Google Ads

Thursday 31 December 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 203

MENARIK DI DALAM
·        Bagaimana Menghargai Masa =Nyawa?
·        Doa Perlindungan Untuk Anak-anak
·        Takbur
·        Cepat
·        4 Malaikat
·        Semua Ada Dalam al Quran
·        Nafsu
·        Entah –Entah Tidak mendapat Syafaat



BAGAIMANA MENGHARGAI MASA = NYAWA?
 Ramai orang mengalami masalah untuk mendisiplinkan masa. Tetapi hakikatnya jika kita mengamalkan ajaran Islam secara total, maka masa seseorang akan terurus secara automatik. 
Misalnya waktu solat, jika dijaga dengan baik, hidup akan terdisiplin dengan sendirinya. Begitu juga dengan pengurusan masa. Bayangkan, jika seseorang itu bersolat 5 kali sehari, maka dengan sendirinya dia akan sentiasa mengawasi masa. Mana mungkin orang yang benar-benar menjaga solat 5 waktu, terlalai dalam hidupnya?
Kehidupan terlalu singkat untuk dosa dan perkara sia-sia. seperti yang ditegaskan sebelum  ini bahawa Allah menciptakan manusia untuk beribadah. Hidup yang sementara dan singkat ini hanyalah satu persediaan untuk satu kehidupan yang abadi.
Jika dinisbahkan tempoh hidup di dunia (Katalah 63 tahun) berbanding hidup di akhirat (yang infiniti) .nisbah 1:1000 000 pun belum memadai. Jika diibaratkan berniaga, modalnya Cuma seringgit tetapi potensi mendapat untungnya berlipat ganda sehingga sejuta ringgit, adakah kita akan abaikan atau sia-siakan yang seringgit itu? Pasti tidak, kita akan gunakan sebaik-baiknya.
Sumber : Pesan Hati Untuk Hati



DOA PERLINDUNGAN UNTUK ANAK-ANAK
‘Ya Allah, aku berlindung kepada kalimah-kalimah Allah yang sempurna daripada setiap gangguan syaitan, makhluk yang mempunyai racun yang boleh membunuh, dan setiap pengihatan yang jahat serta membahayakan’.
(Riwayat al Bukhari)

         


RUGINYA AMALAN KITA JIKA

¤ TAKBUR
Daripada sikap mudah memandang hina orang lain, terbentuklah satu lagi sikap keji iaitu takbur. Takbur ialah rasa diri lebih baik, mulia daripada orang lain. Awas, cukuplah dengan sekelumit takbur di hati, tertutuplah pintu syurga untuk kita.
Rasulullah bersabda ‘Tidak akan masuk syurga, siapa yang ada dalam hatinya walau sebesar zarah rasa takbur’.
Seorang sahabat bertanya: ‘Bagaimana dengan seseorang yang sukakan bajunya yang elok-elok, sandalnya yang elok-elok’.
Rasulullah pun bersabda ‘Sesungguhnya Allah Maha Cantik, suka akan kecantikan. Takbur itu, menyanggah kebenaran (kerana ego) dan menghina orang lain!’. (Riwayat Muslim)




CEPAT
Semua orang mahu cepat dalam semua hal. Cepat kaya, cepat berkahwin, cepat bahagia, pendek kata semuanya mahu pantas, segera, cepat. Jika boleh, berdoa pun mahu dikabulkan cepat-cepat.  tetapi mengapa diri belum mahu cepat-cepat berubah menjadi baik? Cepat mengamalkan ilmu. Cepat memberi sedekah. Cepat nelakukan kebaikan. Cepat pula tinggalkan larangan. Aduhai. Apakah sebab  kita melambat-lambatkan taubat? Berbicara tentang cepat bertaubat, kita renung ayat Allah ini sebagai peringatan, ‘Dan bersegeralah kamu mencari ampunan Tuhanmu’. (Ali Imran 3:133) kita bagaimana? Allah suka kepada mereka yang cepat melakukan taubat. Cepat bertaubat, kebaikan pun akan lekas mendekat. Kita mesti cepat, sebab tarikh kematian sudah dicatat, takut tidak sempat.
Sumber : viceversa







4 MALAIKAT
Menarik! Perasan atau tidak, ada 4 malaikat yang disebut dalam surah al Baqarah.
2 Harut
2 Jibril
2 Marut
2 Mikail


