Google Ads

Monday 2 May 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 246

MENARIK DI DALAM
·        Jangan Kedekut Mendoakan Ibubapa
·        Bersandar
·        Didik Anak Berfikir
·        Kaki Masjid di Dunia, VIP Allah di Syurga


JANGAN KEDEKUT MENDOAKAN IBUBAPA
Ibu melahirkan kita di dunia. Menyusukan dan Membesarkan kita. Ayah pula memastikan kelangsungan hidup seorang anak dan keperluan kita dipenuhi tanpa ada kekurangan walau sedikit. Ibubapa tidak pernah inginkan apa-apa pun sebagai balasan. Apatah lagi mereka tidak meminta apa-apa melainkan untuk melihat anak-anak bahagia. Hakikatnya tiada harta dunia ini yang mencukupi untuk membalas kembali jasa mereka. Malang sungguh, berapa ramai anak-anak kini yang konsisten mendoakan kedua-dua orang tua mereka?amalkan selepas solat fardhu, waktu doa memohon kesejahteraan mereka. Tidak kira sama ada doa itu dalam keadaan terdesak atau semata-mata menunaikan kewajipan, setiap doa pasti Allah akan beri perhatian. ‘Berdoalah kepadaKu nescaya Aku (Allah)  akan perkenankan’. (Surah Ghafir 40:60). Lihat betapa hebatnya sifat Pemurah dan Pengasihnya Allah, Dia bukan sahaja memerintahkan kita berdoa, malah Dia mengajar apa yang patut kita doakan dan bagaimanakah cara kita harus berdoa. Tidak cukup sekadar itu, Allah berjanji akan mempertimbangkan doa-doa itu. Berdoa juga ialah satu langkah yang produktif. Bahkan menurut pandangan ulama tasawuf, apabila Allah telah ringankan lidah seseorang hambaNya untuk berdoa, itu petanda Allah telah memberi lampu hijau untuk memperkenankan doa itu. Yakinlah bahawa apabila Allah mengilhamkan kepada hati kita untuk berdoa, maka sudah tentu Allah akan memperkenankan doa kita itu. Tetapi jika Allah tidak berkehendak untuk memperkenankan sesuatu doa, maka sudah tentu Dia tidak mengilhamkan kepada hati kita ke arah itu. Bukan mudah bagi seorang hamba Allah menggerakkan hati dan lidahnya untuk berdoa jika tidak kerana taufik dan hidayah Allah. Apabila hati dilembutkan untuk berdoa, bererti seseorang itu telah berasa kefakirannya di hadapan Allah. Apabila kita sudah benar-benar berhajat kepadaNya, maka Alah pasti tidak akan mengecewakan hajat kita.
Sumber : Pesan Hati untuk Hati





BERSANDAR
Mengajar di masjid lebih mencabar daripada mengajar di sekolah. Orang dewasa, mana boleh disuruh-suruh dan di marah-marah seperti di kelas. Ustaz Man akui benar akan perkara itu. Kadangkala dia merasakan seperti berceramah seorang diri. Suatu hari, sebelum memulakan kuliah, dia berkata ‘sebelum kita memulakan pengajian pada hari ini, sama-sama kita betulkan akidah masing-masing terlebih dahulu. Membetulkan akidah bermaksud tidak bersandar kepada selain daripada Allah termasuk bersandar pada dinding dan tiang-tiang..’ spontan para jemaah senyum-senyum. ada yang sambil membetulkan badan.  ‘sekalipun tiang-tiang dan dinding-dinding itu daripada rumah-rumah Allah’. Ada yang ketawa.

Pengajaran
Untuk dakwah yang lebih berkesan, pendakwah mesti kreatif dan memahami khalayaknya.
Sumber : Angguk Geleng



,


DIDIK ANAK BERFIKIR
Selari dengan tuntutan berfikir, sebagai ibubapa, kita harus bijak untuk mendidik anak-anak agar suka berfikir: ikuti tip ini:

 LATIHAN BERFIKIR
Peruntukkan sebahagian usaha mencari ilmu untuk berfikir, bukannya untuk menghafaz sahaja. Ajak anak-anak untuk melahirkan hasil-hasil fikiran dan beri penghargaan atas idea-idea yang membantu mengatasi masalah-masalah hidup.

 BERI PERMAINAN BERMANFAAT
Jika membelikan permainan untuk anak-anak, pilih permainan yang menyumbang kepada kemahiran berfikir anak.

 PILIH KAWAN YANG BIJAK
Pilih kelompok kawwan anak-anak daripada kalangan yang bijak berfikir bukannya mereka yang suka berhibur tanpa kawalan. Hiburan yang berlebihan bukan sahaja melalaikan malah menjadi penyebab pelbagai krisis termasuk krisis berfikir yang akan luput daripada golongan yang banyak berhibur.

