pelbagai bentuk termasuk musibah.
Sumber : Angguk Geleng



,


MUTIARA KATA
UJUD JANGAN SEKALI (2)
‘Kalaulah ucapan anak Adam itu semuanya benar dan perbuatannya semuanya baik, hampir sahaja dia pasti celaka!...kerana dia akan berasa ujud dengan dirinya’.
(Hassan al-Basri)

Berapa banyak hati yang terfitnah dengan pujian manusia dan tertipu dengan sitrullah dan nikmat Allah yang dimustadraj untuknya. Semua itu hukuman dan penghinaan yang disangka si jahil sebagai kemuliaan.
(Ibn al Qayyim)
Sitrullah : Tutupan Allah, yakni Allah menyembunyikan keburukan dirinya daripada pengetahuan manusia
Istidraj/Mustadraj : Yakni nikmat Allah yang diberikan kepada hambaNya yang membuatnya semakin bermaksiat kepadaNya justeru semakin besarlah azab yang bakal menantinya.




CARA ALLAH MEMAKBULKAN DOA
¤ Doa Itu Dikabulkan Serta Merta
Kebanyakan doa yang diajukan oleh para rasul dan nabi dikabulkan serta merta. Doa Rasulullah saw menjelang perang Badar misalnya, dikabulkan oleh Allah serta merta. Begitu juga doa Ibn Abbas ketika meminta hujan semasa umat Islam dilanda kemarau yang dahsyat. Belum pun sempat Ibn Abbas meletakkan tangannya ke bawah, hujan terus turun mencurah-curah. begitu juga dengan cerita tiga orang pemuda yang berdoa dengan wasilah amal masing-masing apabila terperangkap di dalam gua.

¤ Dikabulkan Pada Waktu Lain
Acap kali juga sesuatu doa walaupun baik, datang daripada orang yang baik, pada waktu yang baik, tetapi Allah tangguhkan ke waktu lain. Hal ini demikian kerana Allah sayangkan hambaNya itu. Allah sengaja berbuat demikian untuk menguji hambaNya , sehingga seorang hamba itu telah bersedia untuk menerima nikmat-nikmat daripada Allah. Misalnya Allah kurniakan kekayaan setelah ada dalam hati seorang hamba itu rasa syukur, supaya tidak akan menjadikannya kufur dengan kekayaan. Allah kurniakan kekuasaan setelah dalam hati seseorang itu ada rasa tawaduk dan sifat adil, supaya dia boleh menjadi pemerintah yang baik apabila sudah berkuasa.

¤ Dihindarkan Daripada Bahaya
Doa kita kadang-kadang dikabulkan Allah dengan cara dhindarkan daripada bahaya yang mungkin datang. Kita tidak tahu apa yang bahaya yang ada di hadapan, lalu Allah datangkan halangan. Boleh jadi kita ditimpa penyakit kronik, mengalami kemalangan jalan raya, difitnahkan atau sebagainya. Namun dengan doa yang kita panjatkan kepada Allah, Allah selamatkan kita sebagai ganti apa yang didoakan. Hakikat ini sangat sulit untuk difahami kerana ditunaikan tanpa sedar. Mengapa? Yalah, kita minta yang lain, tetapi Allah berikan sesuatu yang lain. Namun yang lain itu lebih besar dan bernilai ertinya berbanding apa yang kita minta. Misalnya kita meminta kejayaan dalam perniagaan, sebaliknya Allah hindarkan kita daripada penyakit-penyakit kronik. Bukankah itu sesuatu yang lebih baik?

¤ Allah Berikan Sesuatu Yang Lebih Baik Di Akhirat
Hidup di dunia Cuma sementara. Akhirat itu yang lebih baik dan lebih kekal.
Beruntunglah jika kita mendapat sesuatu kurnia di akhirat berbanding kurnia Allah di dunia. Sebagai perbandingan, sehelai rumput di syurga adalah lebih baik daripada sebutir mutiara di dunia. Kenapa? Hal ini demikian kerana rumput di syurga itu lebih kekal malah lebih bernilai daripada sebutir mutiara di dunia. Orang yang berdoa akan doanya tidak dikabulkan di akhirat kelak, insyaAllah. Doa yang dikabulkan di akhirat itu sesungguhnya itu lebih baik dan kekal daripada dikabulkan di dunia.

¤ Kifarat Kepada Dosa-dosa
Manusia sentiasa berdosa kepada Allah sama ada yang disengajakan atau tidak disengajakan. Dosa ialah pendinding daripada mendapat bantuan , keampunan, dan kasih sayang Allah. Kita mengharapkan dosa itu diampunkan dengan taubat. Malah untuk itu kita diwajibkan untuk bertaubat atas dosa-dosa yang kita sedari. Namun, apakah jaminan taubat kita telah diterima sekalipun telah menempuh syarat-syaratnya? Bagaimana pula dosa yang kita lakukan tanpa kita sedari? Itu lebih sukar untuk diatasi.  Mana mungkin kita bertaubat atas dosa-dosa yang kita rasa kita tidak melakukannya? Maka di sinilah peranan doa-doa yang kita panjatkan kepada Allah swt. Doa-doa itu menjadi sebab untuk dosa-dosa kita itu diampunkan walaupun bukan itu yang kita pohon daripada Allah swt.  Orang yang berdoa kepada Allah, sentiasa disayangiNya. Tanda Allah sayang kepadanya adalah dengan mengampunkan dosa-dosa orang itu walaupun dia tidak meminta ampun. 
Sumber : Pesan Hati untuk Hati




BENAR
Mungkin yang kita rasakan benar itu salah dan apa yang kita rasakan salah itu sebenarnya kebenaran. Carilah kebenaran hingga akhirnya yang benar terzahir. Betapa ramai orang yang tahu kebenaran namun tidak semua berani untuk menyebarkannya. Kebenaran akan kekal benar walaupun beribu-ribu orang menolaknya. Namun hakikatnya yang salah lebih cepat tersebar daripada kebenaran. Alangkah malangnya apabila kita mengetahui suatu kebenaran dan menyembunyikannya. Walaupun kadangkala kebenaran itu menyakitkan, lebih baik demikian daripada sepanjang hidup menanggung rasa salah menyembunyikan kebenaran. Cakaplah yang benar-benar. tulis yang benar-benar. Dengar yang benar-benar. semoga kita semua berada atas kebenaran. Selalulah bertanya kepada diri, adakah yang sedang aku lakukan ini betul dan benar?
Sumber : viceversa