SEMUA ADA DALAM AL QURAN
            ‘Semua ilmu ada dalam al Quran’. Kata seorang Ulama. ‘maksud tuan, ilmu dunia juga? ’balas seorang pemuda. ‘ya ilmu dunia dan akhirat’. ‘saya tidak percaya. Masakan begitu? Bagi saya mustahil kitab al Quran yang hanya terdiri daripada ribuan ayat itu boleh mengisi semua bentuk ilmu’. ‘berapa ayat yang diperlukan untuk memuatkan semua ilmu yang ada?’ ‘wah, tentulah berbilion-bilion  banyaknya. Bentuk dan jenis ilmu tersangat luas.’ ‘sy masih berpendapat semua asas ilmu ada dalam al Quran’. ‘sy tetap tidak bersetuju’. Ulama hanya tersenyum.
            Tidak puas hati, keesokan harinya pemuda itu datang bertemu ulama. ‘tuan masih percaya semua ilmu ada dalam al Quran? ‘ya’ jawab ulama itu pasti. ‘kalau begitu, berapa banyak minyak yang boleh diperoleh daripada sekilogram buah kelapa sawit?’ ulama itu diam. Pemuda itu berasa bangga kerana pada pengamatannya ulama itu tunduk pada pandangannya. ‘dan jangan lupa tunjukkan nama surah dan ayatnya sekali ya’. Tambah pemuda itu. ‘mari ikut saya. Pemuda itu di bawa ke tempat pemprosesan minyak kelapa sawit. Dan soalan yang sama dikemukan kepada penyelia di sana dan jawapan diperoleh. ‘saya mahu jawapan daripada al Quran, bukan penyelia ini!’ bantah pemuda itu agak marah. ‘Itulah jawapan al Quran. Dalam surah an Nahl ayat 43 Allah berfirman ‘bertanyalah kepada orang yang mengetahui jika kamu tidak mengetahuinya’, dan kita telah pun bertanyakan kepada penyelia kilang ini tentang soalan kamu. Inilah yang dijelaskan di dalam al Quran dan inilah jawapan al Quran kepada soalan kamu’.
Pengajaran
Al Quran bukan kitab sejarah, sains atau ilmu-ilmu lain. Namun begitu, dalam al Quran ada asas dan teras umum bagi ilmu-ilmu itu yang menjadi dasar, prinsip dan panduan untuk mengembangkannya. Jika seseorang mempelajari al Quran secara menyeluruh, dia akan mempunyai pengetahuan umum bagi semua ilmu yang penting di dunia ini.
Sumber : Angguk Geleng



,


NAFSU
Nafsu adalah sebahagian daripada diri kita yang jika tidak dikawal, ia akan menyusahkan kita. Oleh itu kawallah nafsu, bukannya ia yang mengawal kita.


ENTAH-ENTAH TIDAK MENDAPAT SYAFAAT
Syafaat. Barangkali itulah talian hayat terakhir yang paling kita perlukan kelak. Syafaat teragung sudah tentu daripada Nabi tercinta. Dengan syafaat Baginda juga, barulah ahli syurga dibenarkan memasuki syurga. Dengan syafaat Baginda juga, ada sebilangan umat yang bertuah ke syurga tanpa hisab. Mungkin yang lebih bertuah daripada itu, ada yang sepatutnya dihumban ke neraka sebaliknya terselamat. Semuanya dengan syafaat nabi yang diperkenankan Allah. Walau tidak sebegitu bertuah mendapat syafaat Nabi sekalipun, jika Allah sudi perkenan syafaat pihak lain untuk kita pun sangat bersyukur. Contohnya syafaat si anak buat ibu bapanya. Pada hari kiamat kelak, diseru kepada wildan (kanak-kanak yang mati kecil) ’Masuklah ke syurga’. Mereka pun menjawab ’sehingga  ayah dan ibu kami masuk!’. Kemudian ibu bapa mereka tiba. Allah pun berfirman ’Mengapa Aku melihat kamu keberatan?. Masuklah ke syurga’. ’Ya Tuhan, ayah dan ibu kami!’. Lalu Allah berfirman ’Masuklah syurga kamu bersama ibu bapa kamu’. (Riwayat Ahmad). Begitulah, selain syafaat Nabi ada juga syafaat daripada malaikat, orang soleh bahkan amalan diri sendiri. Secara mudahnya syafaat ialah permohonan suatu pihak untuk diri kita di hadapan Allah. Bagaimanapun syafaat tinggal syafaat jika tidak diperkenankan Allah. Seseorang hanya boleh memohon syafaat buat kita namun Allah jualah yang menentukan sama ada memperkenankannya atau tidak.  Malangnya, Allah enggan perkenankan syafaat gara-gara jika kita termasuk dalam senarai hitam berikut
A)Mensyirikkan Allah
‘sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mensyirikkanNya sedangkan Dia sudi mengampunkan selainnya bagi sesiapa sahaja yang diperkenankan’ (Al Nisa 4:48). Semak diri selalu. Masih ada yang bersolat dan berlapar dahaga kerana berpuasa, tetapi dalam masa yang sama bomoh, pawang khurafat dan tahyul masih juga percaya.
B)Menzalimi Orang
‘2 jenis manusia dalam Umatku yang tidak akan mendapat syafaatku; pemimpin yang zalim dan setiap orang yang melampau lagi kaku’. (Riwayat al Tabrani) kita ialah pemimpin dalam medan masing-masing. beringatlah jangan sampai menzalimi orang di bawah pimpinan kita.
C)Melampau Dalam Beragama
Dalam sabda lain ‘Wahai sekalian manusia, berwaspadalah kamu tentang ghuluw dalam agama. Sesungguhnya umat sebelum kamu hancur disebabkan ghuluw dalam agama’ (Riwayat Ibn Majah). Ghuluw bermaksud melampau-lampau sama ada dari segi kepercayaan, sikap dan tindakan. Melampau dalam beragama wujud dalam pelbagai wajah.