 DOA KHUSUS BUAT ANAK
Berdoa untuk anak-anak dengan doa yang tertentu yang dipetik daripada ayat-ayat al Quran atau hadis.

 SEDIAKAN MAKANAN HALAL LAGI BERZAT
Makanan yang halal dan berzat  amat penting sebagai usaha melahirkan generasi yang soleh yang menjadikan berfikir suatu aktiviti penting dalam hidup.
Sumber : Ustaz Hj Zahazan




KAKI MASJID DI DUNIA, VIP ALLAH DI SYURGA
Diakui Keimanan
Rasulullah saw berpesan ‘jika kamu melihat seseorang yang sentiasa ke masjid, maka persaksikanlah dia orang beriman. Allah berfirman ’sesungguhnya orang yang memeriahkan masjid-masjid Allah hanyalah orang yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat’.
(Surah al Tawbah 9:18)
(Riwayat Ibn Majah)
 
Tolak Dosa, Tambah Pahala
Rasulullah bersabda : ‘Sesiapa yang pergi ke Masjid berjemaah, maka pada satu langkah dihapuskan dosa, pada langkah yang lain dicatatkan pahala, baik semasa pergi ataupun balik’.
(Riwayat Ahmad, Ibn Majah)

Allah Sambut Kedatangannya 
Rasulullah saw bersabda ‘Tiada seorang Muslimpun yang sentiasa menghadirkan dirinya ke masjid-masjid untuk solat dan zikir melainkan Allah gembira menyambutnya sebagaimana ahli keluarga yang bergembira menyambut saudara maranya yang sudah lama menghilang’.
(Riwayat Ibn Majah)

Allah Jamin Dirinya
Rasulullah saw bersabda ‘ada 3 golongan semuanya di jamin Allah, ketika hidup dia diberikan rezeki dan kecukupan, apabila mati dia akan masuk syurga.
i) sesiapa yang masuk ke dalam rumahnya dan dia memberi salam, maka dia dijamin Allah.
ii) Sesiapa yang keluar rumah untuk ke masjid, maka  dia dijamin Allah.
iii) sesiapa yang keluar demi untuk berjuang di jalan Allah , maka dia dijamin Allah.
(Riwayat al Bukhari)

Mendapat Ketenangan Jiwa Di Padang Mahsyar
Rasulullah saw bersabda ‘tidak berkumpulan suatu kaum di mana-mana rumah Allah , mereka membaca kitab Allah dan mengkajinya sesame mereka, melainkan diturunkan kepada mereka ketenangan, diliputi rahmat dan malaikat meneduhi mereka dan Allah menyebut-nyebut mereka di depan malikat-malaikat’.
 (Riwayat Muslim)

Mendapat Naungan Di Padang Mahsyar
Rasulullah saw bersabda ’Ada 7 golongan yang akan dinaungkan Allah dengan naungan-Nya pada hari yang tidak ada naungan selain naunganNya . seseorang yang hatinya terpaut pada masjid-masjid’. (Riwayat al Bulkhari)
’Seseorang yang hatinya terpaut pada masjid sehingga dia kembali ke situ semula’,
(Riwayat Malik)

Mendapat Cahaya Pada Hari Kiamat
Rasulullah saw bersabda ‘berilah khabar gembira kepada orang yang selalu berjalan kaki dalam kegelapan malam demi menuju ke masjid bahawa untuknya cahaya sempurna pada hari kiamat.’
(Riwayat al Tirmizi)

Lepas Daripada Neraka dan Nifak
Rasulullah saw bersabda ‘Sesiapa yang solat berjemaah sempat dengan takbir pertama selama 40 hari kerana Allah, dicatatkan untuknya 2 pelepasan daripada neraka dan daripada sifat munafik’.
 (Riwayat al Tirmizi)

Keluasan, Kerehatan Dan Kemudahan
Rasulullah saw bersabda ‘Masjid rumah setiap orang bertakwa. Allah telah jamin sesiapa yang masjid menjadi ibarat rumahnya dengan keluasan, kerehatan dan kemudahan melepasi sirat menuju keredaan Tuhan’. (Riwayat al Baihaqi)

Layanan Di Syurga
Rasulullah saw bersabda ‘sesiapa yang berpergian pada awal waktu pagi atau petang menuju ke masjid, Allah akan menyediakan baginya tempat atau hidangan di dalam syurga setiap kali dia pergi ke masjid pada awal pagi dan petang’.
(Riwayat Ahmad)

Mulia Di sisi Allah
Allah berfirman ‘demikianlah dan sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar Allah maka kerana hal itu satu kesan ketakwaan hati ‘ (al Hajj 22:32) Dan Allah juga berfirman ‘sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa’.
(Surah al Hujurat 49:13)

Sumber : Editorial Solusi







No comments:

Post a Comment