Wednesday 30 December 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 202

MENARIK DI DALAM
·        Didik Anak Mengenali Allah
·        Ilmu Silat yang Hebat
·        Kasih Sayang
·        Marahlah Ala Rasulullah
·        Menghargai Masa


DIDIK ANAK MENGENALI ALLAH

Setelah anak-anak diperkenalkan dengan sebutan perkataan ‘Allah’ dan ‘Lailahaillah’, para ibubapa perlu menyusuli usaha mendidik dengan memperkukuhkan iman dan keyakinan anak itu kepada Allah.Anak yang masih baru mengenal dunia ini amat mudah untuk menerima dan mempercayai maklumat yang disampaikan. Oleh sebab maklumat yang disimpan di dalam kotak fikirannya masih sedikit, maka tahap daya kritisnya amat kurang. Apa sahaja yang disebut oleh ibubapanya mudah saja ditelan bulat-bulat.

 

 Allah Maha Pencipta

Sejak anak itu mula mumaiyiz, mereka sudah boleh didedahkan dengan kebesaran Allah yang mencipta alam yang menakjubkan. Minta mereka fikirkan betapa hebatnya Allah mencipta manusia, binatang, tumbuhan, bumi dan langit. Jelaskan betapa semuanya tidak mampu dibuat oleh manusia yang banyak kelemahan.

 

 Rezeki Daripada Allah

Kemudian, ibubapa boleh teruskan dengan memahamkan si anak bahawa Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Jelaskan betapa pengasihnya Allah yang memberikan nikmat makan dan minum, tempat perlindungan, kesihatan dan tubuh badan yang sempurna. Ingatkan dia selalu bahawa setiap rezeki yang diperoleh itu adalah tanda kasih sayang Allah kepada manusia. Galakkan dia mengucapkan rasa syukur sepenuh hati supaya hatinya semakin dekat dengan Allah. 

 

 Allah Maha Mengetahui

Apabila berkelapangan, bawa anak-anak keluar beriadah di taman atau kawasan rekreasi. Sambil berseronok dan bermain, jangan lupa menyebut tentang kehebatan Allah yang menjadikan alam ini. Paparkan pula keyakinan kepada sifat Allah yang Maha Mengetahui apa sahaja yang berlaku di alam ini. Yakinkan si anak bahawa Allah sedang memerhatikan apa sahaja yang manusia sedang lakukan.

Sumber :Anakku Penyejuk Mataku




ILMU SILAT YANG HEBAT
            Seorang remaja bertemu dengan seorang guru silat yang warak. Dia berkata ’Tuan guru, tolong ajarkan saya ilmu persilatan’. ’boleh, tapi syaratnya kamu mesti taat perintahku’. ’InsyaAllah saya akan taat. Bila saya boleh mula belajar?’’ sekarang juga. Kau pergi ke hadapan mihrab masjid itu. Di sana ada ribuan kitab-kitab lama’. ’tetapi saya berhajat belajar bersilat, bukannya belajar ilmu agama’. Bantahnya. ’bukankah telah ku katakan tadi, kamu mesti taat, baru oleh belajar ilmu silat’. Tegas tok guru. ’ya, ya’. Maka tinggallah remaja itu berbulan-bulan. kerjanya tidak lain selain menyemak lembaran kitab itu sehelai demi sehelai. Habis sebuah, dia beralih kepada kitab yang lain. Akhirnya, ribuan kitab itu telah disemaknya menggunakan ibu jari dan jari telunjuknya. Selepas enam bulan, dia berasa sangat bosan. Dia masih belum sedikit pun di ajar ilmu silat. Sedangkan kawan-kawannya yang belajar daripada guru lain sudah cekap menumbuk dan menendang sedangkan dia masih terkial-kial menyemak helaian demi helaian kitab saban hari. ’tok guru, saya ingin berhenti. Tiada apapun ilmu silat yang saya pelajari di sini. Saya ingin pulang’. ’tok telah pelajari ilmu silat. Pulanglah kamu akan faham apa yang tok telah ajarkan’. Apabila pulang ke kampung, dia berasa rendah diri berbanding kawan-kawannya yang lain. Mereka sudah mahir bersilat. Satu petang, ketika dia melihat kawan-kawannya bersilat, seorang rakannya jatuh dan kakinya tergeliat. Dia memberanikan diri mengurut. Tetapi kaki yang dipegangnya itu bengkok dan hampir patah kerana tekanan dari jarinya. ’aduh! Apa kau buat ni? Sakit!’. Dia terkejut. Barulah dia sedar bahawa ibu jarinya mempunyai kuasa yang kuat. Kekuatan yang menyamai penyepit besi. Rupa-rupanya itulah kekuatan daripada ilmu silat Tok Gurunya yang dipindahkan kepada ibu jarinya sewaktu dia disuruh menyemak helaian demi helaian kitab-kitab tempoh hari. 
Pengajaran
Ilmu yang tinggi diajar secara berhikmah, umpama akar pokok yang bergerak perlahan tetapi dapat menembusi batu dan tanah yang keras. Guru yang ikhlas mengajar dengan rendah hati dan ikhlas kerana Allah.
Sumber : Angguk Geleng






KASIH SAYANG
Keluarga yang berkasih sayang mempunyai segala kebaikan. Dengan kasih sayang, kejayaan dan kekayaan akan menyusul. Jika bukan kekayaan harta, mereka akan meraih kekayaan jiwa atau lebih dari itu. mereka memperoleh kedua-duanya sekali iaitu kaya harta dan kaya jiwa!




MARAHLAH ALA RASULULLAH, MARAHLAH KERANA ALLAH
Rasulullah teladan umat. Rasulullah mengajar kita untuk tidak marah-marah. Baginda jugakah yang mengajar kita bila dan bagaimana hendak marah? Antaranya :

# KERANA BERSIFAT LEMAH
Khabab bin Arat memceritakan ‘Kami mengadu kepada Rasulullah , tidakkah tuan ingin memohon kemenangan buat kami. Tidakkah tuan berdoa untuk kami?’. Lantas merah padam wajah Nabi. Lalu Baginda bersabda ‘Kaum sebelum kamu, ada seorang yang ditangkap kemudian ditanam badannya, lalu digergaji dari kepala hingga terbelah dua. Kemudian disikatkan badannya dengan besi sehingga terpisah daging daripada tulang. Meskipun begitu tindakan itu tidak mengalihkannya daripada agama. Demi Allah akan menang agama ini sehingga ada orang yang tidak takut bermusafir dari San’a ke Hadramaut melainkan Allah, dan khuatirkan serigala yang akan menerkam kambingnya. Tetapi kamu gopoh’. (Riwayat Ahmad dan Al Bukhari)
IKTIBAR : anak-anak tidak aktif. Pasangan pula pasif sahaja. Marahkah kita?

# KERANA SERIUS
Sayidatina Aisyah meriwayatkan: ‘Rasulullah memberi keringanan dalam suatu perkara. Bagaimanapun ada sebahagian sahabat yang meremehkannya. Apabila dimaklumkan, Rasulullah marah sehingga jelas terlihat kemarahan di wajah Baginda. Kemudian Baginda berkata ’Apa kisahnya sekumpulan manusia yang tidak suka mengambil keringanan yang diperuntukkan untukku. Demi Allah, akulah orang yang paling mengenali Allah dan paling takut akanNya.’ (Riwayat al Bukhari)
IKTIBAR: pasangan sibuk dengan aktiviti keagamaan sehingga tidak bergaul langsung dengan jiran tetangga. Marahkah kita?

# KERANA BERTELAGAH
Abu Hurairah menceritakan ‘Rasulullah keluar rumah untuk menemui kami. Pada ketika itu kami sedang bertekak tentang qadar. Lalu Nabi marah sehingga merah mukanya ‘adakah untuk ini kamu disuruh atau demi inikah aku diutuskn kepada kamu?
Sesungguhnya binasa orang sebelum kamu dek sibuk bertelagah tentang sesuatu. aku ingatkan kamu, janganlah kamu bertelagah lagi tentangnya’. (Riwayat al Tirmizi)
IKTIBAR: anak-anak bersikap suka bermusuh dengan rakan sebaya. Pasangan pula asyik menceritakan kisahnya tidak puas hati dengan seseorang dan bertekak di tempat kerja. Marahkah kita?

# KERANA KAGUM SELAIN ISLAM
Rasulullah pernah naik marah apabila mendapati Sayidina Umar membaca beberapa lembaran Taurat. Sehinggakan Nabi bersabda ‘Demi Yang nyawaku ditanganNya, kalaulah Musa masih hidup, tiada pilihan lain baginya melainkan mengikutiku’. (Riwayat Ahmad)
IKTIBAR : Pasangan lebih suka mengambil tahu tentang perkembangan hiburan. Anak-anak kelihatan mula terikut-ikut trend fesyen tertentu.  Marahkah kita?
Sumber : SOLUSI



MENGHARGAI MASA
        Apakah tanda kita menghargai nyawa? Jawabnya mudah, kita mesti menghargai masa! Masa hakikatnya ialah nyawa kita. Membazirkan masa atau menggunakan masa tidak selaras mengikut tujuan masa dikurniakan hakikatnya ialah ‘membuang’ nyawa sendiri. Lihat betapa Allah sangat mengutamakan masa walaupun Allah sendiri tidak terikat dengan masa. Masa itu ciptaan Allah dan masa sekali-kali tidak memberi kesan ke atasNya? Walau bagaimanapun dalam mendidik manusia, Allah sangat mengutamakan masa. Buktinya, Allah telah bekali-kali bersumpah dengan masa. (Surah al ‘Ashr) dan juga kejadian-kejadian yang ada kaitannya dengan masa seperti bulan, matahari, siang, malam, waktu subuh dan sebagai nya. Ini menunjukkan betapa Allah sangat mementingkan masa. Begitu juga diterangkan Allah suka akan para hambaNya yang mendirikan solat pada waktu 2/3 malam (dinihari). Hal ini menunjukkan bahawa di sisi Allahh ada waktu-waktu  yang tertentu yang lebih disukaiNya. Ada juga diberitakan daripada hadis-hadis bahawa ada masa-masa tertentu yang doa lebih dimakbulkan oleh Allah berbanding masa-masa yang lain. Semua ini menunjukkan betapa Allah sangat ‘prihatin’ dengan masa.
Sumber : Pesan Hati Untuk Hati




Tuesday 29 December 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 201

MENARIK DI DALAM
·        Personaliti Orang Berjaya
·        Kias Tanpa Ilmu
·        Bergaduh dengan Sesama Muslim?
·        Marahlah Kerana Allah



PERSONALITI ORANG BERJAYA
Belajar Menjadi Dewasa 
Bersikap kebudak-budakkan hanya akan menjauhkan kita dengan kejayaan. Jangan bergurau berlebihan. Bertindaklah dengan matang. Ubahlah diri menjadi lebih berdisiplin dan bertanggungjawab.

Jangan Pentingkan Diri Sendiri 
Kejayaan kita disokong oleh banyak pihak dan ramai orang. Malah ada yang menjadi tulang belakang kejayaan kita. Jangan pentingkan diri sendiri. Kita tidak boleh hidup berseorangan dalam sistem kemasyarakatan yang kompleks pada hari ini.

Bijak Menangani Stres
stres tidak mendatangkan kebaikan kepada diri kita. Tangani stres dengan penyelesaian yang bijak, berdoa kepada Allah dan jaga kesihatan. Hati yang lapang dan ceria lebih mudah untuk mengejar cita-cita.

Berkongsi Idea dan Maklumat 
Jangan kedekut untuk berkongsi idea dan maklumat. Idea ialah ilham daripada Allah. Kalau berkongsi idea hebat dengan orang lain, kita akan menjadi lebih kreatif untuk berfikir dan mengembangkan ilmu.

Buang Rasa Malu 
Sifat malu yang melampau menghambat kreativiti, membuatkan anda tidak berani menampilkan potensi sebenar diri. Cari penyebab rasa malu. Lawan rasa malu dengan bersikap lebih santai. Rasa malu yang berlebihan akan membuatkan anda gugup dan kelihatan pelik.





KIAS TANPA ILMU
            ‘pergi ke kedai dan belikan terung’. Pinta seorang guru pondok kepada anak muridnya. ’apabila pulang, campakkan ke tingkap dapur rumah saya. nanti isteri saya akan mengambilnya untuk memasak makanan tengahari’. Tambah guru itu lagi. ank muridnya segera ke kedai berhampiran dan setelah membeli terung yang dimaksudkan dia terus ke rumah gurunya dan membalingnya menerusi tingkap. Esoknya, guru itu berkata kepada anak murid yang sama ’pergi ke kedai dan belikan ikan kering. Kita masak gulai ikan kering hari ini. Kamu campakkan ke tingkap rumah saya seperit biasa. Nanti apabila isteri saya pulang dari mengajar dia akan memasaknya’. Murid yang taat itu segera ke kedai dan menunaikan suruhan gurunya. Hari ketiga, guru berkata ’hari ini kita makan gulai lemak telur. Kamu ke kedai dan belikan 10 biji telur’. Tanpa berlengah-lengah anak muridnya itu terus ke kedai membeli telur. Apabila sampai di tepi tingkap rumah gurunya, tanpa berfikir lagi, dia terus mencampakkan telur yang dibelinya. Kias sahaja ikut perintah gurunya, seperti hari-hari sebelumnya.
           
Pengajaran
Mengikut tanpa berfikir akan menghilangkan rasional akal. Sedangkan rasional akal itu perlu untuk membina kesucian hati. Bukankah kewujudan dan keagungan Allah itu ditanam ke lubuk hati melalui seruan berfikir dan merenung alam ciptaanNya dengan akal fikiran?
Sumber : Angguk Geleng



,

RUGINYA AMALAN KITA JIKA..
¤ BERGADUH DENGAN SAUDARA MUSLIM
Rasulullah  mengkhabarkan ‘dibukakan pintu syurga setiap hari Isnin dan khamis, lalu diampunkan semua manusia yang tidak mensyirikkan Allah, kecuali orang yang saling bertelingkah. Maka di seru ‘tangguhkan dua orang ini sehingga mereka berbaik, tangguhkan dua orang ini sehingga dia berbaik’. (Riwayat Muslim)

Marilah sama-sama kita menjaga hubungan baik sesama kita. Mudah-mudahan diredai Allah, sekaligus tidak rugi amalan kita.




MARAHLAH ALA RASULULLAH, MARAHLAH KERANA ALLAH
Rasulullah teladan umat. Rasulullah mengajar kita untuk tidak marah-marah. Baginda jugalah yang mengajar kita bila dan bagaimana hendak marah. Antaranya:

# KERANA  MEMPERTIKAIKAN NIAT ORANG LAIN
Usamah bin Zaid cucu angkat Rasulullah. Beliau turut serta dalam misi ketenteraan. Di sana beliau membunuh seorang lelaki selepas lelaki itu mengucapkan kalimah syahadah. Pada Usamah, lelaki itu hanya bersyahadah kerana takut dibunuh. Sampai sahaja hal tersebuh ke pengetahuan Nabi, Baginda sangat marah. Baginda bertanya Usamah ‘Adakah setelah dia mengaku tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah kamu membunuhnya? Kenapa kamu tidak belah hatinya dahulu sehingga kamu yakin dia mengucapkannya betul-betul atau tidak? Usamah berkata ‘berkali-kali Rasulullah saw bertanya sampaikan aku berangan kalau aku belum Islam pada hari itu’. (Riwayat Muslim)
IKTIBAR: ‘Jiran kita beri buah. Mesti sebab tak habis nak makan’. Pasangan berburuk sangka pada orang lain. Marahkah kita?

# KERANA MEMAKAI YANG HARAM
Suatu hari Rasullullah ternampak seorang sahabat memakai cincin emas. Lantas baginda berasa marah. Baginda lantas mencabut cincin itu dan mencampakkannya ke tanah. ‘ada juga di antara kamu yang inginkan bara neraka dan meletakkannya di tangan’. Setelah Rasulullah beredar, dikatakan kepada sahabat tersebut ‘Ambillah semula cincin kamu dan manfaatkannya’. ‘Tidak, demi Allah. Aku tidak akan mengutipnya kembali selepas Rasulullah membuangnya’. (Riwayat Muslim)
IKTIBAR: suami keluar membasuh kereta dengan berseluar pendek. Isteri bersolek melampau apabila ingin keluar rumah. Anak lelaki mula memakai gelang getah di tangan. Marahkah kita?

# KERANA MEMBELA SAUDARA YANG SALAH
Orang Quraisy resah memikirkan kes seorang perempuan yang didapati mencuri semasa Fathumakkah ‘siapa yang berani berunding bagi pihaknya dengan Nabi?’ ada orang berkata ‘tiada siapa yang berani melainkan Usamah Bin Zaid , buah hati Nabi’. Lalu Usamah menyudikan diri pergi mengadap Nabi. Setelah beliau menyampaikan hasrat lantas berubah air muka Nabi. Baginda bersabda ‘Adakah kamu mahu memberi syafaat dalam kes melanggar satu aturan Allah?
Kemudian Baginda berkhutbah : sesungguhnya hancurnya umat sebelum kamu kerana apabila ada orang terhormat dalam kalangan mereka mencuri, mereka merreka melepaskannya. Sebaliknya jika orang lemah yang mencuri, mereka terus melaksanakan hukuman. Dan aku demi Zat yang nyawaku ditanganNya, kalaulah Fatimah binti Muhammad mencuri sekalipun, pasti akan aku potong tangannya!’(Riwayat Muslim)
IKTIBAR:Anak-anak membawa pulang barangan orang ke rumah atau barangan orang yang dipinjam oleh pasangan sudah lama berada di rumah. Marahkah kita atau setidak-tidaknya segera bersoal selidik?

# KERANA MEMBANDING-BANDINGKAN
Seorang sahabat bertelagah dengan seorang Yahudi. Yahudi itu berkata : ’Demi Yang Memilih Musa atas sekalian manusia’. Lantas sahabat Nabi itu menamparnya. ’boleh engkau berkata ’demi Yang memilih Musa atas sekalian manusia’ sedangkan Nabi ada antara kita?’ Yahudi itu pun pergi mengadu kepada Rasulullah. Baginda menjadi marah. Sabda Nabi ’janganlah kamu membanding-bandingkan antara nabi Allah!’ (Riwayat al Bukhari)
IKTIBAR: ’kakak tidak suka pergi rumah tuk abah. Rumah buruk. Kakak suka pergi rumah tuk papa. Rumah besar banyak mainan’. Anak membanding-bandingkan perkara yang tidak sepatutnya atas nilaian miskin-kaya, hodoh-lawa dan seumpamanya. Marahkah kita?

# KERANA TIDAK BERTOLERANSI
Orang mengadu kepada Nabi yang imam mereka solat lama dan menyebabkan kesulitan pada jemaah. Lalu Rasulullah naik marah. Sampai Ibn Mas’ud berkata ‘Aku tidak pernah melihat kemarahan Nabi yang lebih sangat dari hari itu’. Kemudian baginda berkata ‘Wahai manusia, sesunguhnya ada antara kamu yang menyebabkan orang lari. Maka sesiapa yang menjadi imam, maka ringkaskan. Sesungguhnya jemaah di belakangnya ada yang lemah, tua dan ada urusan’. (Riwayat al Bukhari)
IKTIBAR : pasangan berkrisis dengan orang lain yang berpunca daripada sikapnya yang tidak bertoleransi. Marahkah kita?

# KERANA BERAT HATI BERBUAT AMAL BAIK
Jarir bin Abdulullah bercerita ‘Rasulullah berkhutbah kepada kami. Baginda menggesa kami supaya bersedekah. Bagaimanapun orang ramai buat lambat-lambat sampai kelihatan riak-riak marah di wajah Baginda’. (Riwayat Ahmad)
IKTIBAR : pasangan sengaja melambat-lambatkan membayar hutang atau ke temu janji. Marahkah kita?
Sumber : SOLUSI






Monday 28 December 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 200

MENARIK DI DALAM
·        ‘Orang Akhirat’ Sibuk Di Dunia
·        Ego Dengan Ilmu
·        Satu Huruf Satu Pahala
·        Al Quran Pemberi Syafaat di Akhirat
·        Mana Satu Kita?



‘ORANG AKHIRAT’ SIBUK DI DUNIA

‘Orang Akhirat’ (maaf, jika boleh dikatakan begitu) adalah orang yang paling sibuk di dunia. Bayangkan seorang petani yang sedang dalam proses menanam atau berkebun, tentulah keadaannya amat sibuk sekali. Pada awalnya, dia sibuk menanam semak dan hutan untuk memugar tanah

 Kebunnya. Selepas itu sibuk pula untuk menanam, mengairi, membajai dan menjaga pokok itu. Kemudian dia akan sibuk membina pagar dan mencari racun serangga. Begitulah seharusnya sikap seorang mukmin yang merasakan dunia ini sebagai tempoh berkebun (Menanam). Dia sentiasa aktif, produktif, dan memanfaatkan masanya untuk menjaga ‘pokok’ Amalannya di dunia. Sekali lagi ingin ditegaskan. ‘menjadi seorang mukmin, secara automatik menjadi seorang yang profesional, yakni orang yang rajin, proaktif, produktif, aktif dan dinamik’.

 

Sumber : MUKMIN PROFESIONAL

 

 



EGO DENGAN ILMU
            ‘saya hendk belajar ilmu membersihkan hati’. Kata seorang ulama besar kepada seorang ahli sufi. ‘tuan sudah banyak ilmu. Saya di sini hanya mengajar sekadarnya’. Ujar ahli sufi secara terus terang. ‘betul, saya ingin belajar di tempat tuan ini. Saya ingin menghilangkan rasa takbur’. ‘pengajaran saya tidak menggunakan kitab’. Ahli sufi berkata perlahan. ‘mana boleh belajar tanpa kitab. Tuan tidak tahu akan itu?’ ujar ulama besar itu. ‘orang yang memang tinggi ilmu agama seperti tuan tidak perlu lagi belajar melalui kitab’. ‘setahu saya sesiapa sahaja belajar perlu ada kitab’. Kata ulama besar itu. Serban besar dan jubah indahnya bergeser ditiup angin. ‘baiklah, apa itu takbur?’ Tanya ahli sufi itu seolah-olah ingin menguji. ‘apabila merasakan diri sendiri terbaik, memandang hina orang lain dan menolak kebenaran’. Jawab ulama besar itu dengan yakin. Ilmu-ilmu yang begitu seakan sudah berada di hujung jarinya. ’tuan sudah mahir asas ilmu takbur’. ’tetapi saya ingin membuang rasa takbur..’  ‘benarkah tuan ingin membuang rasa takbur?’  ’itulah tujuan asal saya datang ke sini’. ’kalau begitu buang serban dan jubah tuan dahulu. Selepas itu ambil mangkuk kosong ini dan mengemislah di tempat tuan mengajar’. Kata ahli sufi. ‘apa? Mengemis? Mengemis bukankah kerja hina?’ ‘tujuan mengemis ini bukan kerana malas atau meminta belas ihsan manusia. Tuan perlu mengemis untuk menghilangkan ego. Supaya terasa hina di hadapan manusia setelah selama ini tuan dikenali sebagai ulama besar’. ‘oh, saya tidak mampu . Saya datang ke sini untuk belajar ilmu yang lebih tersirat. Saya ingin menelaah kitab-kitab yang hebat dan tinggi’. ’oh, saya tidak mengajar kitab-kitab seperti itu. Saya hanya belajar mengamalkan ilmu yang telah kita sama-sama ketahui’.  ’jadi tuan tidak sangguplah mengajar saya?  ’bukan, tetapi tuanlah yang tidak sanggup belajar daripada saya’. 

Pengajaran
Ada orang yang sombong dengan ilmunya. Namun ilmu itu tidak lebih hanya hafalan kata-kata dan terisi di dalam akal semata-mata. orang melihatnya hebat, tetapi hatinya penuh dengan karat ego apabila merasakan dirinya lebih baik dan lebih alim daripada orang lain.
Sumber : Angguk Geleng





SATU HURUF SATU PAHALA
‘sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitabullah, maka dia mendapat satu kebaikan. Sedangkan satu kebaikan akan dibalas dengan 10 kali ganda. Aku tidak bermaksud ‘alif lam mim’ itu satu huruf, tetapi alif 1 huruf, lam 1 huruf, dan mim juga 1 huruf.’ (Riwayat al Tirmizi)
Cuba congak-congakan anggaran pahala yang kita dapat daripada sebaris ayat yang kita baca. Kalau setengah muka surat sudah berapa? bagaimana seterusnya?. Jom! Bersama al Quran meraih pahala.


AL QURAN PEMBERI SYAFAAT DI AKHIRAT
‘Bacalah al Quran, kerana al Quran akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada tuannya’. (Riwayat Muslim) Di dunia inipun, jika ada ‘orang dalam’ atau ‘kabel’ urusan kita jadi lancar. Permohonan yang kita buat mudah dapat. Begitulah di akhirat, ‘kabel’ yang diperlukan adalah al Quran.



MANA SATU KITA?
 TIADA SIFAT MARAH
Sifat seumpama ini adalah tercela kerana mendedahkan diri kepada sifat dayus dan pengecut. Imam As Syafie berkata ‘orang yang diperbuat sesuatu ke atasnya supaya dia menjadi marah, lalu dia tidak marah, maka orang itu sebagai keldai’. Mana mungkin orang yang tiada sifat marah  mampu menunaikan perintah Allah ini ‘Wahai Nabi, perangilah orang kafir dan munafik, dan bertindak keraslah terhadap mereka. Dan sebenarnya tempat mereka adalah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali’ (Al Tahrim 66:9). Tanpa marah seseorang akan kehilangan harga diri dan maruahnya. Malah isteri dan keluarganya juga akan turut tercemar. Sifat acuh tak acuh sahaja ketika peribadi di hina kerana merasakan diri terlalu lemah dan hina bukan merupakan sifat orang yang beriman.  Firman Allah ‘Jangan kamu berasa lemah, dan jangan kau berdukacita, sedang kamu orang yang tertinggi jika kamu orang yang beriman’ (Ali Imran 3:139)

 SIFAT MARAH YANG KETERLALUAN
Sifat marah adalah keterlaluan apabila melampaui batas kebijaksaan akal dan syariat. Golongan ini tidak boleh ditegur atau diberi nasihat. Sifat ini bertentangan dengan sifat orang yang beriman yang senantiasa mendapat manfaat daripada peringatan. Allah mengingatkan ‘berilah peringatan kerana peringatan itu memberi manfaat kepada orang yang beriman’. (Al Zariyat 51:55)

 SIFAT MARAH YANG TERKAWAL
Golongan inilah yang terpuji. Marahnya tidak terlalu  lemah dan tidak terlalu kuat. Inilah golongan yang sederhana.  Maka sewajarnya mereka yang terlalu lemah sifat marah, mendidik diri agar rasa marah terpimpin oleh akal dan syariat. Manakala sesiapa yang sifat marahnya keterlaluan, wajib mendidik dirinya agar berada di titik kesederhanaan.
Sumber : SOLUSI